Penyanyi Adibah Noor, 46, menafikan menggunakan khidmat ramai rakan artis termasuk Misha Omar, Atilia Haron dan Dina Nadzir bagi melariskan jualan tiket mini konsertnya yang akan berlangsung pada 21 dan 22 Oktober ini.
Adibah berkata, bukan dia tidak yakin berdiri sendiri sebaliknya mengakui penampilan rakannya itu di konsert Adibah Noor Into The 3rd Decade sebahagian daripada agenda penting acara berkenaan.
“Tidak pernah terlintas mahu menggunakan populariti mereka untuk menarik perhatian orang ramai supaya membeli tiket menonton konsert ini. Mereka menerima baik pelawaan saya.
“Tidak wujud istilah saya takut menjayakan persembahan secara solo.
“Sebenarnya semua artis jemputan ini terbabit dalam album ketiga saya, Jiwa Sentuh Jiwa. Disebabkan itulah saya mengundang mereka,” katanya.
Adibah juga mengakui masih menantikan tajaan daripada beberapa pihak menjelang konsertnya yang akan berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC), Kuala Lumpur.
“Saya keluarkan duit sendiri untuk konsert yang dirancang sejak tahun lalu. Bagaimanapun, saya masih berharap ada pihak sudi menaja.
“Memang ada juga pihak berunding dengan saya mengenai penajaan tetapi belum ada kata putus,” katanya.
Selain tiga artis berkenaan, Adibah turut menjemput empat artis lain termasuk Nassier Wahab, Sam Innuendo, Amir Jahari dan Baki Zainal.
Puas dengan album ketiga
Penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa ini berdebar menantikan reaksi peminat peminat terhadap album barunya.
Mana tidaknya, album itu adalah usaha kerasnya sejak enam tahun lalu.
Adibah berkata, dia sangat berpuas hati dengan hasilnya meskipun jauh di sudut hati risau mengenangkan pasaran yang tidak menentu.
“Selama ini, pendengar sudah sedia maklum kelantangan vokal saya. Jiwa Sentuh Jiwa adalah album duet sepenuhnya dan saya bekerjasama dengan ramai artis.
“Dari segi permainan suara, banyak perubahan dapat dilihat apabila saya kena sesuaikan diri dengan lenggok nyanyian mereka. Pertama kali mendengar semula rakaman setiap lagu, saya hampir tidak cam suara sendiri,” katanya.
Meskipun albumnya masih dalam proses ‘mastering’, Adibah berharap ia dapat disiapkan sebelum konsert itu berlangsung.