Sejak kehadiran anak lelakinya Rahmat Azharin Aziz, kehidupan penyanyi Azharina Azhar berubah 360 darjah.
Menurut Azharina Azhar, 31, anaknya yang kini berusia dua tahun adalah keutamaan dan pelengkap hidupnya. Namun begitu, Azharina yang mesra di sapa Nina tidak sesekali memanjakan Rahmat, malah jauh sekali membesarkannya dengan kemewahan.
“Bagi saya setiap individu ada cara tersendiri mendidik dan membesarkan anak. Untuk Rahmat, saya tidak suka membazir dengan membelikannya barang mainan. Walaupun saya membawanya ke kedai mainan, tetapi dia tak pernah meragam mahukan permainan itu kecuali kalau ada yang disukainya.
“Perkara itu boleh dikira beberapa kali saja. Apa yang saya titikberatkan adalah pendidikan. Disebabkan itu saya lebih kerap membelikannya permainan berbentuk pendidikan. Bukan apa, bermula sekarang saya perlu memberi pendedahan kepadanya.
“Saya tak nak apabila dia besar nanti dia asyik bermain saja. Jadi apa yang saya perasan setiap kali dia bermain dengan permainan yang mengajarnya membaca atau mengira, dia akan ikut sama,” katanya.
Pada masa sama, Azharina yang pernah popular menerusi lagu Elergi Sepi tidak terlalu mendedahkan anaknya dengan televisyen, YouTube dan alat elektronik seperti telefon bimbit dan gajet.
“Saya sangat tegas dalam perkara sebegini. Rahmat hanya boleh menonton televisyen sekiranya saya ada bersama. Itu pun saya menonton saluran keagamaan, kisah teladan dan program pendidikan.
“Sebagai ibu saya mahu melihatnya berjaya di dunia dan akhirat. Kalau boleh saya tak mahu dia mengikut jejak langkah saya. Biarlah dia bekerja dalam bidang pendidikan yang akhirnya nanti boleh membanggakan saya.
“Selain itu, saya juga mahu dia menjadi hafiz. Insya Allah tahun depan saya merancang untuk menghantarnya ke kelas mengaji al-Quran. Jika dia sudah lancar mengaji, apabila umurnya sudah capai lima atau enam tahun dia sudah boleh masuk sekolah tahfiz,” katanya.
Satu perkara yang perlu diakui Azharina apabila anaknya itu menunjukkan minat dalam bidang muzik dan nyanyian.
Bagaimanapun, dia tidak pernah menghalang tetapi tidak juga menggalakkan Rahmat menjurus ke arah hiburan. Justeru, Azharina tidak pernah membawa Rahmat ketika dia bekerja.
Tegas dan garang
Selain itu, Azharina mengakui punya pendekatan tersendiri sekiranya anaknya itu menunjukkan sikap nakal ketika di rumah.
“Rahmat anak yang lasak dan tidak boleh duduk diam. Ada saja benda yang nak dibuatnya. Jadi saya tak boleh membiarkannya begitu saja kerana nanti dia terbiasa berkelakuan begitu jika pergi ke rumah orang atau di mana saja.
“Saya tegas dan garang sehingga ada ketika saya meninggikan suara dan mencubitnya jika tak boleh nak dikawal. Dari situ dia belajar apa yang dia boleh buat dan tidak boleh buat,” katanya.
Terdahulu Azharina berkongsi hadiah hari lahir Rahmat iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sempena ulang tahun kelahirannya pada 30 September lalu yang diberikan sahabat baiknya. Azharina terkejut apabila kenderaan itu dihantar ke rumahnya.
“Saya tak pernah minta dihadiahkan barang mewah untuk Rahmat dan sehingga sekarang saya masih terfikir mengenainya. Saya malu jika ada orang yang beranggapan sebaliknya.
“Apa pun saya percaya ini adalah rezeki anak saya dan takkan nak ditolak,” katanya.
Selain mengadakan majlis sambutan hari jadi anaknya, Azharina turut mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat buat ayahnya yang baru keluar dari pusat jagaan rapi (ICU) dan pemilihannya dalam program Gegar Vaganza 3.