Konsert Cinta satukan Nadira, Noh


SELAIN Noh dan Nadira, Konsert Cinta juga bakal menampilkan Amy Search, Joe Flizzow dan Yuna.

TATKALA bersembang soal cinta, agak sukar untuk menterjemah apa yang tersirat di sebalik setiap kelopak-kelopak jiwa. Gandingan lima aksara berbeza membentuk perkataan cinta juga tidak cukup untuk memberitahu seantero dunia bahawa hati sedang berbunga bahagia.

Benar kata orang, cinta itu universal dan bukan sekadar dikongkong rasa kasih sesama insan. Sebaliknya, keluhuran yang tercetus itu berupaya membangkitkan degup deras adrenalin untuk melindungi yang tersayang daripada dijerut derita bukan kepalang.

Atas sebab itu, lima nama bersatu atas pentas yang sama bagi menjayakan Konsert Cinta di Panggung Sari, Istana Budaya selama dua hari bermula Jumaat depan (19 Ogos).

Ini bukan sekadar konsert yang memupuk rasa cintakan muzik. Bakal bergandingan bersama rakan selebriti yang punya pesona dunia seperti Yuna, Amy Search dan Joe Flizzow, tiada lain yang mahu dipotret Nadira Adnan dan Noh Hujan selain memberikan yang terbaik agar rasa cinta itu sentiasa mekar mewangi dalam kalangan khalayak yang bakal menyaksikan konsert berprestij anjuran Nadira Music Management itu nanti.

Nadira berbaur rasa

Dianggap yang paling hijau berbanding nama-nama lain pada malam itu, sudah tentu ia mengundang debar Nadira atau nama sebenarnya Tengku Nadira Munawarah Tengku Adnan, 19, terutamanya apabila beraksi di pentas yang berprestij seperti Istana Budaya.

“Saya cukup gementar, namun pada masa sama teruja sebenarnya. Bukan apa, saya mahu mencabar kemampuan kerana akan membuat persembahan menyanyikan 14 buah lagu secara langsung buat kali pertama pada konsert ini.

“Kadang-kala, saya tertanya-tanya kepada diri sendiri adakah sudah benar-benar bersedia, cuma inilah satu-satunya peluang terbaik untuk saya,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Menyifatkan konsert berkenaan sebagai medium terbaik mempromosikan kehadirannya di negara ini, Nadira juga mahu membuktikan tanggapan betapa skeptikal orang ramai yang menyangka segala-galanya mudah buatnya untuk bergelar artis adalah tidak tepat.

“Saya juga bekerja keras untuk diterima masuk ke dalam industri. Memang sukar apabila dikecam haters, namun ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, saya abaikan saja komen-komen negatif seperti itu,” getusnya.


NOH dan Nadira berkongsi debaran yang sama menjelang Konsert Cinta di Istana Budaya selama dua hari bermula 19 Ogos depan.

Nadira yang akan kembali menyambung pengajiannya dalam jurusan perubatan di Universiti Ukrida, Jakarta, Indonesia selepas konsert itu memberitahu, dia juga memasang impian supaya dapat diterima di negara ini biarpun terlebih dulu memulakan kariernya di negara jiran serumpun itu.

“Ketika di Indonesia, ramai juga yang keliru sama ada saya berasal dari Malaysia atau tidak kerana memulakan karier di sana, begitu juga sebaliknya di sini.

“Alhamdulillah, karier juga semakin memberangsangkan di sana (Indonesia), jadi saya harap begitu juga di sini.

“Sekiranya ada peluang mahu menganjurkan konsert berskala besar di Indonesia pula selepas ini, tidak salah mahu mencuba,” ungkapnya yang pernah berduet dengan anak sulung Ahmad Dhani, Al-Ghazali berjudul Cinta Datang Dan Pergi.

Rasa cinta Noh

Vokalis Hujan, Noh atau nama lengkapnya Mohammad Noh Salleh, 31, pula memiliki caranya tersendiri untuk menerangkan apa itu cinta. “Mizz Nina,” katanya ringkas sebelum tertawa.

Noh yang mendirikan rumah tangga bersama Mizz Nina atau Shazrina Azman pada 1 Julai 2013 memberitahu, cinta itu romantik dan bukan sekadar sesama insan semata-mata, sebaliknya memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat.

“Pernah satu masa, ketika menunggang motosikal, hati saya tiba-tiba sebak melayan emosi betapa kemudahan infrastruktur negara cukup menjamin keselesaan rakyat, sekali gus memanjat rasa syukur tidak terhingga kepada Yang Maha Esa.

“Senang cerita, cinta itu romantik dan kita perlu romantis ketika bercinta,” katanya berbasa basi.

Ungkap Noh, jumlah lagu dan bukannya beraksi bersama Hujan pada konsert itu nanti bukan persoalan utama lantaran beraksi di pentas yang cukup megah.

“Jika mahu bersembang soal persefahaman, sudah tentu band Hujan sentiasa menjadi keutamaan. Cuma, saya melihatnya sebagai perkara positif dan meraih pengalaman apabila bekerjasama dengan band iringan terutamanya apabila memainkan lagu saya.

“Itu juga sudah dianggap sebagai satu penghormatan buat saya dan Hujan,” ceritanya lagi.

Biar sudah memiliki repertoire dan empayar yang cukup besar bersama Hujan, Noh masih menyifatkan dirinya cukup kerdil untuk dibandingkan dengan yang lain terutamanya Amy Search dan Yuna.

“Siapalah saya untuk dibandingkan dengan mereka, dapat berkongsi pentas pun sudah cukup baik,” ujarnya.

Cuma pada masa sama, Noh sedikit khuatir dengan tahap kesihatannya yang kurang mengizinkan sejak Aidilfitri lepas.

“Saya menghidap gastrik teruk, tetapi tak usah bimbang kerana saya sentiasa menjalani pemeriksaan di hospital,” jelasnya.

Dalam pada itu, Konsert Cinta juga mendapat sambutan memberangsangkan peminat tempatan apabila tiket persembahan pada 19 Ogos telah habis terjual.

Pengurus projek konsert berkenaan, Shuharezuan Ramli berkata, Konsert Cinta bakal diterajui Eddie Slam sebagai pengarah muzik sambil diiringi pemuzik handalan tempatan.

“Pihak kami amat berbesar hati apabila dapat menggabungkan nama-nama besar dalam sebuah konsert di pentas yang berprestij seperti Istana Budaya,” katanya.

Menurut Shuharezuan, orang ramai boleh mendapatkan tiket yang dijual dengan harga RM100, RM175, RM250, RM300 dan RM500 di kaunter tiket Istana Budaya.

Tiket juga katanya, boleh diperoleh menerusi laman web www.ticketpro.com.my.

Post a Comment

Previous Post Next Post