Pelakon popular Izara Aishah tidak menyangka namanya menjadi pilihan segelintir ibu bapa untuk diberikan kepada bayi mereka.
Izara, 24, berkata dia berasa seronok dan berterima kasih kerana memilih namanya.
"Sebelum ini saya memang ada pengikut di laman sosial memaklumkan nama anak mereka sama dengan saya. Namun tak sangka pula nama saya antara yang menjadi pilihan ramai.
"Mungkin disebabkan mereka menonton drama lakonan saya dan terfikir menamakan anak mereka Izara Aishah. Sejujurnya saya berasa seronok dan terharu," katanya.
Izara yang juga pelakon filem Showdown The Movie menyifatkan mungkin namanya jarang didengar antara sebab mengapa ia menjadi pilihan.
Terdahulu sebuah portal online melaporkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima banyak permohonan daftar kelahiran dengan nama selebriti yang menjadi perhatian dan sebutan ramai.
Izara yang mulai popular menerusi drama Vanila Coklat pada 2011 antara yang menjadi pilihan untuk pendaftaran kelahiran.
Selain Izara, nama pelakon Aaron Aziz dan Mia Ahmad juga menjadi pilihan untuk pendaftaran kelahiran menerusi beberapa drama bersiri popular lakonan mereka.
Selain nama artis, nama watak dalam drama juga turut menarik perhatian ibu bapa. Antaranya Anas Mikael sempena drama bersiri Tuan Anas Mikael, lakonan Aaron Aziz dan Mukhriz menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz.