Selera Stacy Anam bertambah


AKIM begitu teruja dengan berita kehamilan Stacy.

SEMESTINYA, tiada apa yang lebih menggembirakan pasangan baru berkahwin saat isteri tercinta disahkan hamil. Mendirikan rumah tangga pada 5 Februari lepas, bunga-bunga cinta dalam kehidupan pasangan popular penyanyi Akim Ahmad dan Stacy Anam kini bertambah mekar dengan berita kehamilan si isteri.

Teruja dengan khabar tersebut, vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad lantas membuat pengumuman isterinya, Ummu Shaikhah Stacy Anam atau lebih mesra dengan gelaran Stacy kini sedang berbadan dua.

Lebih manis, pengumuman tersebut dibuat ketika Akim atau nama lengkapnya, Afiq Akim Ahmad, 25, memberi ucapan sempena ulang tahun yang ke-26 Stacy di Instagram miliknya.

Gembira dengan berita tersebut, Stacy yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini turut berkongsi pengalaman pertama kehamilannya.

Kosmo!: Tahniah di atas pengumuman yang dibuat oleh Akim melalui Instagram miliknya yang menyatakan Stacy sedang hamil. Sudah berapa bulan usia kandungan anda?

Stacy: Terima kasih, usia kandungan saya kini sudah mencecah tiga bulan. Saya baru sahaja mengetahuinya sejak sebulan yang lepas setelah merasai beberapa perubahan pada diri.

Jika dilihat beberapa pasangan lain, ada di antara mereka yang sengaja mengunci mulut tidak mahu berkongsi kepada peminat, lebih-lebih lagi ketika usia kandungan masih berada pada fasa awal. Bagaimanapun, Stacy dan Akim sebaliknya, mengapa?

Pada mulanya kami memang tidak mahu mengumumkan kepada sesiapa, tetapi setelah ramai pihak mula bertanya dan melihat perubahan perut saya, jadi kami pun bersetuju untuk berkongsi berita gembira ini kepada semua pihak. Tujuan lain pengumuman ini dibuat adalah agar tawaran kerja yang datang selepas ini dapat disesuaikan dengan keadaan saya yang sedang berbadan dua.

Bagaimana dengan reaksi Akim dan anak angkat Stacy, Bella ketika mengetahui anda hamil?

Tentulah Akim antara orang yang paling gembira dan teruja. Anak saya, Bella juga begitu. Bahkan, Bella sering menyuarakan perasaan teruja dan berharap bayi kami keluar dengan segera. Jika boleh, dia ingin bayi kami keluar hari ini.

Adakah anda mengalami sebarang alahan pada awal usia kandungan ini?

Boleh dikatakan, saya bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang alahan mahupun muntah-muntah yang teruk. Setakat ini, segalanya masih berjalan seperti biasa.

Apakah perubahan lain yang ada rasa semenjak disahkan hamil?

Perubahan ketara yang saya rasa adalah selera makan semakin bertambah. Jika dahulu saya menggemari makanan masam, tetapi sekarang ia terbalik kerana lebih menggemari makanan manis. Bagaimanapun, saya masih mengawalnya.

Sejak disahkan hamil, bagaimana layanan Akim terhadap anda?

Tidak banyak berbeza kerana saya tidak mahu terlalu memanjakan diri. Bagaimanapun, Akim selalu berpesan agar saya menjaga diri dan berhati-hati dalam setiap perkara serta beringat terhadap perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan saya.

Adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk berehat atau memperlahankan aktiviti seni?

Buat masa ini saya tiada masalah untuk bekerja dan masih meneruskannya seperti biasa. Cuma saya sudah kurangkan melakukan kerja-kerja berat. Saya mungkin akan bekerja selagi mampu sebab tidak mahu terlalu manjakan diri. Jika sampai suatu masa saya terpaksa menolak semua tawaran, itu bermakna saya sudah tidak mampu dari segi fizikal dan mental.

Post a Comment

Previous Post Next Post