
Majlis perkahwinan Nazim dan Bella hanya mendapat tajaan pakaian, fotografi serta pelamin sahaja. Selebihnya Nazim memilih untuk menanggung sendiri kos perkahwinan.
Tinggal beberapa hari sahaja lagi pasangan pelakon, Nazim Othman dan Bella Dally bakal diijabkabulkan pada 10 September ini di Kota Kinabalu, Sabah. Debaran bertukar status kepada suami orang semakin dirasai oleh Nazim.
Meskipun begitu, Nazim yang sebelum ini memilih laman sosial Instagram untuk membuat pengumuman tarikh perkahwinannya sempat berkongsi cerita mengenai perjalanan cintanya selama lima tahun bersama Bella. Akuinya sepanjang tempoh perkenalan sejak tahun 2011, mereka pernah putus cinta sebanyak dua kali.
Namun, ikatan jodoh antara mereka cukup kuat. Semakin usia menginjak dewasa, Nazim sedar bahawa Bella merupakan satu-satunya wanita yang mampu melengkapi kehidupannya. Justeru, selepas membuat lamaran kepada Bella, mereka mengikat tali pertunangan pada 14 November tahun lalu dan kini menuju gerbang perkahwinan. Tiada lain harapan Nazim. Dia mahu mahligai yang dibina bersama wanita yang dicintai bertahan selamanya.
Kosmo!: Bagaimanakah perasaan Nazim bakal bergelar suami tidak lama lagi?
Nazim: Sejujurnya agak gementar kerana bakal menggalas tanggungjawab yang lebih berat selepas ini. Cuma, saya mengaku paling gementar untuk majlis akad nikah sebab dalam perkahwinan, ia majlis paling penting. Resepsi hanyalah aksesori dan saya tidak terlalu bimbang sangat.
Adakah anda menyerahkan persiapan perkahwinan kepada keluarga?
Disebabkan terlalu sibuk dengan penggambaran Lara Aishah, saya terpaksa menyerahkan persiapan perkahwinan kepada keluarga. Namun, saya tetap memantau dari jauh kerana saya seorang yang cerewet. Contohnya, setiap perkembangan terbaharu persiapan perkahwinan akan diberitahu dan saya akan memberi pendapat walaupun tidak berada di Johor.
Maknanya anda masih sibuk bekerja menjelang hari perkahwinan?
Saya tiada pilihan lain kerana kerja harus diutamakan. Saya cuma mengambil cuti beberapa hari untuk majlis akad nikah dan resepsi di Kota Kinabalu, Sabah pada 10 September. Selepas itu, saya akan bekerja semula sebelum resepsi sebelah keluarga saya pula di Johor pada 17 September depan. Oleh sebab itu, bulan madu terpaksa ditunda sehingga ada kelapangan kerana drama Lara Aishah hanya akan selesai penggambaran sekitar Disember depan.
Apakah yang menarik tentang Bella sehingga anda memilihnya sebagai bakal isteri?
Sebenarnya tiada orang boleh tahan dengan perangai saya selain Bella. Selain itu, walaupun sebelum berkahwin sudah nampak dia seorang yang taat. Contohnya jika timbul sebarang isu tentang kami, saya berpesan kepadanya supaya tidak membuat kenyataan. Bukan apa, lebih manis hal tentang hubungan dijawab oleh pihak lelaki dan dia boleh mengikut rentak saya dengan baik. Tambahan, kami saling melengkapi kelebihan dan kekurangan masing-masing. Walaupun pernah putus cinta sebanyak dua kali, ikatan jodoh antara kami cukup kuat.
Sepanjang bercinta selama lima tahun, apakah dugaan terbesar yang dihadapi kalian?
Jika hendak bercerita tentang dugaan memang banyak, antaranya jurang perbezaan usia kami yang besar. Ketika awal perkenalan dia baru berusia 20 tahun dan saya sudah berusia 27 tahun, jadi cara pemikiran kami tidak sama. Saya mengambil masa selama dua tahun untuk memahami dirinya.
Sejauh mana Bella mengubah diri anda sepanjang percintaan?
Sebenarnya banyak juga dia mengubah diri saya, ditambah dengan kematangan diri sendiri dan jatuh sakit tempoh hari (ketumbuhan otak). Terus-terang saya mengaku dulu, saya seorang yang cepat panas baran, salah sikit cepat hendak melenting. Sekarang apabila usia melewati angka 30 tahun, rasanya ramai sudah mula perasaan akan perubahan diri saya. Saya lebih senang untuk bertolenransi dan tidak lagi baran seperti dahulu.
Adakah anda akan membenarkan Bella berlakon selepas berkahwin?
Saya tidak pernah menghalangnya untuk melakukan sesuatu yang diminati termasuklah lakonan. Tidak adil untuk saya menghalangnya. Namun, selepas dia bertudung saya mengaku ada mengawalnya sedikit terutamanya dalam fasa bertunang. Selepas berkahwin rasanya, dia juga tahu menjaga batas sebagai seorang isteri.