Khalifah kekal konsep kampung


SELEPAS kejayaan lagu Cikgu Ana, kumpulan Khalifah terus mendiamkan diri. Jarang muncul di kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar.

Namun, selepas beberapa tahun, lagu Hang Pi Mana terus melonjakkan nama kumpulan yang dianggotai Yabang selaku vokalis, Harry (gitar), Moy (bass) dan Tony (dram).

Sudah pasti, penantian sebahagian peminat untuk mendapatkan album terbaharu band unik, Khalifah bakal berakhir setelah kumpulan tersebut secara rasmi melancarkan naskhah terbaharu, minggu lalu.

Album yang diberi nama Cerita Kita menampilkan 10 lagu, termasuk Hang Pi Mana dan Assalamualaikum Ustazah yang kini menjadi pilihan di corong radio.

Menurut Yabang, penghasilan album kali ini mengambil masa lama kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Antara salah satu sebab adalah masalah ketidaktentuan yang berlaku terhadap ekonomi negara ini yang turut beri tempias kepada artis termasuk kami.

“Apabila tidak buat album, kebanyakan peminat tanya bila kami nak keluarkan album terbaharu dan ini membuatkan kami rasa serba salah.

"Jadi disebabkan sayangkan peminat, maka kami buat juga Cerita Kita untuk mereka,” katanya semasa pelancaran album itu, baru-baru ini.

Menurutnya, konsep album kali ini adalah sama seperti album terdahulu Khalifah. Namun, kata Yabang, setiap lagu yang dihasilkan mempunyai mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

Yabang menegaskan, Khalifah memastikan kesemua lagu mereka sesuai semua peringkat umur.

“Kami tidak mahu terikat membuat untuk membuat lagu cinta. Walaupun kebanyakan lagu rancak, kami akan pastikan kesemua lagu ada nasihat yang ingin ditujukan,” katanya.

Terima dipanggil band kampung

Sering dipanggil sebagai band kampung, Yabang tidak menganggap panggilan itu sebagai penghinaan kepada Khalifah.

Malah, Yabang mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan gelaran berkenaan.

“Ia perkara baik kerana berikan gelaran itu kepada Khalifah.

"Alhamdulillah, kini lagu kami diterima masyarakat,” katanya.

Jelasnya, sebagai band yang mengetengahkan melodi yang mudah diterima, Khalifah kini begitu dekat dengan peminat bukan sahaja yang setia bersama sejak dahulu tetapi telah bertambah kepada generasi baru.

"Gelaran itu tidak beri apa-apa impak tidak baik. Jika orang tak cakap, maknanya orang tak tahu dan tak mahu ambil tahu," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post