PENYANYI, Atilia Haron.
Keinginan untuk memiliki cahaya mata yang semakin menebal membuatkan penyanyi, Atilia Haron mencuba pelbagai rawatan termasuk mengamalkan cara perubatan tradisional Cina.
Atilia yang menyambut ulang tahun ke-42 pada September lalu berkata, beliau dan suami, Adam Sofian Mazlan tidak pernah berputus asa berusaha mendapatkan zuriat sebagai pelengkap rumah tangga mereka.
"Kami sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan doktor mengesahkan saya dan suami subur serta tiada masalah untuk mendapat zuriat.
"Cuma mungkin rezeki kami belum kesampaian biarpun sudah mencuba pelbagai kaedah rawatan.
Barangkali faktor seperti masa dan tekanan turut mempengaruhi hingga kami masih belum dikurniakan anak.
"Saya sedang berusaha termasuk mencuba cara perubatan tradisional Cina dengan meminum air rebusan akar kayu.
Memang tidak tertanggung pahitnya tetapi saya kuatkan juga hati untuk meminumnya," kata Atilia atau nama lengkapnya, Raja Putri Atilia Raja Haron.
Anak kepada penyanyi Salamiah Hassan yang mendirikan rumah tangga pada 31 Ogos 2014 ini berkata, usianya yang semakin meningkat menguatkan lagi keinginannya untuk segera menimang cahaya mata.
"Kebanyakan teman rapat saya sejak di bangku sekolah sudah mempunyai beberapa anak, malah ada di antara mereka sedang meniti usia remaja.
"Lucunya anak mereka kini menjadi teman rapat saya dan sesekali apabila tidak terikat dengan sebarang komitmen, saya akan menemani mereka keluar seperti bermain boling bersama-sama.
"Situasi itu membuatkan saya sentiasa berdoa supaya dikurniakan segera anak, apatah lagi saya memang sukakan kanak-kanak.
"Ibu juga tidak sabar untuk menimang cucu. Mujur adik saya baru dikurniakan zuriat.
Jika diizinkan Allah, pada usia begini, saya ingin memiliki sekurang-kurangnya seorang anak sebagai penyeri rumah tangga," katanya.
Bakal muncul dalam drama adaptasi novel berjudul Arluna terbitan Global Station, Atilia ditemui pada sambutan ulang tahun kedua jenama peralatan rumah dari Korea Selatan, Cuckoo di sebuah restoran di Bangsar, semalam.