Ayda Jebat Bayaran kena berbaloi dengan usaha


Selain bakal muncul dengan single ketiga, Ayda turut dilantik sebagai duta 100 Plus bersama tiga selebriti lain iaitu Saharul Ridzwan, Hairul Azreen dan Ajak Shiro.

Cekal hati membina nama walaupun ada segelintir yang mempertikaikan kehadirannya di arena seni, Ayda Jebat nyata bersyukur dengan rezeki yang sudah tertulis buat dirinya.

Baru-baru ini, Ayda berjaya mengukir satu lagi kejayaan bermakna apabila menumpaskan tiga penyanyi hebat iaitu Afgan, Taufik Batisah dan Yuna dalam merebut gelaran Artis Paling Popular di Anugerah Planet Muzik (APM) 2016 yang berlangsung di Singapura.

Menjengah ke teluk rasa pemilik nama penuh Nur Suhada Jebat itu, dia nyata terkejut dengan kemenangan tersebut.

“Saya memang tak sangka langsung dengan kemenangan itu, lebih-lebih lagi nama-nama yang bertanding semuanya hebat dan lebih popular. Disebabkan itu, saya tidak bersedia langsung dengan teks ucapan. Kalau ikutkan banyak sebenarnya yang ingin saya katakan,” jelas Ayda yang bersyukur kerana peminat-peminatnya yang digelar AJ Screamer tidak sekadar meminati, malah turut mengundinya.

Ibarat melihat langit yang cerah tiba-tiba menjadi kelam, kemenangan Ayda mula dipertikaikan selepas itu.

Ada dakwaan yang mengatakan ia hasil belian undi daripada penajanya, syarikat kosmetik House Of Dre. Namun, semuanya sudah dinafikan oleh usahawan syarikat itu Datuk Rafiena Ezanee Ramli.

Usahawan tersebut hanya menjadikan pelakon itu sebagai duta produk dan tidak pernah terbabit dalam pengundian.

Menyuakan dakwaan tersebut kepada Ayda pula, penyanyi comel itu enggan memanjangkan lagi isu terbabit. Baginya segala kemenangan yang sudah tertulis merupakan rezeki buat dirinya.

Pada masa sama, penyanyi berusia 24 tahun itu juga akur setiap kali artis meraih anugerah, maka akan timbul pula dengan isu bayaran.

Enggan isu bayaran pula timbul di kemudian hari, Ayda menjelaskan, kemenangan artis dalam sesebuah pertandingan bukan kayu pengukur kepada bayaran yang tinggi.

Bagi dirinya, jelas Ayda, jika komitmen yang diberikan melebihi apa yang diminta, bayarannya juga harus berbaloi dengan apa yang diusahakan.

“Bayaran kita sebenarnya berdasarkan beberapa faktor seperti komitmen kerja, disiplin, promosi yang kita buat dan juga rating sesebuah drama. Ada juga artis yang menang anugerah tetapi rating drama dia tidak tinggi. Ada juga artis yang disiplinnya juga tidak bagus. Adalah isu-isu macam itu. Banyak perkara kita boleh demand berdasarkan kerja.

“Pada saya, kalau saya beri 200 peratus komitmen pada sesuatu projek, bayaran itu kena berbaloi dengan apa yang kita usahakan. Sama seperti pekerjaan lain juga, jika kita bekerja lebih masa sudah tentu kita mahukan bayaran lebih,” jelasnya berterus-terang.

Dalam perkembangan lain, kantung hatinya kini berbuah bahagia, minggu lalu membekas satu kenangan manis buat Ayda apabila berjaya mengadakan persembahan di hadapan 250 peminatnya di Singapura.

Pada masa sama, dia juga baru selesai menjalani penggambaran drama Awak Sangat Nakal bersama pelakon Sharnaaz Ahmad yang akan ditayangkan di Astro Ria pada bulan November nanti.

“Saya turut menyanyikan lagu runut bunyi bagi drama terbabit dan bakal mengeluarkan single ketiga tidak lama lagi.

“Ada beberapa projek lagi yang saya tidak boleh kongsikan buat masa ini,” ujarnya yang turut dilantik sebagai duta produk 100 Plus dan bakal muncul dengan program 1st Running Man Challenge di Malaysia pada Disember depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post