Penyatuan Nomad, Dayah


Nomad dan Dayah pertama kali berduet untuk lagi Lebih Dari Terindah.

PERTEMUAN tidak sengaja di studio rakaman antara penyanyi Nomad dan bintang baharu, Dayah Bakar yang pada waktu tersebut sedang bersiap sedia untuk muncul dengan single pertamanya telah menyatukan mereka dalam lagu berjudul Lebih Dari Terindah.

Lagu yang sebenarnya dipersiapkan untuk Dayah muncul secara solo hasil Kunci Demak itu menjadi lengkap dengan gabungan vokal daripada Nomad atau nama sebenarnya, Mohd. Alief Ayub, 28.

Sambil berseloroh Nomad menjelaskan, dia tidak diundang untuk menyanyi bersama Dayah. Namun, selepas sekali percubaan menyanyi secara duet bersama Dayah memberikan ‘rasa’ yang lebih mendalam terhadap lagu tersebut, dia telah dilamar secara rasmi oleh penerbit untuk terlibat sama.

Tidak mahu menolak rezeki yang datang bergolek, Nomad menerima tawaran tersebut meskipun ini merupakan kali pertama dalam sejarah kerjaya nyanyiannya berduet bersama penyanyi wanita.

Terdahulu Nomad pernah berduet dengan Epul Drama Band, Encik Mimpi dan Roni Hussien.

“Sepanjang tiga tahun menjadi penyanyi inilah kali pertama saya berduet dengan penyanyi wanita. Sebenarnya agak sukar untuk mendapatkan penghayatan sebabnya kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

“Namun, disebabkan sukakan lagu ini dan suara Dayah yang mirip Agnes Monica, saya terus bersetuju,” kata Nomad sewaktu ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Tambah Nomad, keserasian antara mereka terbina dengan begitu pantas meskipun tidak pernah bersapa dengan Dayah sebelum projek duet tersebut.

Bertutur tentang proses rakaman, mereka berdua terpaksa menjalani rakaman lagu sebanyak empat kali bagi mendapatkan hasil terbaik Sepanjang tempoh itu juga, empat kali susunan muzik telah ditukar.

“Walaupun saya sudah biasa menyanyi sebelum ini tetapi tiada pengalaman berduet dengan penyanyi wanita.

“Justeru, proses rakaman mengambil masa yang agak lama,” ujar Nomad yang akan muncul dengan single solo terbaharunya berjudul Maaf pada Mac tahun depan.

Sementara itu, Dayah Bakar atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar, 27, yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pengacara dan penyampai radio IM4U FM buat pertama kalinya mencuba nasib dalam bidang nyanyian menerusi lagu Lebih Dari Terindah.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya dalam bidang nyanyian, kata pemilik Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, biarpun amat meminati bidang muzik, namun rezekinya terlebih dahulu hadir dalam bidang pengacaraan.

“Rasanya sekarang waktu yang tepat untuk saya membuat kemunculan sebagai penyanyi selepas berhenti menjadi deejay pada September tahun lalu.

“Jika tidak, hanya radio tempat bekerja sahaja yang akan memutarkan lagu saya. Sekarang, apabila sudah tidak terikat dengan mana-mana pihak, harap peluang lebih terbuka luas,” tuturnya.

Bercakap tentang kerjaya nyanyian, dia akan bergiat secara serius meskipun masih terlibat dalam bidang pengacaraan.

Selain menyanyi, dia juga berkebolehan mencipta lagu sendiri. Oleh itu, selepas single duet Lebih Dari Terindah, Dayah bakal muncul dengan lagu solo hasil ciptaannya sendiri.

“Walaupun tidak belajar secara formal dalam bidang muzik, saya mengutip ilmu daripada orang sekeliling dan banyak mencuba sendiri.

“Saya tidak kisah untuk bertatih perlahan-lahan kerana sedar bukan mudah untuk berjaya,” luah Dayah.

Tambahnya lagi, terdapat cerita menarik di sebalik penciptaan lagu berkenaan. Kunci Demak sebenarnya mendapat ilham menulis lagu Lebih Dari Terindah selepas melihat lukisan pelukis tersohor negara, Yusof Ghani.

Menariknya, selepas lagu berkenaan siap sepenuhnya, Yusof pula membikin sebuah karya berdasarkan lagu tersebut.

“Bagi saya, ia sesuatu yang indah apabila sebuah lukisan mampu memberi inspirasi kepada seorang komposer dan begitu sebaliknya,” katanya yang turut memberitahu, demi menghargai usaha Yusof Ghani, sebuah video di sebalik tabir lukisan tersebut telah dihasilkan dan dimuat naik dalam saluran YouTube Hikayat Records.

Post a Comment

Previous Post Next Post