Kesetiaan Siti Sarah


SEMAKIN MATANG - Siti Sarah menganggap tempoh enam tahun mengasingkan diri daripada sebarang aktiviti seni merupakan masa mematangkan diri sebelum kembali aktif pada tahun ini.

MENGIMBAS kembali pada awal tahun 2000, dunia seni pernah dihiasi dengan kehadiran seorang penyanyi bertubuh kecil molek, Siti Sarah Raisuddin yang melakar populariti menerusi untaian lagu balada hit seperti Kesetiaan, Saat Hilang Cintamu dan Ku Teruskan.

Ironi, lagu-lagu tersebut mengingatkan kembali betapa impak suara merdu dimiliki oleh penyanyi berusia 32 tahun itu masih berbekas sehingga kini dalam jiwa peminat.

Selepas lebih sedekad, semua lagu dendangannya masih rancak menari dalam kotak hati peminat biarpun empunya diri pernah melalui fasa naik turun dalam karier seni sehingga menghentikan aktiviti nyanyian sejak enam tahun lalu.

‘Kesetiaan, menghalangi ku pindah ke lain hati. Dan tak ingin ku melukai’. Mungkin, bait-bait lirik itu amat sesuai dengan situasi penyanyi yang masih setia dengan bidang nyanyian.

Berbekalkan semangat baharu, Sarah yang juga anak kepada penyanyi era 80-an, Raisuddin Hamzah kembali dengan misi tersemat kemas dalam hatinya apabila terpilih sebagai salah seorang peserta bakal mewarnai perjalanan program realiti Gegar Vaganza musim ketiga.

Program realiti ini akan bermula pada 16 Oktober ini dan bersiaran langsung dari Dewan MBSA, Shah Alam, Selangor sebanyak lapan episod.

Menjalani rutin harian dalam tempoh yang agak panjang tanpa sebarang aktiviti nyanyian bukan suatu fasa mudah untuk ditelan, apatah lagi lapangan hiburan menjadi darah dagingnya sejak mula bergelar penyanyi pada usia 18 tahun.

Namun, atas faktor kecintaan dan mementingkan keluarga, Sarah rela andai pekerjaan hakiki itu direhatkan buat seketika demi memberi keutamaan kepada suami dan anak-anak. Dianugerahkan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 6, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin, 11 bulan hasil perkongsian hidup bersama Shuib.

“Dalam tempoh itu, kehidupan seharian saya bukanlah terisi dengan rutin menjaga anak semata-mata. Saya juga ada menjalankan bisnes produk makanan tambahan bersama suami.

“Berbanding rakan-rakan artis lain, saya langsung tidak melibatkan diri dengan apa-apa jenis persembahan baik secara tertutup atau ditayangkan di kaca televisyen sepanjang enam tahun sebelum ini kecuali pernah merakam single Cinta Itu Nyawa bersama suami pada tahun 2011,” ujarnya membuka perbualan ketika ditemui pada majlis pengumuman peserta Gegar Vaganza musim ketiga di TREC KL baru-baru ini.

Ditanya perasaan apabila terpilih selaku salah seorang peserta Gegar Vaganza pada tahun ini, Sarah berkongsi perasaannya yang bercampur-baur. Katanya, biarpun terbit perasaan gementar kerana mempunyai persaingan hebat tetapi tetap bersyukur diberi peluang pada musim baharu ini.

“Pada ketika ini, sukar menggambarkan perasaan saya kerana melihat calon-calon peserta lain, semuanya hebat belaka. Apatah lagi, apabila kebanyakan daripada mereka merupakan idola saya, seperti penyanyi Nora.

“Sejujurnya, saya belajar menyanyi dan membesar dengan lagu-lagu beliau. Jadi, apabila bakal bersaing di atas satu pentas bersama nama hebat seperti Nora, saya sudah dapat merasakan perasaan berdebar itu,” ujarnya yang pernah meraih tiga anugerah menerusi Anugerah Industri Muzik 2003.

Peluang kedua

Namun, isteri kepada pelakon dan pelawak Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad itu mengakui bimbang dengan harapan tinggi daripada peminat yang sekian lama menanggung rindu melihat dirinya kembali mewarnai pentas nyanyian.

Apatah lagi, ada antara peminat yang sudah membuat ramalan awal bahawa dia antara peserta pilihan dinobatkan selaku juara berdasarkan kredibiliti vokal dimilikinya.

“Walaupun teruja tetapi pada masa sama mengaku sangat bimbang jika peminat meletakkan harapan tinggi kepada saya.

“Saya sentiasa berfikiran positif dengan tidak terlalu memikirkan tentang soal saingan. Apa yang penting, saya mahu fokus kepada diri sendiri dan membuat yang terbaik sepanjang berada dalam program ini,” luahnya.

Dalam keterujaannya kembali beraksi di gelanggang nyanyian, Sarah mengambil kesempatan atas ruang yang terhampar di depan mata sebagai peluang kedua memperbaiki diri dan kesalahan yang pernah dilakukan dahulu.

Tempoh enam tahun mencurahkan keringat terhadap keluarga membuatkan dirinya banyak berubah, apatah lagi selama tempoh itu dia banyak bermuhasabah dalam mencari diri sendiri.

“Azam saya hanya satu, iaitu ingin menjadi Siti Sarah yang baharu. Pendek kata, saya bukan Siti Sarah dahulu, seorang remaja yang penuh dengan sifat memberontak dan suka bebas serta tidak pandai menjaga hati orang sekeliling. Mungkin kerana sikap itu, ada pihak yang terasa atau terguris hati.

“Saya yang sekarang adalah wanita lebih matang. Sudah boleh berfikiran waras dan peka dengan keadaan sekeliling,” ujarnya.

Dia menjelaskan, dikurniakan tiga orang anak merupakan anugerah terindah dalam hidupnya. Kata Sarah, anak-anak telah membentuk dirinya daripada seorang gadis remaja menjadi wanita yang dewasa dan matang dalam melakukan sesuatu perkara.

Hilang suara

Biarpun teruja membuat kemunculan semula, namun ada harga yang perlu dibayar penyanyi ini sebelum dapat menikmati peluang keemasan tersebut. Ceritanya, dia pernah mengalami detik suram dalam hidup apabila kehilangan suara sewaktu melahirkan ketiga-tiga permata hatinya.

“Setiap kali selepas bersalin, mesti saya akan mengalami perkara serupa iaitu kehilangan suara. Saya tidak pasti apa puncanya tetapi mungkin disebabkan kerana proses bersalin secara pembedahan membuatkan segala urat menjadi tegang dan memberi kesan kepada tubuh badan.

“Saya menganggap ini sebagai cabaran dan dugaan. Satu nikmat pernah ditarik Tuhan dan tipulah jika saya katakan tidak kecewa serta tertekan. Cuma, lama-kelamaan masa merawat segalanya apabila perlahan-lahan meperoleh kembali suara. Rahsianya, cuma positif diri selain diselitkan dengan pelbagai aktiviti sihat seperti senaman,” kongsinya.

Berusia 32 tahun dengan tiga cahaya mata, Sarah masih mampu mengekalkan kejelitaan dan tidak banyak berubah sewaktu muda remaja dahulu.

Hanya ketawa kecil ketika diusik tentang penampilan awet mudanya, Sarah berkongsi rahsia. Penjagaan pemakanan yang betul dan mengambil makanan berkhasiat merupakan kunci utama mengekalkan kesihatan tubuh.

“Rahsia saya sama sahaja seperti orang lain iaitu perkara paling penting adalah menjaga pemakanan. Apa-apa pun, untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan, semuanya bermula dengan cara bagaimana kita mengawal pengambilan makanan dalam rutin harian kita.

“Pada masa sama, saya juga mengamalkan pengambilan makanan tambahan. Jika membabitkan soal pemakanan, saya sangat tegas dan tidak menggalakkan keluarga makan di luar dan lebih suka masak sendiri di rumah,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post