Dua diva dangdut Amelina & Mas Idayu berkongsi pentas


MAS IDAYU (kiri) dan Amelina memberi persembahan memukau dalam persembahan mereka.

BIARPUN industri seni hiburan tanah air kini dibanjiri dengan pelbagai genre muzik, namun hakikatnya irama dangdut tidak pernah dilupakan.

Genre yang dianggap malar segar ini sentiasa mencipta fenomena luar biasa dengan kehadiran bintang dangdut ternama seperti Mas Idayu, Ifa Raziah, Sheeda dan Ani Mayuni.

Bukan itu sahaja, malah muzik yang mempunyai kelompok penggemar tersendiri ini semakin dimeriahkan dengan kemunculan semula ratu dangdut yang pernah popular sekitar tahun 90-an dahulu iaitu penyanyi Amelina.

Justeru, bagi mengembalikan memori peminat terhadap keasyikan irama dangdut, stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil langkah tepat dengan menggabungkan Mas Idayu bersama diva ini dalam satu pentas yang sama!

Beraksi di pentas Lantera Muzik: Diva Dangdut baru-baru ini, jelas membuktikan dua penghibur wanita ini berada di kelas tersendiri. Persembahan memukau mereka sememangnya masih sukar untuk dicari ganti.

Teruja dengan peluang istimewa yang diberikan RTM, Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin memberitahu tawaran beraksi di pentas Lantera Muzik: Diva Dangdut itu benar-benar mengembalikan memorinya suatu waktu dahulu.

“Saya dan Mas Idayu berterima kasih pada RTM kerana memberi peluang yang istimewa ini kepada kami berdua. Secara peribadi, peluang bernyanyi di pentas ini dapat mengembalikan semula memori yang pernah saya lalui semasa di awal penglibatan sebagai anak seni.

“Saya tidak sangka kerana pernah menyepi dalam tempoh agak lama dan tiba-tiba diberi peluang untuk mengadakan persembahan ini, tentu sekali ia menggembirakan saya,” ujar penyanyi yang pernah popular dengan lagu Rindu dan Asyik itu.


MAS IDAYU masih berbisa dengan skil dan pengalamannya sebagai penyanyi dangdut yang berpengalaman luas.

Perasaan yang sama turut dirasai oleh ratu gelek 45 darjah, Mas Idayu atau nama lengkapnya, Masidayu Mesnun.

Ujarnya, peluang ditemukan bersama Amelina bagaikan satu penghargaan besar dalam profil kerjayanya.

“Terima kasih kepada peminat semua. Alhamdulillah, lagu dangdut masih memiliki sengat seperti dahulu, malah ia juga tidak akan lapuk dek hujan dan lekang dek panas,” katanya selesai persembahan tersebut.

Hiburan terbaik

Melihat kepada kejayaan gabungan dua diva dangdut ini beraksi di atas pentas Lantera Muzik itu telah membuka langkah baharu kepada RTM untuk terus menyajikan rancangan hiburan terbaik buat penonton setianya.

Seperti diketahui, RTM banyak melahirkan penghibur ternama tanah air dan disebabkan itu, RTM terus menawarkan program-program muzikal yang mempunyai pertalian dengan nostalgia silam namun dipersembahkan dalam bentuk kontemporari sebagai usaha menarik perhatian penonton baharu.

Post a Comment

Previous Post Next Post