Michiko Inilah kisahku


Baru berusia 15 tahun, penyanyi muda dari Indonesia, Michiko mengembangkan sayapnya dengan mempromosikan album pertamanya, Really Really Love You di Malaysia.

Punya strategi tersendiri menempatkan namanya sebaris penyanyi lain di negaranya, Michiko berdarah campuran Indonesia dan Jepun tidak kekok menggunakan pengaruh media sosial dan media massa.

“Sebagai remaja saya memang aktif di media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter. Namun, saya juga tidak menolak kepentingan media tradisional seperti akhbar, TV dan radio,” katanya.

Menurut Michiko dia tidak kisah turun padang mempromosikan diri serta album demi kelangsungan karier.

“Sebagai pendatang baru dan masih muda, penting untuk saya perkenalkan diri dan lagu saya. Malah, saya tidak segan bertemu rakan wartawan,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah mengeluh penat apabila perlu bekerja dalam usia muda, Michiko mengakui perkara itu namun ia hanya berlaku pada awal pembabitan.

“Karier saya bermula pada usia 12 tahun. Dulu ada jugalah mengeluh penat, tetapi apabila usia meningkat saya mula memahami kerjaya ini dan jadi lebih matang.

“Selepas tiga tahun, saya lebih bijak mengawal emosi dan lebih serius bekerja berbanding awal kemunculan dulu,” katanya.

Meskipun sibuk dengan rangka promosi album Really Really Love You, Michiko tidak pernah mengabaikan pelajarannya.

“Saya bersekolah di rumah dan tidak pernah ambil mudah tanggungjawab sebagai pelajar. Sesibuk mana pun saya pasti peruntukkan masa untuk mengulang kaji pelajaran.

“Lebih mudah belajar di rumah kerana masa saya lebih anjal, namun kenalah berusaha dua kali ganda daripada pelajar lain,” katanya.

Mengulas albumnya yang memuatkan lapan lagu, Michiko berkata, ia adalah pengalaman hidupnya yang diterjemahkan dalam bentuk lagu.

“Album ini bertemakan cinta remaja. Namun, dalam konteks kehidupan saya, ia adalah cinta dengan ayah.

“Setahun lalu, ayah saya meninggal dunia dan hubungan kami sangat rapat. Disebabkan itu, ada beberapa lagu yang menterjemahkan perasaan saya kepadanya,” katanya yang berharap lagunya diterima baik peminat di negara ini.

Sambung Michiko, single pertama yang dipertaruhkan adalah Really Really Love You yang berkisar rasa marah dan sedih seorang gadis apabila tidak mendapat perhatian kekasihnya.



Post a Comment

Previous Post Next Post