Khai Bahar Bayang kian menggila


Lagu Bayang dendangan penyanyi baru Khai Bahar nampaknya semakin ‘menggila’ di stesen radio.

Boleh dikatakan hampir setiap jam, lagu itu akan diputarkan.

Tidak dinafikan, Bayang ada kekuatan dari segi susunan muzik dan ‘mood’ yang dibawa kepada pendengar dan mampu mengimbau kepada lagu popular bergenre pop rock sebegini.

Bermula dengan nada ringkas tapi penuh dramatik, perlahan-lahan pendengar ‘dirasuk’ dengan melodi lebih rancak sebelum menuju ke bahagian korus yang lebih padu.

Lebih menarik apabila melodi indah ini, diadun dengan vokal penyanyi kelahiran Perlis ini yang nyata berbeza dan mampu mencecah nada tinggi.

Bagi seorang penyanyi yang baru mula menapak dan belum mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik, kawalan suaranya juga patut dipuji.

Lirik Patrick Anohada juga tidak ketinggalan memberikan impak kepada setiap yang mendengar lagu Bayang ini.

Bayang berkisar mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada wanita yang sebenarnya isteri orang dan sudah berkeluarga.

Dari situ, lagu berdurasi tiga minit 20 saat ini menggambarkan perasaan lelaki itu yang sentiasa membayangkan pengakhiran manis untuk kisah cintanya dengan wanita itu walaupun dia tahu, hakikatnya dia tidak akan memilikinya.

Baru sebulan video muzik Bayang dimuat naik ke laman YouTube, ia sudah berjaya mencuri tumpuan hampir dua juta penonton manakala video lirik yang dimuat naik sejak dua bulan lalu sudah mencatat lebih 2.5 juta tontonan.

Bagi Khai, dia tidak pernah menjangkakan sambutan untuk buah tangan pertamanya akan sehebat ini.

“Saya sendiri tidak pernah menjangkakan sambutan sebegini. Ada yang memberi kritikan positif dan begitu juga sebaliknya, namun alhamdulillah, ramai juga yang memberi sokongan kepada kehadiran Bayang,” katanya.

Menurut Khai, secara kebetulan lagu itu benar-benar kena dengan jiwanya.

“Mungkin rezeki saya. Apabila pihak pengurusan memperdengarkan lagu ini buat pertama kali, saya terus tertarik kerana kena dengan jiwa saya,” katanya.

Khai mengambil peluang untuk sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua peminat dan penyokong yang tidak henti-henti memberikan sokongan padu.

Tentunya, ramai menantikan single keduanya yang menantikan masa sesuai untuk dilancarkan.



Post a Comment

Previous Post Next Post