HATI bukannya ada tulisan, jadi tidak semudah itu untuk membaca perasaan seseorang. Biar ada yang cuba untuk berkongsi sentimen, hakikatnya cuma diri sendiri yang menanggung derita bukan kepalang.
Bukan sekali kisah aktres bernama Sasqia Dahuri ini disunting menjadi isteri orang bertebaran secara meluas di kanvas media sosial. Sebagai wanita biasa, bohong andai hatinya tidak dirobek oleh kontroversi sedemikian sedangkan episod cintanya belum lagi memasuki babak pertama.
“Saya masih solo. Mungkin, ia disebabkan saya pernah serius dengan seseorang dalam jangka masa yang agak lama sebelum ini sehingga ada menyangka saya sudah mendirikan rumah tangga.
“Kalau saya ada suami sekarang, pasti sudah canang seantero dunia kerana saya jenis sebegitu dan cukup berbangga apabila memiliki seseorang,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Mengakui mendambakan seseorang yang boleh dipercayai untuk menceritakan segala-galanya, pemilik nama sebenar Nurlisasqia Ahmad Dahuri, 31, menyifatkan perkara itu terlalu peribadi untuk diperjelaskan dengan kata-kata.
“Bukan semua yang boleh memahami realiti kehidupan dan tanggungjawab saya kepada keluarga. Ini bukan soal duit, sebaliknya memerlukan pasangan yang boleh berjalan bersama-sama saya sepanjang hidup.
“Kadangkala, saya keliru dan tidak tahu niat seseorang yang cuba mendekati sama ada dia melakukan perkara yang sama dengan wanita lain ataupun tidak, nanti dituduh perasan pula.
“Jadi, lebih baik saya katakan bahawa masih solo dan belum menjalinkan hubungan istimewa dengan sesiapa. Sejujurnya, saya memang memerlukan seseorang, cuma masih belum bertemu yang sesuai. Jika ada, saya sendiri akan menguar-uarkan perkara itu di laman Instagram buat pengetahuan peminat,” ungkapnya mohon dimengerti.
Getus Sasqia, rasa sunyi itu lazimnya dipenuhi dengan komitmen sebagai anak wayang yang menjadi suri teladan masyarakat, selain berulang-alik ke hospital lantaran kesihatan adiknya yang tidak begitu mengizinkan.
AKTRES ini percaya masyarakat bijak menilai bakatnya biarpun seringkali menjayakan watak antagonis.
Restu keluarga
“Ramai yang salah faham dan menyangka saya berehat seketika daripada dunia seni sebelum kembali aktif kira-kira dua tahun lepas.
“Kalau nak tahu, pada mulanya saya tidak mendapat keizinan bapa, Ahmad Dahuri Mahmud, 60, tambahan pula ketika itu masih menuntut di Universiti Multimedia Melaka, berlakon pun sorok-sorok dan sekadar mahu mencuba.
“Segala-galanya berubah selepas berbincang dengan bapa demi menjadikan lakonan sebagai karier dan bukan semata-mata untuk berseronok dan glamor. Bukan apa, saya perlu memikul tanggungjawab yang cukup besar kepada masyarakat,” ungkapnya yang mendapat sokongan ibu, Suraya Ahmad, 54, sepenuhnya untuk aktif dalam bidang seni.
Biar ada yang mempertikaikan sisi antagonis yang seringkali dipotret Sasqia di layar kaca seperti mana watak-watak jahat bernama Filzah dan Felisha dalam drama dan telenovela terbaharu lakonannya berjudul Khabar Dari Casablanca dan Lara Aishah, segala-galanya dihadam wanita tinggi lampai itu sebaik mungkin.
“Jika ada peluang, sudah tentu saya mahu menjiwai perasaan sebagai heroin selain berharap watak yang lebih mencabar seperti pembunuh bersiri wanita dan makhluk mistik.
“Cuma, layakkah saya untuk merungut dan bersikap selektif, sudah tertulis ini rezeki saya. Berada dalam industri pun sudah cukup bersyukur.
“Sementelahan pula, setiap cerita ada watak sedemikian, itulah keistimewaan menjadi ratu antagonis. Sekurang-kurangnya, saya belajar untuk memahami mengapa sesetengah watak karakternya sebegitu,” ujarnya yang bakal menjalankan bisnes pakaiannya sendiri iaitu Sadona tidak lama lagi.
Pada masa sama, Sasqia juga tidak goyah dengan pandangan skeptikal masyarakat hanya semata-mata kerana seringkali dibayangi watak jahat.
“Masyarakat bijak menilai dan mengenali saya menerusi hasil kerja, saya juga ada kelab peminat di Singapura gara-gara watak antagonis, Erni Humaira dalam drama Cik Bunga Encik Sombong.
“Baru-baru ini, saya juga pernah didekati peminat cilik dan dia juga tahu saya tidaklah sejahat seperti mana di kaca televisyen,” kata Sasqia yang menjadi heroin buat julung kalinya menerusi telefilem Cinta Plastik bersama Sepahtu baru-baru ini.
SASQIA dilamar komposer terkenal, LY dan Baiduri untuk mencabar sisi lain dalam hidupnya sebagai penyanyi.
Dilamar
Usai menjadi hos dan bermain jiwa di layar perak dan kaca televisyen sebelum ini, rezeki Sasqia juga bercambah apabila dilamar komposer terkenal, LY dan Baiduri bagi mencabar sisi lain dalam hidup sebagai penyanyi.
Cuma, dia mahu berguru bersama komposer tersebut terlebih dulu sebelum memasuki proses rakaman lagu selepas ini.
“Saya mahu belajar kerana tidak memiliki sebarang pengetahuan dan tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi, apa yang penting, saya berusaha biarpun takdir tidak berpihak kepada saya.
“Bukan apa, saya tidak mahu membolot segala-galanya, namun apa salahnya mencuba apabila peluang tiba di depan mata,” ujarnya yang turut memasang impian memiliki yayasannya sendiri bagi membantu golongan tidak bernasib baik suatu hari nanti.
Tatkala diajak bersembang mengenai keperihalannya yang barangkali tidak diketahui umum, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu menjelaskan dia cukup menjaga disiplin dan menepati masa hasil didikan bapanya, selain bangun awal pagi meskipun tidur lewat gara-gara penggambaran.
“Di rumah, nama manja saya Orli sementara adik-adik saya iaitu Syarnissa, 27, dan Danizz, 10, pula dipanggil Osha dan Onizz.
“Saya juga mewarisi bakat memasak daripada ibu yang berketurunan Siam, main campak-campak saja pun sedap. Kalau nak tahu, saya banyak menghabiskan masa di ruang barangan runcit ketika membeli belah hanya semata-mata mahu membelek barangan dapur,” katanya yang bakal bergandingan bersama Remy Ishak, Uqasha Senrose dan Gambit Saifullah dalam telefilem terbaharunya berjudul Andai Ku Cinta Lagi.
Tanpa berselindung, Sasqia juga gemar memandu kenderaan bertransmisi manual, selain bermonolog dalam bilik air lantaran bercita-cita menjadi pelakon sejak kecil.
“Cuma, saya memiliki tabiat suka menggaru kepala dan memintal rambut, tidak tahu mengapa,” ujarnya menguntum senyum seraya menoktah bicara.