Penyanyi dan pakar motivasi Datuk Fazley Yaakob menafikan khabar angin adik lelakinya Faizal Yaakob atau dikenali sebagai Raf, 31 sedang menjalin hubungan dengan pelakon Emma Maembong.
Fazley, 38, berkata perkara itu mustahil berlaku kerana pelakon itu masih berhubungan dengan kekasihnya yang juga pelakon Kamal Adli.
"Saya sendiri terkejut apabila ada yang menyampaikan perkara ini. Gosip yang disebarkan ini tidak benar sama sekali. Malah ia membuatkan saya kasihan kepada Emma dan Raf.
"Kalau nak tahu keluarga kami sudah lama kenal. Malah secara peribadi saya mengenali Emma ketika dia berumur 11 tahun lagi. Ketika ayah saya meninggal, keluarga Emma pun ada datang melawat," katanya.
Sambung Fazley yang juga seorang chef, tidak ada apa yang mahu disorokkan kerana antara Raf dan Emma memang tidak ada sebarang hubungan.
Sementara itu Emma menerusi kenyataannya di sebuah portal menafikan perkara itu selain menyifatkan ia mengarut dan tidak masuk akal.
Emma menjelaskan dia hanya berkawan baik dan mengenali lelaki itu sejak berusia 12 tahun lagi.
Sependapat dengan Emma, Raf menerusi laman Instagram miliknya menganggap perkara itu fitnah.
"Memang betul, saya sudah lama mengenali Emma dan keluarganya. Tidak semua orang mengetahui arwah ayah dan ayah Emma berkawan baik. Mereka pernah bekerja di satu tempat yang sama di PWTC.
"Ketika itu Emma baru berusia 12 tahun. Boleh dikatakan keluarga kami sangat rapat. Pendek kata kami seperti abang dan adik. Jadi tolong berhenti buat tuduhan yang tak betul," tulisnya.
Terdahulu sebuah akhbar mingguan semalam melaporkan Emma dikatakan intim dengan seorang ahli perniagaan dan Presiden MY Man United Official Fan Club.
Menerusi laporan sama, Emma sudah pun bertemu dengan keluarga lelaki itu dan perhubungan mereka benar-benar serius.