Zizan sentiasa mencari idea baharu bagi memastikan dirinya kekal relevan sebagai seorang pelakon dan pelawak.
Pelakon Zizan Razak yang kini dilihat lebih memberi fokus kepada lakonan filem menyangkal dakwaan sudah tidak berminat untuk meneruskan karier sebagai pelawak.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 32, sebaliknya berkata, tindakannya itu adalah sebagai salah satu kaedah dia memperluaskan skop komedi kerana tidak mahu terus berada di takuk lama.
"Saya masih Zizan yang sama cuma saya ingin memperbaiki diri dan melakukan sesuatu yang lain tetapi masih berteraskan kepada komedi.
"Dalam filem lakonan saya pun saya ada buat lawak walaupun watak diberikan bukannya komedi tetapi cara untuk menerapkan genre itu yang penting.
"Alhamdulillah menerusi filem Polis Evo saya cuba keluar dari kebiasan dan penerimaan penonton terhadap komedi berbeza yang saya cuba sampaikan berjaya menarik perhatian," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Zizan tidak menyangkal faktor lambakan pelawak baharu dalam pasaran telah memaksanya melakukan pembaharuan demi memastikan dia kekal relevan dalam industri.
Bagaimanapun katanya, apa yang dilakukan oleh pelawak seperjuangannya tidak bererti salah sebaliknya ia adalah pilihannya sendiri.
"Pelawak semakin ramai dan ia sebenarnya satu perkembangan positif untuk industri kita malah ramai nama-nama baharu yang mempunyai bakat luar biasa.
"Dari situ saya kena buat sesuatu agar dapat memperbaiki diri dan kehadiran mereka ini juga memberi motivasi untuk melakukan sesuatu yang lebih baik," jelasnya.
Sementara itu, Zizan berkata, pengalaman sebelum ini juga banyak mengajarnya agar menjadi seorang selebriti yang lebih matang dalam memastikan dapat mengekalkan kariernya untuk jangka masa panjang.
Malah dia bersyukur apabila rezekinya dalam bidang komedi dan lakonan sentiasa terbuka dalam memberinya peluang untuk melakukan lebih baik daripada sebelumnya.
"Kematangan juga mengubah saya tetapi saya sentiasa merendah diri dengan apa yang diberikan kepada saya kerana rezeki itu datang daripada Allah.
"Saya buat apa yang termampu untuk memperbaiki diri dan paling penting dapat meneruskan legasi komedi yang pernah diperjuangkan oleh generasi terdahulu," ujarnya.