Kerinduan haji Neelofa


TEMU janji yang diatur bersama Neelofa di pusat beli-belah Evolve Concept Mall, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini berjalan seperti yang dirancang.

Meskipun agak sibuk selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji di Mekah awal minggu lalu, namun wanita berusia 27 tahun itu tidak lokek meluangkan masa bagi berkongsi cerita dan pengalamannya sewaktu berada di sana.

Tampil santai dengan blaus potongan longgar berona jingga lembut, Neelofa yang pada waktu itu sedang berada di lokasi penggambaran, menunggu giliran untuk masuk ke set drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot, tetap ramah membutirkan sapa membelah sunyi suasana.

“Kita borak sambil makan boleh? Saya perlu kejar masa, penggambaran bagi babak seterusnya akan berlangsung tidak lama lagi,” cadang pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor itu sambil tersenyum.

Leret senyuman yang terukir pada wajahnya jelas mencerminkan perasaan tenang yang masih harum membunga di hati. Biarpun kepulangannya ke ibu kota disambut dengan komitmen dan tuntutan kerja, namun kerinduan Neelofa terhadap kota Mekah masih utuh bergunung di hati.

“Saya masih rindu terhadap suasana ketika berada di Masjidil Haram, Mekah. Ada beberapa perkara tentang musim haji dan Tanah Suci yang membuatkan saya banyak berfikir mengenai kehidupan.

“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana perasaan yang dialami ketika itu cukup luar biasa. Sejujurnya, saya berasa seperti dilahirkan semula,” jelasnya yang terbang ke Tanah Suci bersama ibu dan bapa tirinya pada 5 September lalu.

Menurut Neelofa, banyak perubahan positif yang dialami sepanjang berada di Mekah. Ujar pelakon filem Pilot Cafe itu, salah satu perkara yang mencuit nuraninya sepanjang mengerjakan haji adalah peringatan tentang kepentingan pengurusan masa bagi mendirikan solat lima waktu.

“Sepanjang 16 hari berada di sana, saya dikelilingi oleh kelompok jemaah haji yang rajin menunaikan solat, berzikir dan kerap mendengar ceramah agama.

“Secara tidak langsung, saya juga terikut dengan rutin yang diamalkan mereka. Insya-Allah, perubahan positif itu akan saya cuba kekalkan sehingga bila-bila,” ujarnya.

Memutar kembali layangan memori sewaktu melawat makam Rasulullah di Raudhah, Madinah, Neelofa berkata, terdapat satu insiden yang benar-benar membuka matanya terhadap kebesaran kuasa Allah.

Selain dapat menyentuh pintu Multazam dan Hajarul Haswad, lawatan pemenang pertandingan Dewi Remaja 2010/11 itu ke makam baginda Rasulullah turut dipermudahkan dengan bantuan seorang penduduk di sana.


KEMBALI Rasa rindu terhadap kota Mekah bakal terubat apabila Neeloda merancang untuk kembali ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah pada penghujung tahun ini. Pada masa yang sama, Neelofa turut memasang impian untuk kembali mengerjakan haji bersama adik-beradiknya yang lain pada masa akan datang.

“Sebetulnya, sesi lawatan ke makam Rasulullah tidak tersenarai dalam program yang saya ikuti. Namun, ada seorang hamba Allah di sana yang membantu dan membawa kami masuk ke Raudhah. Tanpa perlu bersesak-sesak, kami berjaya sampai ke kawasan makam dengan mudah.

“Lebih menyentuh hati, penjaga makam Rasulullah sendiri yang mengiringi doa kami untuk disampaikan kepada baginda. Begitu besar kuasa Allah terhadap hamba-Nya dengan melancarkan lawatan kami ketika itu,” ujar Neelofa yang menyifatkan kejadian tersebut sebagai rahmat yang tidak ternilai daripada Allah.

Intuisi

Mengerjakan ibadah haji pada usia muda pasti mengundang rasa hairan dalam kalangan khalayak. Apatah lagi jika status haji atau hajah disandang oleh individu yang masih berada dalam lingkungan usia 20-an.

Rasa janggal dan skeptikal terhadap perkara tersebut turut dialami oleh Neelofa sewaktu disuakan dengan cadangan untuk menunaikan haji oleh ibu dan ayah tirinya beberapa bulan lalu.

“Pada awalnya, hati saya berbolak-balik kerana takut tidak bersedia untuk bergelar tetamu Allah. Maklumlah, banyak lagi perkara tentang agama yang perlu saya pelajari sebelum betul-betul mahu ke sana.

“Namun, telahan awal tersebut hilang serta-merta dan hati saya terus terbuka sebaik sahaja kami selesai mendaftar haji. Benar kata orang, jika Allah berkehendakkan sesuatu, maka ia akan berlaku,” jelasnya yang begitu gembira sewaktu dapat menunaikan ibadah dengan lebih tenang ketika berada di Tanah Suci.

Keputusan untuk pergi ke Mekah turut didorong oleh pesanan Allahyarham Datuk Dr. Haron Din yang dititipkan menerusi ayah tirinya, Abdul Halim Khan yang menziarahi Mursyidul Am Pas itu ketika beliau sedang terlantar sakit.

“Setiap tahun, beliau pasti mengingatkan ayah untuk pergi menunaikan haji. Kebetulan, ketika terlantar sakit baru-baru ini, beliau sempat berpesan supaya saya turut serta jika ayah dan ibu ke Mekah.

“Alhamdulillah, hasrat beliau telah tertunai dan segala urusan selepas itu telah dipermudahkan,” jelasnya lagi,

Melanjutkan bicara mengenai status hajah yang dimiliki, Neelofa berkata, keberangkatannya ke Mekah bukanlah semata-mata mahu memburu sebarang gelaran, mahupun pengiktirafan.

Sebaliknya, jiwa kerdil wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu lebih mengharapkan sebuah perubahan yang dapat memperbetulkan setiap kekhilafannya sebelum ini.

“Sebagai seorang selebriti, saya sering dipandang oleh ramai orang ramai sebagai contoh kepada masyarakat. Bagaimanapun, saya masih lagi manusia biasa yang kerap melakukan kesalahan. Kadang-kala, kita sendiri tidak sedar tentang kesilapan yang kita lakukan.

“Saya memang tidak memandang status atau gelaran hajah semata-mata. Sebaliknya, saya mahukan perubahan yang signifikan, terutama dari segi kerohanian dan pembentukan jiwa sekembalinya saya dari sana,” katanya.


MELETOP Ada yang mempersoalkan keputusan Neelofa apabila dia dilihat bersiaran secara langsung menerusi rancangan MeleTOP sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur pada 20 September lalu. Namun menurut dramatis itu, dia telah mendapat rehat yang cukup sepanjang penerbangan pulang dan tidak mempunyai masalah untuk melunaskan tanggungjawabnya sebagai pengacara program tersebut.

Ditanya apakah harapan dan doa yang dipanjatkan selepas bergelar hajah pada usia muda, jawab Neelofa ringkas: “Saya mahu menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur. Saya mahu berada dekat dengan Allah dan mencipta perasaan sayang yang besar terhadap-Nya setiap masa.”

Inspirasi

Sejak melibatkan diri dalam bidang seni dan perniagaan, kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh Neelofa banyak memberi inspirasi kepada golongan muda.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, ibadah hajinya pada tahun ini turut mencuri tumpuan, khususnya golongan yang seusia dengannya.

Terharu apabila dilihat sebagai inspirasi dan contoh, Neelofa punya nasihat yang tersendiri buat golongan muda yang mahu menunaikan ibadah haji atau umrah.

“Saya selalu berpesan kepada rakan-rakan yang menabung untuk berkahwin, membeli rumah atau kereta supaya mengasingkan simpanan untuk ibadah haji. Ketika usia masih muda adalah waktu yang paling sesuai untuk ke sana.

“Walaupun belum bersedia sepenuhnya, kita sediakan diri untuk berubah di sana. Insya-Allah, hati akan lembut apabila tiba di Mekah,” kata Neelofa sambil sekali lagi menegaskan supaya kesedaran dan keinginan untuk Mekah harus dipupuk sedari usia muda.

Berlakon

Menyentuh mengenai drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot yang masih dalam proses penggambaran, watak Warda Erina yang digalas Neelofa dalam naskhah adaptasi novel tersebut merupakan kemunculan pertamanya dalam lapangan penerbitan drama bersiri selepas kali terakhir beraksi sebagai teraju menerusi Kau Yang Terindah pada 2012.

Menurut pelakon yang pernah mengikuti kursus jangka pendek di Sekolah Filem dan Lakonan Akademi Filem New York, Los Angeles, Amerika Syarikat itu, dia mengharapkan kemunculan semula sebagai pelakon mampu memberikan pulangan yang berbaloi selepas empat tahun kelibatnya di layar kaca tidak kelihatan.

“Jalan ceritanya bagus dan pelakon yang menjayakan drama ini juga saling melengkapi antara satu dengan lain.

“Saya berharap Suri Hati Mr. Pilot dapat mencetuskan kegilaan dan fenomena luar biasa dalam kalangan penonton apabila ia mula ditayangkan pada awal Oktober depan,” katanya yang turut bergandingan dengan pelakon Fattah Amin, Alif Satar dan Siti Nordiana menerusi drama arahan Michael Ang itu.

Beralih ke arah perancangan jangka panjangnya sebagai seorang usahawan, Neelofa mengimpikan sebuah perniagaan yang berbeza berbanding apa yang dilakukannya kini.

“Seiring dengan pembukaan kedai Naelofar Hijab di London, England, saya berhasrat untuk mencuba bidang perniagaan kosmetik dengan menghasilkan produk kecantikan mewah.

“Pada masa yang sama, saya juga merancang untuk membangunkan syarikat pembinaan. Insya-Allah,” tutup Neelofa.

Post a Comment

Previous Post Next Post