Afgan Sides janji kelainan


Penyanyi sensasi Indonesia, Afgansyah Reza pada sidang akhbar Afgan Sides Live In Malaysia 2016 di Red Box, The Gardens baru-baru ini.

BIARPUN baru setahun yang lalu mengadakan persembahan berskala besar di negara ini, penyanyi kacak dari Indonesia, Afgan sekali lagi mengambil langkah berani tampil dengan konsert Afgan Sides Live In Malaysia 2016.

Menjanjikan kelainan daripada konsert terdahulu, penampilan Afgan dalam konsert yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC pada 3 September depan itu adalah bersempena pelancaran album baharu berjudul Sides.

“Konsert ini diadakan sempena dengan pelancaran album baharu saya berjudul Sides. Album ini banyak mengupas sisi yang belum pernah saya tampilkan sebelum ini dan membolehkan pendengar merasai kematangan dalam muzik Sides.

“Walaupun baru setahun lalu mengadakan konsert tetapi apa yang saya ingin sampaikan dalam konsert ini lebih bersifat peribadi. Saya menulis lirik, pendengar boleh tahu apa yang ada dalam fikiran dan kematangan dalam muzik saya.

“Malah, ada beberapa hal yang akan saya sampaikan dalam konsert ini tiada pada konsert lalu,” katanya ketika ditemui di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbicara perihal konsert yang bermula pada pukul 8 malam itu nanti, Afgan atau nama penuhnya Afgan Syah Reza menjelaskan, dia sengaja menggabungkan tiga konsep muzik berlainan yang mewakili dirinya.

Lebih istimewa, bagi mendekatkan peminat terhadap lagu-lagu yang terdapat dalam album baharunya, dalam konsert itu nanti Afgan turut menyanyikan lagu-lagu daripada album Sides.

“Terdapat tiga segmen dalam konsert itu nanti. Dalam segmen pertama, saya akan membawakan lagu berkonsep rock & roll, yang kedua pula lagu-lagu balada bersifat penghargaan yang banyak bermain emosi penonton dan segmen terakhir pula diisi dengan lagu-lagu R&B.

“Sebanyak 21 buah lagu yang akan disampaikan termasuklah lima lagu daripada album Sides. Selain itu, saya juga akan menyanyikan beberapa lagu daripada penyanyi Malaysia sebagai penghargaan untuk muzik di negara ini,” ujarnya tersenyum.

Kolaborasi

Berkongsi rasa teruja dengan kelainan yang cuba ditampilkan dalam album baharu dan konsertnya nanti, Afgan turut memberitahu kolaborasinya bersama penyanyi rap terkenal negara, SonaOne.

Ditanya tentang pemilihan SonaOne untuk terlibat dalam pembikinan album Sides, tanpa berfikir panjang, Afgan menjawab:

“Sebenarnya saya sangat suka muzik SonaOne. Dia merupakan seorang penghibur berbakat dan mampu menghasilkan muzik yang segar untuk pendengar.

“Kami cuma mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan dua buah lagu. Saya menulis lirik dan SonaOne mencipta melodi yang bersesuaian dengan apa yang saya mahukan.

“Hasilnya, kami mencipta dua buah lagu bertajuk Rollercoaster dan X. SonaOne turut akan menghangatkan lagi konsert saya dan kami akan menyanyikan lagu X secara berduet. Kolaborasi ini sangat bagus dan saya tidak sabar untuk melihat reaksi peminat.”

Selain konsert di Malaysia, Afgan turut membuat promosi sempena album Sides dengan menganjurkan konsert di negara asalnya termasuk Singapura.

Tidak sabar untuk bertemu dengan peminat kesayangan, Afgan memberitahu, dia sedikit pun tidak berasa penat dengan rangka promosi yang telah dirancang kali ini.

“Selain Malaysia, sebenar di Indonesia juga saya akan mengadakan konsert. Lokasinya adalah di Bandung, Medan, Makasar, Surabaya dan Jakarta. Bukan itu sahaja, saya juga akan ke Singapura untuk mengadakan konsert di Esplanade.

“Jika ditanya soal penat, pastinya jawapan saya adalah tidak. Malah, saya lebih bersemangat untuk bertemu dengan peminat kerana telah berehat hampir tiga tahun demi memberi ruang terhadap pengajian,” tuturnya.

Sebelum mengakhiri bicara, Afgan turut berkongsi perkembangan lain dirinya yang baru sahaja menyiapkan sebuah filem pendek juga menggunakan judul Sides. Bukan itu sahaja, Afgan juga mula menulis lagu untuk penyanyi lain.

“Filem Sides sudah boleh ditonton di laman YouTube. Terdapat tiga bahagian dalam filem tersebut yang memaparkan latar belakang, misi yang ingin dicapai melalui album Sides dan perihal kehidupan peribadi saya.

“Saya juga sudah mula menulis lagu untuk penyanyi lain. Ini merupakan pertama kali saya mencipta lagu untuk orang lain dan penyanyi tersebut adalah Rossa. Lagunya berjudul Sisakan Hatimu,” ujarnya seraya menggulung bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post