PELAKON kontroversi, Ammar Alfian.
Pelakon kontroversi, Ammar Alfian, 29, percaya peminat sudah tidak lagi berminat untuk mengetahui cerita mengenai dirinya.
Justeru, Pelakon KL Gangster 2 itu berasakan, tiada apa lagi kisah berkaitan dengannya yang perlu dikongsi bersama media.
Ammar berkata demikian menerusi mesej dikirimkan melalui aplikasi WhatsApp kepada BH Online apabila diajukan pertanyaan sama ada dirinya mempunyai kelapangan untuk ditemubual.
"Kalau setakat nak jumpa, boleh, tetapi tak payahlah nak buat cerita fasal saya. Setakat lepak boleh saja.
Orang pun sudah tak mahu tahu fasal saya," katanya.
Sebelum itu, Ammar memberikan persetujuan untuk berbuat demikian, namun tidak lama kemudian beliau memohon maaf dan membatalkannya secara baik.
Nama pelakon drama Abong Sado Jemur Kain terbabit hangat kembali baru-baru ini apabila dirinya turut terkait dengan isu penyebaran gambar bogel yang didakwa mirip pelakon Idris Khan dan Atikah Suhaime.
Lelaki berbadan sasa itu dikatakan menjadi dalang kepada penyebaran gambar kontroversi berkenaan.
Namun, Ammar menerusi laporan media sebelum ini sudah menafikan perkara terbabit.
Ammar sendiri sejak akhir-akhir ini agak sepi daripada dunia hiburan selepas berkahwin dengan wanita bernama Nelissa, 25 tahun, di Johor Bahru.
Beliau kini menetap di Melbourne, Australia, dan dalam proses memohon untuk menjadi pemastautin tetap negara itu.
Sejak September lalu Ammar pulang ke tanah air bagi menyambut Aidiladha bersama keluarga.
Ketika artikel ini ditulis, Ammar masih berada di Malaysia dan sempat memuat naik gambar bersama isteri ketika berada di Masjid Kristal, Terengganu.
Ammar juga sempat menulis keterangan gambar di laman sosialnya yang memberikan bayangan seolah-olah beliau kini mula berfikiran positif.
Pelakon terbabit seakan-akan enggan lagi melayan cerita tidak berfaedah, termasuk kisah sensasi terbaharu mengaitkan namanya.
Selain itu, Ammar juga mahu membuka buku baharu dalam hidupnya bersempena sambutan Maal Hijrah, baru-baru ini.
"Bersyukur dengan apa yang kita ada, hidup ini tak lama.
Kurangkan persepsi negatif dan sentiasa berfikiran positif.
Insya-Allah, hidup kita akan aman dan bahagia. "Buka buku baharu.
Mulakan penghijrahan ke arah yang lebih baik. Hijrah itu tak susah. Susah itu datang daripada fikiran kita.
Betulkan niat. Insya-Allah, kita akan dilindungi dan dibawa ke jalan yang benar," tulisnya.