PENYANYI, Akim Ahmad pada majlis Sidang Media Konsert Wings 30 Tahun "Live @ Kota Kinabalu, Sabah di House Restaurant, G Towe, Kuala Lumpur.
Penyanyi, Akim Ahmad, menggigil sebaik berkongsi pentas dengan pemain gitar handalan, Joe Wings, buat julung kali ketika membawakan lagu Sayap Ilusi pada sidang media Konsert Wings Ke-30, baru-baru ini.
Katanya, undangan menyerikan majlis sidang media berkenaan selain dipilih sebagai penyanyi jemputan pada konsert ulang tahun tiga dekad kumpulan rock terkemuka itu dianggap penghormatan besar buat dirinya.
Akim atau nama sebenarnya, Afiq Hakim Ahmad, 25, berkata walau sudah berpuluh kali mengadakan persembahan secara langsung, perasaan diiringi pemuzik handalan seperti Joe sukar diungkapkan dengan kata-kata.
"Memang saya peminat tegar Wings dan boleh menghafal kebanyakan lagu dendangan kumpulan berkenaan. Apabila diberikan kesempatan bersama mereka menjayakan Konsert Wings Ke-30 di Sabah pada 24 Disember ini, saya sangat teruja.
"Bonus berganda apabila mereka juga meminta saya membawakan Sayap Ilusi pada majlis pengumuman konsert terbabit, sekali gus menambahkan debaran dalam hati.
"Tidak sangka pula aura Joe memetik gitarnya pada awal pembukaan lagu ini membuatkan getaran di dada saya semakin memuncak hingga suara saya kedengaran menggigil," katanya yang ditemui selepas tamat acara.
PENYANYI, Akim Ahmad dan Jeo Wings (kiri) membuat persembahan pada majlis Sidang Media Konsert Wings 30 Tahun "Live @ Kota Kinabalu, Sabah di House Restaurant, G Towe, Kuala Lumpur.
Konsert Wings Ke-30 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, ialah lanjutan sambutan tiga dekad Wings di arena muzik selepas persembahan mega mereka di Kuala Lumpur dan Johor.
Sementara itu Akim memaklumkan beliau sanggup mengosongkan kalendar untuk memberikan tumpuan terhadap persediaan menjayakan konsert terbabit seterusnya menyambung cuti di kampung halaman isterinya, Ummu Syaikhah Stacy Anam atau Stacy.
Kongsi Akim, selepas memenuhi pelbagai komitmen sebagai duta produk selain tuntutan tugas di arena seni, mereka mahu menghabiskan masa bersama keluarga di Sabah pada musim cuti hujung tahun nanti.
"Kalau diikutkan, Disember nanti kandungan Stacy sudah mencecah usia tujuh bulan. Melihat staminanya sekarang, saya rasa dia tetap aktif walaupun sarat hamil. Kebetulan sudah berada di Kota Kinabalu, kesempatan itu akan kami gunakan untuk bersama keluarga.
"Sekarang ini keadaan Stacy macam biasa, cuma dia mudah letih kalau terlebih berjalan. Anak kami, Bella, juga memahami keadaan ibunya, malah ringan tulang membantu atau menemaninya kalau saya sibuk bekerja," kongsinya lagi.
"Sekarang ini keadaan Stacy macam biasa, cuma dia mudah letih kalau terlebih berjalan. Anak kami, Bella, juga memahami keadaan ibunya, malah ringan tulang membantu atau menemaninya kalau saya sibuk bekerja," kongsinya lagi.
Terdahulu, Stacy yang sebelum ini sudah mempunyai seorang anak angkat itu mengumumkan kehamilan hasil perkahwinan dengan Akim pada Ogos lalu serentak ulang tahunnya yang ke-26.