Ika Nabella mahu jadi seperti Nabila Huda


PELAKON hitam manis, Ika Nabella, 27, yang baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan hati, Muhammad Zaid, 29, bulan lalu mengakui masih menjadikan lakonan sebagai kerjaya utamanya, meskipun sudah bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan berjaya.

Bagi pemilik nama Ika Nabila Abdul Rahim ini, soal status bukanlah penghalang buatnya untuk terus maju dalam lakonan, seperti mana yang dilakukan idolanya Nabila Huda.

“Bagi saya status sebagai isteri bukan penghalang besar buat seseorang pelakon wanita itu apatah lagi penonton sekarang rasanya lebih bijak untuk menilai kualiti lakonan seseorang pelakon itu berdasarkan watak yang dibawanya.

"Bukan hanya menilai perihal status semata-mata. Sebab kalau nak diikutkan, ramai pelakon wanita senior yang lain juga sudah pun mendirikan rumah tangga dan mereka kekal sukses dalam lakonan dan terbaru, Nabila Huda baru saja dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia yang lalu," katanya.

Sebagai rakan, Ika Nabella gembira atas kejayaan yang dilakar Nabila Huda lebih-lebih lagi dia merupakan antara idolanya dalam dunia lakonan.

"Memang saya pasang impian untuk mengikut jejak langkahnya dan insya-ALLAH, dengan usaha yang berterusan, saya percaya impian untuk menggenggam anugerah yang sama akan menjadi realiti,” kata Ika optimis.

Selain Nabila Huda, aktres lain yang turut menjadi rujukan Ika ialah Norkhiriah.

Tambah Ika, dia pernah bergandingan dengan pelakon senior itu menerusi drama Bila Perempuan Menjerit lebih kurang empat tahun lalu.

“Apabila berlakon bersamanya, saya dapat rasakan aura yang dibawa. Watak yang dia galas dipegangnya dengan sepenuh jiwa.

"Jadi tidak hairanlah ramai yang berikan gelaran pelakon versatil buat Norkhiriah,” katanya lagi.

Hayati lakonan

Ditanya apakah cara tersendiri Ika di dalam menghayati sesebuah peranan yang diberikan, pelakon yang sinonim menerusi watak antagonis ini memberitahu, dia lebih gemar melakukan pemerhatian menerusi tingkah laku orang terdekat, termasuk rakan-rakan.

“Jika pelakon lain ada cara mereka tersendiri, begitu juga dengan saya.

"Jujurnya, jika saya terima sesebuah watak itu, saya lebih gemar memerhati tingkah laku orang sekeliling termasuk rakan-rakan untuk mendapat ilham dan gambaran perihal sesebuah watak," katanya.

Jelasnya, ada pelbagai aspek yang diperhatikan termasuk cara ketawa, berjalan dan sebagainya.

"Sebab saya percaya kita boleh belajar mengenai sesuatu perkara itu bukan hanya menerusi pembelajaran, tetapi juga melalui pemerhatian dan pengamatan.

“Jadi daripada situlah saya cuba kembangkan ia seperti mana yang dikehendaki pengarah,” jelas Ika yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama 16 episod Awak Sangat Nakal untuk saluran Astro Ria di samping Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat.

Drama tersebut yang merupakan adaptasi novel menyaksikan Ika memegang watak sebagai Ustazah Ain yang merupakan tunang kepada Sharnaaz.

Rindu menyanyi

Sementara itu, pelakon yang terlebih dahulu mencuba nasib sebagai penyanyi menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke-6 ini turut merindui fasa kerjayanya sebagai seorang penyanyi tidak lama dulu.

“Sekarang demam Akademi Fantasia 2016 kian menjadi-jadi. Jadi bohonglah kalau saya kata tidak rindu saat berada di AF tidak lama dulu.

"Biar tidak melepasi fasa akhir, namun momen bersama rakan-rakan lain cukup memberi saya kerinduan yang menebal dalam nyanyian.

"Ya, jika ada undangan nyanyian yang bersesuaian, saya masih terima dan terbaru, saya ada membuat persembahan bersempena dengan sambutan kemerdekaan baru-baru ini di Seremban.

“Jadi ia sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya terhadap nyanyian. Walau tidak mampu untuk merakam album namun ia berbayar bila kita dapat melakukan persembahan menghiburkan penonton,” kata Ika yang cukup bertuah kerana mendapat suami yang menjadi penyokong terbaiknya dalam dunia seni.

Post a Comment

Previous Post Next Post