DEK bermodalkan wajah Pan-Asia, Josiah Padilla Hogan mengakui kerap ditawarkan watak ‘mat saleh’.
Hakikatnya, Josiah berazam menonjolkan bakat lakonan sejak bergelar anak seni hampir enam tahun lalu.
Tambahan pula, pelakon yang pernah membintangi filem Penanggal ini mahu penglibatan dalam bidang lakonan dipandang serius industri.
"Pada saya, rupa atau warna kulit tidak menjadi ukuran dalam lakonan.
"Sebagai pelakon, sudah tentunya saya ingin mencuba pelbagai watak.
"Jadi, kenapa mahu hadkan bakat lakonan saya dengan hanya menawarkan watak-watak sedemikian?,” katanya kepada Sinar Harian.
Terkilan dengan ‘layanan’ tersebut, Josiah atau nama Islamnya, Mohamad Musleh mengakui pernah terfikir berhenti berlakon.
“Jika saya ambil keputusan (berhenti), itu bermakna saya benar-benar sudah berputus asa dengan industri.
“Alhamdulillah, saya masih bertahan hari ini kerana percaya dengan rezeki yang telah ditetapkan oleh Tuhan,” katanya.
Malah, biarpun bergerak perlahan, pelakon drama bersiri Bicara Hati ini tetap optimis kerjaya seninya makin berkembang.
“Saya serius dalam industri ini. Fokus saya hanyalah berlakon.
“Jujurnya, saya tidak pernah anggap ia sebagai platform atau batu loncatan sebelum menceburi bidang lain.
“Bahkan, pembabitan saya dalam bidang ini juga bukan kerana mengejar populariti semata-mata,” katanya.
Belajar muay thai
Atas dasar cinta terhadap dunia lakonan, Josiah turut meluangkan masa mempelajari seni pertahanan diri sejak akhir tahun lalu.
“Sudah hampir setahun saya belajar seni pertahanan diri, muay thai.
“Saya seronok melakukannya apatah lagi muay thai bukan sekadar melatih untuk pertahankan diri, sebaliknya ia juga berkaitan dengan olahraga.
“Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan stamina saya terutama apabila terbabit dalam penggambaran berbentuk aksi,” katanya.
Jelasnya, mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri juga menjadi salah satu faktor penting demi memartabatkan seni lakon tanah air.
“Sebagai pelakon, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan badan saya sentiasa sihat dan cergas.
“Saya juga tidak mahu babak aksi terutamanya yang memerlukan saya untuk berlawan kelihatan kekok.
“Jadi, sebab itu saya perlu bersedia 200 peratus,” kata gitaris dan vokalis grup grunge, Maddame ini.
Promosi filem baharu
Giat mencipta nama, kini, Josiah sibuk mempromosikan filem terbarunya, Surf This Love arahan sutradara muda, Wan Mohd Hafiz.
Diajak berbicara mengenai watak yang dibawa, pelakon berusia 30 tahun ini mengakui teruja sementelah karakter Mat Malaya yang dilakonkan memerlukannya melakukan aksi luncur air.
“Dalam filem ini, saya memegang watak antagonis bernama Mat Malaya, iaitu seorang peluncur air legenda di Pulau Tioman.
“Filem ini beri saya pengalaman menarik kerana selama ini saya tidak pernah bermain luncur air.
“Namun, inilah masa untuk mempelajarinya apatah lagi setiap pelakon dibekalkan jurulatih berpengalaman,” katanya.
Pelakon drama bersiri Cinta Jangan Pergi ini juga teruja dapat bergandingan dengan dua pelakon berbakat, Pekin Ibrahim dan Shukri Yahaya.
“Sebelum ini, saya hanya dengar nama mereka, tetapi kali ini dapat bekerjasama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Josiah menunggu tarikh tayangan filem Paradox, KL Vampires dan KL Special Force yang dijangka tahun depan.