Pelakon Sharifah Shahora mengakui kontraknya sebagai pengacara program Akak Akak Sangat di saluran Astro Prima ditamatkan.
Shahora, 41, yang mengacara program itu bersama Sherry Al Hadad sejak Mei lalu menerima keputusan pihak produksi yang hanya mengekalkan Sherry untuk musim kedua.
"Sebenarnya dalam perjanjian memang menyatakan kontrak kami berdasarkan 13 episod untuk satu musim, berdasarkan kepada sambutan penonton. Jadi saya difahamkan 'rating' musim pertama tak memberangsangkan.
"Disebabkan itu pihak produksi cuba untuk mengubah konsep program dengan mengekalkan seorang pengacara saja dan mereka memilih Sherry," katanya kepada Harian Metro.
Shahora yang juga pelakon drama Lara Aishah, dia tidak mahu berfikir negatif dan menerima dengan terbuka keputusan pihak produksi.
Dalam masa sama, Shahora mengakui Sherry lebih layakmeneruskan program itu berdasarkan kelebihan dan populariti dimilikinya.
"Saya tak pernah berkecil hati malah jauh sekali marah. Ikutkan memang sedih meninggalkan rancangan ini tetapi nak buat macam mana. Sudah tertulis ini bukan rezeki saya.
"Saya juga percaya pihak produksi ada sebab tersendiri memilih Sherry. Dalam soal ini saya sedar diri," katanya.