SELEPAS tampil dengan imej baharu berambut pendek, Ardell mengaku memperoleh banyak tawaran berlakon yang lebih versatil.
Penampilan dan gaya pemakaian selebriti adalah perkara pertama yang sering diberikan perhatian oleh peminat.
Ketika awal kemunculannya, pelakon kecil molek, Ardell Aryana atau nama sebenarnya, Nurul Hidayah Mohd. Amin tampil berambut panjang sekali gus menyerlahkan kecantikan wajahnya.
Dek kerana pesonanya, wanita berusia 26 tahun itu pernah dikaitkan bercinta dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk namun ia dinafikan oleh Ardell dan memberitahu, mereka hanya berkenalan atas dasar kerja.
Tidak lama selepas itu, pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia itu mengambil keputusan untuk memotong pendek rambut ikal mayangnya hingga memberi imej seperti lelaki yang turut mengundang pandangan kurang manis tentang personalitinya.
KOSMO!: Mengapakah Ardell mengambil keputusan untuk memotong rambut terlalu pendek sehingga ada pihak mengatakan anda ingin menjadi seperti lelaki?
ARDELL: Saya bukan suka-suka hendak memotong rambut tetapi ini sebagai memenuhi tuntutan kerja yang memerlukan saya berambut pendek. Alang-alang potong, saya pendekkan terus kerana rambut panjang saya sudah rosak kerana asyik diwarnakan jadi saya ambil peluang ini untuk menyimpan rambut baharu.
Adakah gaya ini akan kekal untuk jangka masa yang panjang?
Untuk mendapatkan kembali rambut saya dahulu, mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun. Tetapi jika rambut sekarang sudah semakin panjang, saya tiada sebab untuk memastikan ia sentiasa pendek. Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk karakter yang ditawarkan.
Anda tidak bimbang gaya rambut pendek seperti lelaki mengundang pandangan negatif sehingga mengatakan anda seorang pengkid?
Sewaktu saya berambut panjang, orang tuduh saya lesbian. Sekarang sudah rambut pendek, orang cakap saya pengkid pula. Jadi adalah lebih baik saya buat tidak tahu sahaja dengan pandangan negatif yang dilemparkan terhadap saya. Selagi tahu apa yang saya buat dan keluarga juga tiada halangan, bagi saya tiada masalah ada menjadi satu isu tentang penampilan baharu ini.
Pernahkah anda terfikir untuk mencari teman lelaki bagi menutup mulut orang yang sering salah sangka terhadap anda?
Terus-terang saya ingin beritahu, soal cinta bukan keutamaan buat masa sekarang kerana kerjaya saya baru hendak naik dan saya masih banyak tanggungan. Sebelum memikirkan soal kahwin, saya mahu pastikan ibu dan adik-adik saya sudah stabil kehidupannya, barulah saya akan buka pintu hati soal rumah tangga. Saya juga bukan jenis yang suka bercinta lama-lama, jika sudah ada calon saya akan terus bernikah sekali gus memperkenalkan dia sebagai suami dan bukan kekasih.
Bagaimana pula dengan penerimaan watak selepas ini, adakah akan berubah mengikut gaya anda sekarang?
Sebenarnya gaya rambut pendek membuka ruang bagi saya mencuba lebih variasi watak kerana sebelum ini, watak saya tertumpu kepada penggoda atau perempuan jahat yang seksi kerana rambut saya yang panjang. Sekarang, pengarah sudah mula nampak bakat lakonan saya yang bukan hanya untuk karakter gedik sahaja. Lagipun personaliti saya memang sedikit kasar dan tidak suka memakai alat solek jika di luar set penggambaran.
Selepas berambut pendek, apakah drama atau filem terbaharu lakonan anda?
Filem terkini lakonan saya yang berambut pendek ialah Surf This Love yang bakal ditayangkan awal tahun hadapan. Walaupun berambut pendek, terdapat sedikit cabaran untuk membawa watak saya yang bernama Lia kerana dia sebenarnya seorang yang feminin dan lemah lembut. Agak sukar untuk saya menjiwai karakter itu kerana sudah terbiasa dengan personaliti seperti budak lelaki yang kasar tetapi ia satu pengalaman yang berharga buat saya.
Tambahan pula dapat berlakon di samping nama-nama hebat seperti Cristina Suzanne dan Shukri Yahaya, saya memang tidak sabar menanti filem ini ditayangkan.