WAJAH kacak pelakon yang sedang meningkat naik, Nazrief Nazri kini sering kali menjadi penghias di kaca televisyen. Dia antara pendatang baharu dalam industri hiburan seni tanah air. Sungguhpun begitu, kelibatnya seringkali menjadi tumpuan. Barangkali dek wajahnya yang dikatakan mirip pelakon Fahrin Ahmad, dia lebih mudah diingati.
Jika punya rupa, seseorang itu lebih mudah mendapat perhatian ramai. Itu hakikat sebenar yang tidak boleh dinafikan. Sungguhpun begitu, paras rupa bukanlah perkara yang menjadi faktor utama untuk terus kekal relevan dalam industri. Semestinya bakat yang ada pada diri seseorang itu juga menjadi ukuran.
Sebagai orang baharu, pelakon berusia 25 tahun itu memberitahu, dia juga tidak lari daripada penilaian umum mengenai seni lakonannya. Ada yang positif, ada juga negatif. Begitupun, dia lebih cenderung melihat komen-komen umum sebagai satu bentuk galakan buatnya untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang.
“Sebelum ini pun ada orang pertikaikan lakonan saya. Ada yang kata lakonan saya ‘kayu’. Tapi saya ambil itu sebagai satu dorongan untuk memperbaiki mutu lakonan saya.
“Ada juga yang menghentam saya. Saya sendiri tidak kisah jika ada yang ingin menegur. Cuma, saya lebih suka kalau orang menegur dengan cara baik. Janganlah terus menghina. Kita semua ada perasaan, bukannya robot. Kritikan itu kalau boleh biarlah yang membina, bukannya kritikan yang berbentuk seperti mahu menjatuhkan,” katanya ketika ditemui dalam satu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang di lokasi tajaan Swiss Garden Hotel & Residence, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut pelakon drama Cinta Ilahi itu, dia tidak mahu terlalu memikirkan komen-komen negatif. Ini kerana, kebanyakan kata-kata nista yang diberikan kepadanya daripada akaun-akaun yang diragui.
“Kalau saya perhatikan, apabila saya mahu lihat profil akaun yang memberikan komen-komen negatif ini, kebanyakannya mereka ini tidak mempunyai gambar profil pun. Akaun itu seolah-olah kosong sahaja.
“Jadi biasanya, saya tidak akan layan komen sebegini. Jika perlu mungkin saya akan padam atau sekat sahaja,” kata hero drama Lara Terindah yang sedang ditayangkan di slot Akasia kini.
Bercakap mengenai drama tersebut, katanya, dia bertuah dapat bergandingan dengan pelakon yang jauh berpengalaman, Nelydia Senrose. Selain teruja, pada mulanya, dia juga berasa gementar untuk dipadankan dengan pelakon yang sudah punya nama.
“Penggambaran drama ini sudah dijalankan pada tahun lalu. Ketika itu pula, saya masih baru lagi. Jadi apabila diberikan watak utama, sudah pasti rasa gementar juga.
“Apapun, saya berasa cukup bertuah kerana Nelydia juga seorang yang banyak membantu. Walaupun dia sudah ada nama, dia tidaklah pula berlagak diva dengan saya,” seloroh Nazrief.
Katanya, biarpun ada mulut yang cuba mengatakan dia menumpang populariti Nelydia dalam naskhah arahan sutradara Azmi Hatta itu, dia tidak pernah berkecil hati. Apa yang penting, dia sudah memberikan yang terbaik dari segi mutu lakonannya.
“Slot Akasia ini memang slot yang popular. Apatah lagi untuk nama baharu seperti saya, ia secara tidak langsung membantu untuk melonjakkan nama. Memang ada orang kata drama itu trending mungkin sebab ada Nelydia, tapi saya tidak kisah pun,” luahnya.