Nizam LAKSAMANA anggap kesukaran zaman awal hendak bergelar penyanyi sebagai pengalaman paling berharga.
SEKITAR 25 tahun lalu, sewaktu Nizam Laksamana menjejakkan kaki di Kuala Lumpur bagi memenuhi impian bergelar penyanyi, poket anak jati kelahiran Negeri Sembilan itu hanya terisi dengan beberapa keping not RM1.
Berbekalkan wang yang tidak seberapa, penghijrahan pemilik nama sebenar, Mohd. Nizam Pechok itu ke ibu kota tidak melalui fasa yang menyenangkan. Mengikat perut dan menahan rasa lapar adalah rutin normal buatnya.
Menghirup air paip bagi menghilangkan rasa dahaga pula bukan lagi perkara luar biasa yang dilakukan bersama rakan-rakan.
Begitupun, kedaifan sementara yang dialami Nizam di Kuala Lumpur akhirnya terbayar apabila album perdana Laksamana, Syukur diluncurkan pada 1991.
Lebih istimewa, lagu Gugurnya Bunga Cinta mendapat maklum balas positif daripada khalayak, seterusnya mengukuhkan kedudukan Laksamana setaraf dengan kugiran rock yang lain.
Mengakui kepayahan pada awal kemunculan banyak mengajarnya tentang dunia nyanyian, Nizam yang ditemui di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, lagu-lagu nyanyiannya ketika itu dihidupkan dengan semangat, keringat dan air mata.
Ujar Nizam, 44, biarpun kedengaran remeh, namun apa yang dikecapi sehingga kini, bertitik tolak daripada kesukaran untuk bergelar penyanyi suatu ketika dahulu.
KOSMO!: Apa khabar Nizam? Apakah perkembangan terbaharu selepas terlibat dengan Gegar Vaganza musim kedua tahun lalu?
NIZAM: Khabar baik. Alhamdulillah, saya baru sahaja memasarkan album mini terbaharu berjudul Nafas. Dalam album itu, saya muatkan dua buah lagu iaitu Hanya Perasaan dan Sedar. Kedua-duanya dicipta oleh Asry Hasan yang menggalas jawatan sebagai Ketua Kombo RTM di Melaka.
Menariknya, saya turut menjual album tersebut setiap kali menjayakan persembahan. Peminat lebih seronok begitu kerana mereka boleh mendapatkan tanda tangan saya sendiri sebaik sahaja membeli album.
Mengapakah anda meminta khidmat Ketua Kombo RTM untuk mencipta single berkenaan?
Saya mahu mengenang jasa RTM dalam memberikan peluang kepada kumpulan Laksamana membuat persembahan sejak 25 tahun lalu.
Biarpun Asry tidak dikenali sebagai komposer secara komersial, namun dia mampu untuk menghasilkan lagu yang berkualiti.
Bagaimanakah dengan komposisi dua buah lagu berkenaan?
Selepas menyertai Gegar Vaganza, saya mengubah sedikit laluan muzik yang ingin dinyanyikan. Tidak terlalu mendatar, saya masukkan pelbagai warna supaya ia sesuai dengan audiens masa kini.
Boleh kongsikan kepayahan anda sewaktu mahu bergelar penyanyi dua dekad lalu?
Masih segar dalam ingatan, saya terpaksa berjalan kaki dari AU3, Hulu Kelang, Selangor ke Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur untuk sesi rakaman suara.
Sesi rakaman bermula pukul 8 malam dan saya bergerak dari rumah sekitar dua jam lebih awal. Sampai di studio, telinga pula terpaksa ditebalkan apabila produser menyedari kesalahan yang kami lakukan.
Apa yang dilalui dahulu banyak mengajar kami untuk tidak lupa diri dan sentiasa memberikan yang terbaik sewaktu berkarya.
Berbanding dengan situasi yang dilalui generasi penyanyi terdahulu, adakah penyanyi baharu dilihat seperti dimanjakan?
Penyanyi baharu dimanjakan dengan teknologi. Berikan gitar dan akaun YouTube sahaja, mereka sudah boleh bergelar penyanyi. Ketika saya mula-mula mahu bergelar vokalis, banyak sesi uji bakat terpaksa dilalui kerana produser muzik pada waktu itu benar-benar mahukan penyanyi yang baik.
Sebab itu bakat-bakat era 1980-an dan 1990-an masih mampu mengekalkan kredibiliti sehingga kini.
Menyentuh kembali soal relevan dan kredibiliti, apakah pendapat anda tentang program Gegar Vaganza?
Gegar Vaganza merupakan sebuah program yang bagus. Ada segelintir artis yang enggan menyertai program ini kerana ia dianggap tidak setaraf dengan pencapaian dan kredibiliti mereka.
Benar, mereka merupakan seorang penyanyi tetapi berapa ramai yang kenal mereka? Generasi sekarang mungkin tidak kenal atau tidak pernah tahu tentang kewujudan artis lama.
Jadi, Gegar Vaganza adalah sebuah platform yang baik untuk seseorang artis lama kembali bergiat aktif dalam bidang muzik.
Bagaimana pula dengan tawaran menyanyi selepas terlibat dalam program tersebut?
Alhamdulillah, undangan nyanyian semakin banyak. Jika dulu sekali sebulan tetapi kini saya menerima empat hingga enam tawaran persembahan.
Biarpun tidak bergelar juara, saya sudah cukup gembira dengan perubahan ini. Ternyata, program tersebut berjaya membuatkan saya diingati semula, di samping dapat memperkukuhkan punca rezeki.