Penantian lima tahun Ning Baizura untuk merakamkan album penuh berakhir apabila penyanyi bersuara soprano itu bakal memasuki studio Disember ini.
Kali terakhir Ning merakamkan album studio adalah sekitar 2011 menerusi Dewa.
"Saya sudah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Universal Music dan akan mula memasuki studio rakaman pada Disember depan.
Saya juga akan ke Jakarta untuk proses rakaman album itu nanti.
"Sudah tentu saya teruja kerana album ini bakal memuatkan 10 lagu, kebanyakannya adalah sentuhan balada seperti yang pernah saya rakamkan sebelum ini," katanya kepada BH Online.
Disebabkan komitmen terhadap pembikinan album itu, penyanyi berusia 41 tahun ini berkata hasrat untuk menimang cahaya mata kedua terpaksa ditangguhkan. "Jadual kerjaya saya memang padat.
Selain persediaan merakamkan album, saya juga sibuk menguruskan butik yang diusahakan bersama rakan.
Kesibukan itu membuatkan saya terpaksa menangguhkan dulu hasrat untuk menambah zuriat.
"Anak sulung saya, Ryan sudah tidak sabar untuk mendapat adik.
Tetapi, jika Allah berikan rezeki, kami tidak akan menolak," kata penyanyi Bukan Wanita Sempurna ini.
NING bersama anaknya.
Mengulas mengenai perniagaan butik, theconversationstudio yang diusahakannya itu, Ning berkata memiliki koleksi pakaian sendiri adalah antara impiannya yang akhirnya menjadi kenyataan.
"Sekarang ini apabila melihat penampilan seseorang wanita, saya sudah dapat membayangkan rekaan pakaian bagaimana yang sesuai untuk digayakan. "Selain harga yang berpatutan, butik ini turut menawarkan saiz untuk semua bentuk tubuh.
Saya juga akan melayan pelanggan di butik dan memberikan khidmat nasihat.
Bagaimanapun, ia berdasarkan temu janji yang dibuat lebih awal," kata Ning.