Sherry Ibrahim merdeka jiwa


MENGAKU kecewa dengan hubungan cinta tidak kesampaiannya bersama Fattah, Sherry bagaimanapun memberitahu berasa tenang hati dengan apa yang telah terjadi.

Setiap insan yang bercinta pasti mengharapkan hubungan yang disemai dan dibina kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

Bagi Sherry Ibrahim, ikatan dua hati yang terlerai antara dirinya dan bekas kekasih, pelakon Fattah Amin merupakan musibah yang tidak pernah terlintas di fikiran.

Namun, pemilik nama sebenar, Syarizad Ibrahim, 33, reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ia satu proses dalam hidup untuk memerdekakan jiwanya daripada anasir-anasir yang melemahkan diri.

KOSMO!: Adakah keputusan perpisahan adalah hasil perbincangan antara Sherry dan Fattah?

Sheryy: Setakat yang saya tahu, ia bukan persetujuan dan kehendak saya. Namun seperti kata pepatah, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Kalau orang sudah tidak sudi, apa guna saya memaksa.

Kenyataan daripada Fattah keluar ketika anda sedang bercuti. Mengapa tidak diumumkan serentak atau saat anda berdua berada di dalam negara?

Saya sebenarnya terkejut dengan berita yang keluar daripada mulut dia kerana kami ada berbincang untuk menunggu masa sesuai sebelum mengumumkan perpisahan.

Tambahan, saya sedang sibuk dengan pelbagai urusan untuk melancarakan single Seikhlas Cinta dan produk kecantikan Deeja Cosmetic, jadi memang tiada masa. Tidak sangka pula dia memilih masa kalut seperti itu untuk memberitahu kami sudah tidak bersama.

Sebelum ini, anda mengambil masa sebelum membuka mulut. Adakah kerana anda masih tidak dapat menerima kenyataan?

Saya memang kecewa kerana serius dalam hubungan cinta kami. Saya ambil masa kerana mahu bertenang saat mengeluarkan kenyataan. Selain itu, saya mahu juga betulkan beberapa fakta agar peminat tidak salah anggap.

Apakah maksud anda dengan betulkan fakta?

Dia memberitahu, kami sudah tidak rapat sejak bulan Ramadan sedangkan pada ketika itu, kami masih bersama. Keputusan untuk berpisah terjadi selepas hari raya, bukan sebelumnya.

Kini, apakah yang dapat anda simpulkan daripada peristiwa ini?

Saya rasa ini adalah yang terbaik, banyak hikmahnya dan Allah berikan aturan takdir paling cantik untuk saya. Saya kehilangan cinta tetapi hati saya tenang dan digantikan dengan rezeki lagu baharu dan juga produk sulung.

Jika selepas ini ada tawaran yang menggandingkan anda berdua, adakah anda akan menerimanya?

Tidak, saya jika boleh tidak mahu dikaitkan dengan dia dalam soal apa-apa sekalipun. Biarlah kami bawa haluan sendiri.

Baru-baru ini, timbul juga gosip mengatakan bekas kekasih anda dahulu, Ashraf Muslim ada menghubungi anda. Adakah perkara itu benar?

Tidak sama sekali. Bagi saya itu satu isu yang tidak perlu dibangkitkan. Sejak berpisah beberapa tahun lalu, kami tidak pernah berhubung dan dia juga sudah bahagia dengan keluarganya.

Boleh ceritakan sedikit tentang lagu Seikhlas Cinta dan produk Deeja Cosmetic ini?

Lagu Seikhlas Cinta ini dilancarkan tepat pada masanya walaupun saya baru sahaja melalui satu fasa tidak berjaya dalam perhubungan cinta. Lagu ciptaan oleh Hadi Hassan dan lirik oleh J Looi ini menggambarkan diri saya secara keseluruhannya.

Bagi Deeja Cosmetic pula, saya harap ia boleh memberi persaingan sihat kepada produk-produk kecantikan yang ada dalam pasaran tempatan sekarang.

Post a Comment

Previous Post Next Post