
Saban tahun, berdiri di atas mana-mana pentas berprestij, aksi lincah diperkuat dengan listrik vokal padu penghibur tersohor bernama Beyonce tidak pernah mengecewakan. Sekali pun ada dalam kalangan peminat mengatakan dia sudah tidak relevan kerana umum mengetahui keupayaan dirinya menghadirkan magis luar biasa di atas pentas, dia terus memaku perhatian ramai dengan persembahan luar daripada kotak pemikiran normal.
Bertempat di Madison Square Garden, New York, Amerika Syarikat (AS) telah menyaksikan kemasyhuran berganda permaisuri hidup kepada rapper terkemuka Jay Z itu atau nama sebenarnya, Beyoncé Giselle Knowles. Masakan tidak, bukan sahaja cemerlang menggegarkan pentas Video Music Awards 2016 (VMA 2016) dengan persembahan berdurasi 15 minit pada kelas tersendiri, pelantun lagu Single Ladies itu turut membawa pulang lapan anugerah daripada 11 pencalonan pada acara tersebut.
Mendendangkan empat buah lagu yang dipetik daripada album terbaharu, Lemonade iaitu Pray You Catch Me, Hold Up, Sorry, Don’t Hurt Yourself dan Formation, ibu kepada si cilik Blue Ivy Carter itu menyapu bersih lapan trofi ‘Moon Man’ melalui kemenangan Video Terbaik, Video Wanita Terbaik, Video Pop Terbaik, Sinematografi Terbaik, Pengarahan Terbaik, Video Panjang Terbaik, Koreografi Terbaik dan Suntingan Terbaik.
Usai persembahan bertenaga tersebut, seperti biasa dia menjemput standing ovation (tepukan sambil berdiri) daripada penonton yang hadir. Memperjuangkan hak wanita seperti dibukukan dalam Lemonade, dia yang diberi jolokan sebagai Queen Bey itu turut mengejutkan khalayak dengan aksi memecahkan skrin kamera menggunakan kayu besbol.
Bukan hadir dengan karya kosong, ramai mempercayai serta menyokong bahawa Lemonade merupakan satu dokumentasi yang membawa mesej feminisme tetapi turut mengandungi mesej politik serta mempamer perpaduan dengan pergerakan Black Lives Matter.
Pecah rekod Madonna
Dengan kemenangan besar pada acara tersebut, Beyonce kini memegang rekod sebagai penyanyi wanita paling banyak memenangi anugerah dalam sejarah penganjuran VMA dengan 24 trofi secara keseluruhan mengatasi ratu pop, Madonna yang sebelum ini memegang rekod tersebut dengan 20 trofi.
“Terima kasih kepada suami saya yang hebat, Jay Z dan anak perempuan saya yang cantik, Blue Ivy kerana sentiasa memberi sokongan.
“Saya mempunyai kumpulan yang bekerja tanpa mengenal erti penat dan sanggup bersengkang mata demi hasil kerja yang terbaik. Saya juga ingin mendedikasikan anugerah ini kepada penduduk New Orleans. Semoga Tuhan merahmati anda semua, terima kasih,” ujarnya ringkas saat menerima trofi Video Terbaik.
Pada majlis sama, Rihanna turut diberi penghargaan sama yang pernah diterima Beyonce pada edisi VMA 2014 menerusi anugerah Video Vanguard Michael Jackson selain diberi peluang melakukan persembahan sebanyak empat kali menerusi empat slot berbeza.
Pada edisi VMA terdahulu, puterinya, Blue Ivy hadir ke pentas bagi menghulurkan anugerah Video Vanguard Michael Jackson kepada ibunya. Kali ini, kanak-kanak itu mencuri tumpuan dengan mengenakan gaun indah berharga AS$11,000 (RM44,758) sewaktu melintas di karpet merah bersama Beyonce.
“Hubungan antara saya dan Blue Ivy adalah satu perkara yang tidak pernah dialami sebelum ini. Dia memperkenalkan saya dengan lebih dekat terhadap diri sebenar saya,” ujarnya dalam satu temu bual.
Peribadi
Menyentuh soal pembikinan album Lemonade, ia adalah buah tangan berbeza yang cukup dekat dengan bekas anggota kumpulan Destiny’s Child itu. Biarpun tidak banyak yang didedahkan olehnya tentang inspirasi peribadi konsep, gubahan dan nukilan lirik mahupun penghasilan klip video luar biasa menerusi album tersebut, ia turut menggambarkan gelora hatinya terhadap raja hatinya, Jay Z.
“Saya tidak akan menjadi wanita seperti hari ini jika saya tidak balik ke rumah dan menghabiskan masa bersamanya. Dia telah membantu saya daripada pelbagai segi,” ujarnya ringkas dalam satu temu bual bersama personaliti televisyen terkemuka, Oprah Winfrey beberapa tahun lalu saat hubungan cintanya dengan Jay Z mula berputik.
Benar, dia bukanlah seorang bintang yang gemar mencanang kisah peribadi dirinya kepada umum. Bagaimanapun, seperkara mengenai dirinya, Beyonce lebih gemar bercerita kisah hati menerusi karya atau persembahan pentas kepada peminatnya.
Dalam satu persembahan jelajah di Los Angeles, dia menukar beberapa perkara dalam lagu berjudul Resentment seperti memberi gambaran bahawa rumah tangganya dengan Jay Z tidak lagi seindah dahulu disebabkan kecurangan suaminya itu.
“Saya tahu dia menarik tetapi saya telah mengembara bersama dia selama 12 tahun. Apa yang telah saya lakukan untuk menerima layanan sebegini daripada anda,” gubah Beyonce dalam satu persembahan melalui lagu Resentment sambil menggayakan gaun pengantin.
Gosip ribut rumah tangga pasangan tersebut semakin hangat apabila pada acara VMA 2016 yang berlangsung minggu lalu, Jay Z tidak dilihat bersama Beyonce pada acara kapet merah. Bagaimanapun, tersebar beberapa gambar pasangan tersebut menghadiri majlis parti peribadi sempena dengan kemenangan besar Beyonce yang turut disertai Kanye West bersama isteri, Kim Kardashian.
“Jay Z dan Beyonce nampak seperti pasangan suami isteri yang bahagia. Beyonce sendiri tersenyum lebar seperti menggambarkan sedang bahagia dengan kehidupannya,” ujar satu sumber tentang gambar tersebut yang dirakam di sebuah kelab elit, Pasquale Jones.
Ujar sumber tersebut lagi, pelantun lagu Halo itu sudah memaafkan suaminya itu selepas kemunculan album Lemonade. Bukan itu sahaja, mereka sempat menghabiskan masa bercuti di sebuah pulau di Itali serta memberi gambaran positif hubungan mereka apabila ‘ditangkap’ bersama pada pelancaran filem biografi sukan, Hands of Stone, baru-baru ini.