Survival kelana Yuna


BERAHSIA - Bagi Yuna, hubungan cinta antara dirinya dengan adik aktor Ashraf Sinclair iaitu Adam Sinclair tidak perlu dicanang kepada umum. Dia lebih selesa berkongsi tentang perkembangan seninya berbanding soal cinta.

Bertemu dengan Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 29, terkenang betapa jauhnya wanita kelahiran Alor Setar, Kedah itu telah melangkah sejak single berbahasa Melayu perdana berjudul Dan Sebenarnya meletus sekitar tahun 2008.

Siapa sangka, dia yang kini melakar nama di Amerika Syarikat (AS), mampu berkolaborasi bersama bintang antarabangsa, Usher menerusi lagu Crush yang dimuatkan dalam album terbaharu miliknya berjudul Chapters.

Tatkala terang bintangnya bersinar pada peringkat antarabangsa, Yuna dihujani deruan suara-suara sumbang yang kebanyakannya hadir dalam kalangan peminat tempatan.

Membawa nama Malaysia di AS dengan imej wanita Muslim yang sinonim menggayakan imej berturban, dia sentiasa dipalu dengan kritikan. Bagaimanapun, setiap bait perkataan yang terluah di laman sosialnya bukan melulu semata-mata tetapi dia juga seperti manusia lain, tidak lari daripada kekhilafan.

Pertahan diri

Sudah masak dengan segala kecaman dan kritikan, kesabaran Yuna akhirnya tercabar apabila menyedari penyiaran video parodi lakonan Jihan Muse serta Syuk Balas berkaitan lagu Crush yang ditayangkan di satu program hiburan sebuah stesen televisyen berpengaruh tempatan.

“Saya rasa ada segelintir pihak di sini tidak faham dengan situasi saya di sana. Saya memang patut bersuara untuk menjelaskan perkara sebegitu kerana ia boleh menjejaskan kerjaya saya di sana.

“Saya hidup seorang diri di sana dan telah bekerja keras untuk sampai pada tahap di mana saya berada sekarang. Mungkin senang orang berkata saya mudah melenting tetapi saya takkan biarkan orang lain merosakkan segala penat lelah membina nama di sana,” getusnya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Hatta Yuna yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Dia menambah, apabila segelintir pihak menuding jari mengatakan dirinya seorang selebriti yang tidak boleh diusik langsung, dia hanya mampu membuahkan hela tawa dengan kenyataan itu.

“Hal ini bukan soal saya tidak boleh diusik langsung ataupun tidak. Kepada mereka yang betul-betul mengikuti perkembangan seni saya, banyak telah saya korbankan.

“Ada perkara yang boleh dijadikan sebagai gurauan dan ada juga tidak. Kalau orang AS tahu tentang kewujudan video parodi tersebut, mana saya mahu letak muka?” jelasnya.

Pada hematnya, dia perlu bangkit mempertahankan diri jika ada pihak hadir merosakkan segala impian yang telah dibina hampir enam tahun hidup berdikari sebagai seorang penyanyi di AS.

Yuna memberitahu, dia tahu peminat di Malaysia begitu prihatin dengan keadaannya di AS. Mereka takut dirinya terpengaruh dengan perkara-perkara negatif.

Dia sangat berterima kasih dan menghargai keprihatinan itu.

“Bagaimanapun, apabila orang kata saya mudah sentap, saya sendiri tidak nafikannya terutama apabila ada yang melabel saya sebagai ‘perempuan sampah’. Saya ada keluarga yang sayangkan saya. Jadi, apabila tohmahan sedemikian datang daripada bangsa saya sendiri, memang saya tidak boleh terima.

“Sekalipun jika mereka tidak menyukai saya, tidak perlu menghamburkan kata-kata negatif seperti itu. Cukup hanya dengan mendoakan agar saya sentiasa berubah ke arah kebaikan. Insya-Allah,” ujarnya.

Privasi


PULANG - Single terbaharu berbahasa Melayu berjudul Pulang merupakan kerjasama sulung Yuna bersama rapper dan komposer berbakat besar tempatan, SonaOne.

Dalam lancar mendengar pelantun lagu Live Your Life itu berceloteh, dia tersipu malu apabila disogok soal jejaka yang sedang bertakhta di hatinya. Enggan mengiyakan atau menidakkan hubungan istimewa dengan adik kepada aktor Ashraf Sinclair iaitu Adam Sinclair.

“Kalau boleh saya tidak mahu bercakap tentang hal cinta. Bagi saya, itu adalah privasi hidup saya. Apabila masanya sudah tiba, saya akan berkongsi dengan pihak media tentang hal cinta.

“Buat masa sekarang, kerjaya merupakan perkara utama dalam hidup. Soal hubungan cinta biarlah saya simpan sahaja dahulu (tertawa),” katanya.

Bagaimanapun, Yuna sempat memboloskan beberapa perkara mengenai jejaka yang sedang hangat digosipkan bercinta dengannya itu. Kata Yuna, dia selesa berkenalan dengannya sementelah menyifatkan jejaka berjambang itu sebagai seorang yang sangat memberi sokongan.

“Saya bahagia kerana dikelilingi orang-orang yang sangat supportive. Dia (Adam) sentiasa memberi semangat kepada saya, malah sangat berbeza berbanding ‘teman-teman’ sebelum ini.

“Dia sangat bijak dan baik hati. Kesabarannya membuatkan saya semakin selesa untuk berkawan dengannya,” ulasnya lagi.

Pulang, Hatta X Yuna

Sementara itu, pada majlis sama, Yuna sempat mendendangkan single duet berbahasa Melayu berjudul Pulang bersama rapper muda berbakat besar, SonaOne, sekali gus melancarkan lagu tersebut di Malaysia.

“Alhamdulillah, saya memang sudah lama ingin bekerjasama dengan SonaOne. Lagu Pulang ini istimewa kerana saya tulis enam bulan lalu di AS. Ia mendapat sentuhan daripada AG Coco yang turut bertindak sebagai penggubah lagu dan penerbit.

“Disebabkan sudah mememahami cara SonaOne bekerja, saya tidak menolak untuk terus berkolaborasi dengannya bagi projek akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, dia turut berkongsi penerimaan para peminat di AS apabila mendengar single bahasa Melayu terbaharunya itu.

“Ramai peminat saya di sana menyukai lagu ini walaupun ia dalam bahasa Melayu. Ada yang sibuk bertanya apa maksud Pulang dan sebagainya. Rasa bangga kerana mereka ingin mengetahui tentang bahasa kita,” ujarnya yang menolak untuk mempunyai versi bahasa Inggeris bagi lagu berkenaan.

Terus mengukuhkan portfolionya sebagai wanita yang sentiasa bekerja keras, Yuna turut hadir dengan koleksi pakaian hasil kolaborasi dengan pereka fesyen terkenal tanah air, Hatta Dolmat.

Diberi nama Nuova Flora, koleksi pakaian tersebut mempunyai sembilan rekaan menepati cita rasa dirinya sebagai wanita Muslim yang gemar menggayakan fesyen islamik sofistikated.

“Saya dan Hatta mula datang dengan idea rekaan ini sejak tahun lalu kerana apabila saya balik Malaysia untuk melakukan persembahan pentas, dia akan hadir dengan rekaan pakaian yang sangat cantik.

“Jadi, apabila saya selalu memadankan pakaian yang lain daripada lain sekali gus ia disedari para peminat di laman Instagram. Mereka selalu bertanya di mana boleh mendapatkan pakaian tersebut,” kongsinya.

Sehubungan itu, Yuna berbincang dengan Hatta untuk hadir melalui koleksi pakaian yang mempunyai harga berpatutan dan boleh mampu dimiliki terutama para peminat.

Begitupun, koleksi berkenaan tetap mempunyai kualiti yang baik dan rekaan menarik. Buat masa ini, koleksi pakaian Nuova Flora boleh didapati di laman web beli-belah, Fashion Valet.

Post a Comment

Previous Post Next Post