Langkah mula Raja Afiq, Niena Baharun


SEWAKTU bersetuju untuk membintangi drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz beberapa bulan lalu, pelakon Raja Afiq tidak pernah meletakkan sebarang harapan terhadap watak Kapten Ustaz Mukhriz yang bakal digalasnya.

Sebagai pendatang baharu, Afiq, 22, lebih selesa untuk mendahulukan prestasinya sebagai pelakon agar hasil akhir naskhah tersebut menepati piawaian yang telah ditetapkan pengarah.

Bagaimanapun, sebelum drama yang diadaptasi daripada novel berjudul sama itu mula ditayangkan menerusi slot Akasia pada 13 Julai lalu, jiwa Afiq dicuit rasa gementar.

Pemilik nama sebenar, Raja Muhammad Afiq Raja Razali itu bimbang jika percubaan perdananya dalam membawakan watak utama gagal memenangi hati khalayak.

“Saya akui sedikit gementar apabila memikirkan maklum balas awal daripada penonton.

“Maklumlah, ini percubaan pertama saya menjayakan watak utama dalam drama. Sudah tentu banyak perkara yang akan dinilai oleh mereka,” ujar Afiq membuka bicara.

Namun, telahan awal yang bermain dalam minda Afiq ternyata jauh meleset. Tanpa diduga, karakter serius yang dibawakan menerusi watak Kapten Ustaz Mukhriz berjaya menyihir penonton, sekali gus mencetuskan fenomena dalam kalangan penggemar drama bersiri tempatan.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak sangka watak Kapten Ustaz Mukhriz disukai oleh penonton. Alhamdulillah, sambutan diberikan melebihi apa yang saya jangkakan,” tambah Afiq lagi.

Selepas perasaan khuatir yang ada dalam dirinya hilang sedikit demi sedikit, Afiq mulai sedar bahawa keberadaannya dalam industri hiburan sebagai seorang pelakon mula diberi perhatian.

Ujar Afiq, selain kerap menerima sapaan peminat, pelakon yang pernah membintangi drama Hello Mr. Perfect itu turut mengakui bahawa pintu rezekinya dalam dunia lakonan semakin terbuka luas.

“Sejak dikenali menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz, tawaran berlakon juga semakin bertambah.

“Alhamdulillah, apa yang saya hajati selama ini telah tercapai,” katanya.

Bakal muncul menerusi drama Lara Tangisan Umairah dan Tangisan Izara tidak lama lagi, Afiq berkata, dia tidak mahu jika peminat melihatnya sebagai pelakon yang terikat dengan satu watak sahaja.

Ujar Afiq, dia mahu dikenali sebagai pelakon serba boleh yang berupaya membawa pelbagai watak yang diberikan.

“Saya masih baru dan terlalu banyak yang perlu saya belajar. Jadi, saya cuba untuk membawakan watak berlainan agar penguasaan dan kebolehan saya bermain emosi dapat dipelbagaikan,” katanya.

Kurus

Melihat pada imej yang digayakan oleh Afiq, pasti ramai tidak menyangka bahawa berat badan pemuda itu dahulu pernah mencecah sehingga 130 kilogram.

Disebabkan bentuk fizikal yang gempal menutup peluangnya untuk menceburkan diri dalam bidang lakonan, Afiq nekad untuk menurunkan berat badan.

“Selepas mengamalkan gaya hidup sihat selama dua tahun, saya berjaya mengurangkan berat badan sehingga 74 kilogram.

“Benar, saya kurus kerana mahu mengejar cita-cita sebagai pelakon tetapi pada masa yang sama, saya mahu memberi inspirasi kepada orang ramai supaya jangan mudah putus asa jika mahu berubah,” katanya yang masih bersenam dan menjaga pemakanan bagi mengelakkan berat badannya kembali naik.


Niena dan Afiq menjadikan Sayangku Kapten Mukhriz sebagai platform mengukuhkan karier masing-masing yang baru berputik untuk kekal dalam industri hiburan tempatan.

Menangis

Berkongsi pendapat yang hampir serupa dengan Afiq, heroin Sayangku Kapten Mukhriz, Niena Baharun turut tidak menyangka bahawa watak Doktor Arianna Dahlia yang dibawanya diterima umum.

Katanya, selain perlu memberi fokus yang penuh bagi membawakan watak utama, karakter Doktor Arianna sangat bertentangan dengan perwatakan sebenarnya.

“Saya agak takut jika watak Doktor Arianna yang gedik memberi persepsi negatif dalam kalangan penonton.

“Bagaimanapun, saya lega apabila tiada komen negatif yang didengar mengenai watak tersebut setakat ini,” katanya sambil tersenyum.

Biarpun mampu menarik nafas lega kerana lakonannya diterima umum, Niena atau nama sebenarnya, Amaniena Baharun, 23, masih belum boleh melupakan perasaan gementarnya sewaktu hari pertama penggambaran Sayangku Kapten Mukhriz.

“Percaya atau tidak, saya menangis sebelum memulakan penggambaran. Mungkin terlalu banyak berfikir dan takut dengan apa yang bakal dilalui, saya tidak mampu mengawal emosi.

“Namun, saya cuba untuk bertenang dan percaya dengan rezeki yang diberikan. Saya cuba kuatkan diri dan alhamdulillah, saya berjaya menamatkan penggambaran dengan lancar,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai fenomena yang tercetus dalam kalangan penonton, Niena berkata, mungkin khalayak begitu terpesona dengan karakter Ustaz Mukhriz yang dihidupkan oleh Raja Afiq.

Selain itu, Niena juga berpendapat bahawa jalan cerita yang unik turut menyumbang kepada kegilaan penonton terhadap drama bersiri tersebut.

“Watak Kapten Ustaz Mukhriz begitu dekat dengan penonton kerana ia jarang ditonjolkan dalam mana-mana drama.

“Selain itu, kehidupan pegawai tentera yang dipaparkan juga mungkin menarik minat penonton untuk mengikut drama ini sehingga selesai,” katanya lagi.

Menonjol

Jika diselak kembali portfolio seninya, Niena mula menceburkan diri dalam bidang lakonan sekitar dua tahun lalu, selepas namanya terpilih untuk membintangi drama Rindu Awak 200%. Begitupun, watak Farhana yang digalas Niena tidak memberikan sebarang impak dalam kalangan peminat.

Sehingga sekitar Januari lalu, kelibat Niena mula disedari umum selepas dia membawakan watak Saidah menerusi drama Cinta Teruna Kimchi bersama Nazim Othman, Johan As’ari dan Nur Risteena.

Ditanya apakah alasan kehadirannya tidak diberi perhatian, Niena berkata, mungkin gaya lakonan yang dipersembahkan dalam setiap drama kurang menonjol sehingga tidak mengesankan khalayak yang menonton.

“Saya masih baru dalam industri. Mungkin banyak yang perlu saya pelajari untuk menjiwai watak dan karakter.

“Insya-Allah, saya akan terus belajar dan cuba menyahut cabaran bagi memperbaiki mutu lakonan,” katanya positif.

Post a Comment

Previous Post Next Post