Sederhana raya Linda, Diana Rafar


RAYA BERASINGAN - Untuk pertama kali tahun ini, keluarga besar dua beradik Rafar ini terpaksa beraya berasingan kerana Linda akan pulang beraya di Kelantan.

AGAK jarang dapat melihat gandingan pelakon dua beradik Linda Rafar dan Diana Rafar. Justeru, menjelang sambutan Syawal yang akan tiba beberapa hari lagi, Kosmo! menggandingkan Linda dan Diana bersama keluarga masing-masing.

Bertemu dalam satu sesi fotografi yang diadakan di kediaman Syed Aiman dan Linda Rafar di Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberi peluang untuk mereka berkongsi cerita raya pada tahun ini.

Linda Rafar beraya di Kelantan

Saban tahun, rutin sambutan Hari Raya Aidilfitri keluarga Linda Rafar, 38, dan Syed Aiman, 41, serta anak-anak mereka iaitu Rezaril Keiflin, 16, Syed Rezaqiib, 8, Syed Rezariin, 5, dan Syed Rezaliif, dua bulan, tidak pernah berubah. Pagi 1 Syawal, mereka selalunya akan menyambutnya di rumah ibu atau kakak sulung Linda di Shah Alam.

Kemudian, pada raya kedua barulah mereka bertolak pulang ke kampung halaman Syed Aiman di Kelantan. Berbeza tahun ini, Linda perlu mengubah rutin itu dan menerima ajakan suami yang ingin pulang awal ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu sebelum raya.

“Kalau ikutkan, setiap tahun kami akan pulang tetapi selalunya pada hari raya kedua atau ketiga. Berbeza dengan tahun ini, suami ajak pulang awal ke Kelantan tiga hari sebelum raya. Katanya, dia mahu saya merasai pengalaman menyambut puasa, suasana malam raya dan Syawal pertama di kampung. Memandangkan saya membesar di kawasan bandar, jadi dia faham benar saya tidak pernah meraikan lebaran di kampung.

“Kemudian, kami akan pulang ke ibu kota pada raya kedua sebelum menyambung raya dengan bercuti ke Singapura dan Johor Bahru. Maklumlah, kami orang bandar, jadi bercuti pada hari raya adalah perkara biasa,” selorohnya ceria.

Menceritakan suasana menyambut lebaran di Kelantan, Linda mengakui kemeriahan dan nikmat yang dirasainya. Tidak hanya suasana tetapi negeri yang kaya dengan juadah makanan lazat itu memberinya pengalaman berbeza acapkali pulang ke sana.

“Sudah tentu sambutan raya di bandar dan desa ada banyak bezanya. Sebab selain dapat merasai suasana, di sana sangat kaya dengan makanan seperti nasi impit daging, nasi berlauk, nasi kerabu, ketupat sotong, pisang sira dan daging bakar yang menjadi menu utama di rumah mertua.

“Selain menziarahi rumah adik-beradik suami, selalunya kami akan keluar mencari tempat menjual makanan sedap di sekitar Kota Bharu. Boleh dikatakan kepulangan kami ke sana umpama waktu untuk bersiar-siar dan melihat negeri orang,” kongsinya yang akan menyarung pakaian berwarna biru logam pada lebaran ini.

Diana Rafar beraya sederhana

Berbeza dengan cerita Diana Rafar, persiapan rayanya, suami dan anak-anak Izzat Haiqal, 17, Iqmal Haiqal, 14, dan Kashfi Haiqal, 6, disediakan secara bersederhana.

“Setiap tahun saya akan menyediakan kelengkapan raya seperti baju raya dan mengemas rumah sebelum bulan puasa lagi. Saya tidak suka persiapan diadakan pada minit-minit akhir sebab khuatir jika keadaan menjadi kelam-kabut.

“Jadi, sepanjang Ramadan saya boleh rehat dan fokus kepada ibadah puasa serta kerja. Kebetulan, pada bulan Ramadan ini saya sibuk dengan promosi kipas jenama Helifan yang diwakafkan untuk pihak masjid, surau dan rumah tahfiz,” ceritanya.

Namun, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, isteri kepada pelakon Zamarul Hisham itu berkata, perjalanan bulan Ramadannya sedikit tergelincir apabila menghidap demam panas yang berpanjangan sehingga dia terpaksa meninggalkan ibadah puasa.

“Kebetulan pula tahun ini saya demam panas berlarutan sehingga mencecah 10 hari. Bayangkan, disebabkan demam panas saya tidak boleh berpuasa, memasak untuk berbuka dan sahur, apatah lagi untuk menunaikan solat tarawih.

“Saya rasa sangat rugi kerana inilah kali pertama saya tidak dapat berpuasa dalam tempoh yang panjang. Saya terfikir juga apakah hikmah di sebalik ujian ini tetapi saya muhasabah diri kerana penyakit itu penghapus dosa,” ujarnya.

Berbicara mengenai sambutan rayanya, Diana, 34, berkata, tidak banyak beza seperti tahun sebelumnya dan lokasi balik raya mereka hanya di sekitar Shah Alam dan Bangi.

“Tahun ini saya sekeluarga mempunyai lima pasang baju raya tetapi tidak diputuskan lagi tema warna apa untuk dipakai pada raya pertama. Setiap tahun, kami hanya beraya di Shah Alam dan Bangi sahaja. Raya pertama selalunya kami adik-beradik akan berkumpul di rumah kakak sulung di Shah Alam. Pada waktu itulah, semua bergotong-royong memasak pelbagai juadah antaranya nasi beriani, sirap bandung Muar, sambal udang dan kuah lodeh.

“Kemudian, barulah saya akan pulang beraya di rumah keluarga suami di Bangi. Disebabkan jarak yang dekat, jadi kadang-kadang pernah juga kami hanya pulang untuk menziarah saudara-mara sebelum pulang ke rumah pada sebelah malam,” ceritanya.

Mengakui tidak pernah merasai suasana beraya di kampung, Diana berkata, ia merupakan perkara biasa buat dia dan keluarga kerana mereka sendiri sememangnya membesar di kawasan bandar.

“Sebenarnya sejak kecil kami sekeluarga tidak pernah merasai suasana beraya di kampung yang meriah dengan suasana pelita dipasang di hadapan rumah serta bunyi meriam dan mercun berdentum-dentum.

“Kami membesar di Johor Bahru, jadi memang sudah terbiasa beraya di kawasan bandar dan tidak merasai kemeriahan berhari raya seperti orang lain.

“Tambahan pula, selepas arwah ayah sudah tiada dan adik-beradik semua sudah berpindah ke ibu kota,” katanya yang kali terakhir menyambut raya di Johor Bahru sekitar tiga tahun lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post