Johan Asari Tidak Terikut Trend Badan Sasa Untuk Jadi Hero


Pelakon Johan As'ari memberitahu dia tidak mahu terikut-ikut dengan trend artis ketika ini untuk membina badan menjadi sasa bagi menarik perhatian umum.

Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As'ari, 30, berkata, dia hanya membina badan jika diperlukan bagi membawa sesuatu watak dalam drama atau filem.

"Saya tidak terfikir untuk buat badan sasa seperti hero-hero baru sekarang. Walaupun ada watak yang memerlukan saya berbadan sasa tapi untuk watak itu sahajalah.

"Selepas drama itu saya tidak teruskan dan badan saya akan kembali seperti biasa," ujarnya kepada mStar Online.

Johan ditemui pada majlis silaturahim Aidilfitri mStar Online, di Menara Star, di sini pada Rabu.

Tambahnya, dia juga yakin tawaran drama yang datang lebih menilai kepada bakat lakonan dan bukan bentuk badan semata-mata.

"Saya tidak rasa drama-drama sekarang hanya mahu hero berbadan sasa sahaja, saya juga tidak tergugat dengan kehadiran pelakon-pelakon lelaki yang lebih kacak dan sasa.

"Pada saya ramai lagi penerbit yang mahu mengambil pelakon badan biasa-biasa seperti saya. Sebenarnya yang paling penting ialah bakat lakonan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Johan kini menjalani penggambaran drama 30 episod berjudul Cinta Tangkap Muat yang sedang ditayangkan di HyppTV.

Post a Comment

Previous Post Next Post