Soal bahasa anak & jodoh Erra Fazira


SENSASI - Erra tidak mahu kisahnya bersama Shahir terlalu disensasikan dan diberi perhatian melampau sehingga menimbulkan salah faham peminat dan orang ramai.

Hampir 20 tahun bertapak dalam industri hiburan, sudah banyak kemanisan kejayaan yang dikecapi oleh aktres yang digelar primadona Melayu, Erra Fazira, 42, dalam kerjaya seninya.

Seiring dengan keutuhan jenama Erra Fazira, anak kelahiran Selangor itu turut memiliki perniagaan tudung, Rara By Erra Fazira yang diusahakan sejak lima tahun lalu.

Tahun ini menyaksikan sebuah lagi impian pemegang nama Fazira Wan Chek itu tercapai apabila dia melancarkan dua produk minyak wangi miliknya dengan kerjasama syarikat Hot Perfumes & Air Fresherner Sdn. Bhd. di pasaran.

Minyak wangi yang diberi nama Forget Me Not dan Loveable by Erra Fazira tersebut mendapat sentuhan peribadi wanita itu dari segi proses penghasilan wangian dan nama digemarinya.

Sekilas pandang, taktik selebriti menjual rangkaian minyak wangi bukanlah sesuatu yang asing dalam dunia hiburan kini kerana sudah ada beberapa artis turut tampil dengan produk sama terlebih dahulu.

Persaingan bagaimanapun bukanlah matlamat utama yang dikejar Erra ketika mahu menghasilkan jenama minyak wangi sendiri tetapi lebih kepada memuaskan kehendak peribadi.

Ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi Forget Me Not dan Loveable by Erra Fazira di Hotel Royale Chulan baru-baru ini, dia mengakui dirinya seorang yang sangat menggilai minyak wangi dan akan merasa ralat andai tidak menghasilkan produk berkenaan sepanjang hayat bergelar anak seni.

“Saya hampir berputus asa sewaktu menjalani proses menghasilkan minyak wangi ini.

“Terdetik rasa hairan apabila melihat orang lain senang sahaja mengeluarkan minyak wangi dalam masa singkat sedangkan saya pernah sampai ke tahap merasakan projek ini tidak akan berjaya,” katanya yang mengambil masa setahun sebelum melancarkan rangkaian minyak wanginya.

Aktres yang dicungkil bakat melalui filem Sembilu itu tidak kisah jika ada yang mendakwa dia akan berdepan kerugian, seandainya mengeluarkan produk minyak wangi.

Katanya, biarlah minyak wangi tersebut menjadi tanda hati dia kepada peminat. Tinggal lagi, dia menikmati keseronokan melihat impiannya berjaya digapai.

Isu bahasa Melayu anak

Meninggalkan sebentar soal kerjaya, Erra seperti ibu-ibu lain di luar sana. Dia juga teruja mahu berkongsi momen-momen indah bersama anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran yang sudah menginjak usia tujuh tahun dan semakin petah berbicara.

Baru-baru ini, Erra telah memuat naik sebuah video di laman Instagram yang menyaksikan Aleesya berdepan kesukaran untuk berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu dan kedengaran sedikit pelat.

Umum menyedari berdasarkan video-video anak gadis bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 sebelum ini, Aleesya sememangnya lebih selesa bertutur di dalam bahasa Inggeris, malah kelancarannya sudah boleh dilihat sejak usia kecil lagi.

Namun begitu, video kepelatan Aleesya bercakap bahasa Melayu yang terbaharu ini, menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat hingga ada yang membuat dakwaan Erra terlalu memodenkan anak hingga lupa bahasa ibunda.

Hanya tertawa mendengar perkara berkenaan, pelakon tinggi lampai itu berkata, dia tidak melihat situasi tersebut sebagai isu besar atau masalah kerana setiap kanak-kanak berbeza pendekatannya.

Tidak menafikan bahasa pertuturan dia dan Aleesya di rumah hampir keseluruhannya menggunakan bahasa Inggeris, Erra tetap menerapkan nilai-nilai tradisional dan tatasusila orang Melayu di dalam diri anaknya itu.

“Kita tidak boleh memaksa semua benda dalam satu masa untuk dipelajari oleh anak-anak. Jadi, saya mengajarnya secara perlahan-lahan seperti membawanya pulang ke kampung. Memandangkan bahasa Inggeris Aleesya sudah lancar, sekarang saya memperbanyakkan bercakap bahasa Melayu pula dengannya.

“Untuk tuduhan yang mendakwa saya mendidik anak dengan cara terlalu moden atau bukan mengikut adat Melayu, itu tidak benar kerana bukan semua perkara dikongsikan saya kongsi di laman sosial. Setiap orang mempunyai cara tersendiri membesarkan anak mereka,” katanya sambil memberitahu Aleesya seorang yang pemalu seperti bapanya dan mengambil masa untuk mesra dengan orang yang tidak dikenali.

Jodoh

Terheret bicara tentang kehidupan peribadi, Ramadan lalu, kisah percintaan Erra bersama juara program Akademi Fantasia musim kelapan, Ahmad Shahir Zawawi, 27, galak diperkatakan, terutamanya selepas masing-masing mengaku sedang dalam peringkat mengenali hati budi.

Keterujaan peminat melonjak-lonjak untuk melihat pasangan itu memasuki peringkat lebih serius sehingga timbul cerita mereka bakal bertunang tidak lama lagi.

Bagi pelantun lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu, selagi tiada kenyataan rasmi keluar daripada mulut dia dan Shahir, maka tiada sebarang kesahihan berkenaan hal risik-merisik sebagaimana yang diperkatakan umum.

Diasak pelbagai pertanyaan sama berulang kali, wanita itu kekal tenang dan masih mampu tersenyum. Erra masih mengakui, buat masa sekarang hubungannya dengan Shahir masih berlangsung seadanya. Sedikit memperincikan tahap perhubungan mereka, kata Erra, hanya dengan Shahir, lelaki yang menjadi kawannya setakat ini.

Memikirkan dirinya seorang wanita, Erra sedar, penjelasan lanjut berhubung jodoh haruslah terbit daripada bibir pihak lelaki. Dia tidak perlu terlalu teruja untuk bercerita tentang lelaki, apatah lagi pada usia dan status yang dipegang ketika ini.

Menurut Erra, apabila laporan yang melampau diberikan kepada hubungan mereka, peminat menjadi terlalu seronok sehingga menyangka dia akan kembali ke alam perkahwinan dalam masa terdekat, sedangkan realitinya, masih tiada perancangan yang sedang dibuat oleh kedua-dua belah pihak.

“Bagi saya, biarlah jodoh itu datang dengan sendiri. Andai tiba waktunya, pasti saya sendiri mengakui tanpa ada pihak perlu membuat pelbagai andaian,” kata Erra yang bertemu Shahir buat kali terakhir hampir setahun lepas.

Tambahnya, soal kekerapan pertemuan mereka juga bukan satu masalah memandangkan masing-masing sibuk menguruskan kerjaya.

“Shahir pun sibuk dengan urusannya, saya pula sibuk dengan bermacam-macam urusan. Yang pasti, setiap hari kami berkomunikasi menerusi telefon,” tambah Erra.

Mesikpun tidak bertemu atau masih tiada perkembangan, Erra memberi sebuah harapan bahawa hubungannya dengan Shahir akan terus berlangsung sehingga menemui ketentuan yang baik-baik suatu hari kelak.

“Doakan sahaja yang baik-baik untuk saya dan Shahir, jika ada jodoh, pasti ada. Sekarang saya tiada masa untuk keluar berkawan dengan sesiapa kerana saya ada anak untuk dibesarkan dan pada masa sama menguruskan kerjaya serta perniagaan,” simpulnya kemas mengakhiri perbualan.

Antara kerjaya dan keluarga, aktres tersohor,

Erra Fazira dilihat mempunyai cara tersendiri untuk menangani kedua-duanya walaupun sering diasak khabar angin atau gosip berulang kali. Dalam kekalutan berlakon, berniaga dan membesarkan puteri tercinta, primadona itu masih berjaya mencari ruang merealisasikan impian sendiri tanpa mempedulikan kata-kata mereka yang iri hati.

Post a Comment

Previous Post Next Post