Percubaan sulung Drama Band


SINGLE terbaharu Drama Band berjudul Mencinta Kamu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat.

BELUM lagi mencecah usia satu dasawarsa mewarnai industri seni, namun sudah mula meninggi diri. Itu antara kecaman negatif yang terpaksa dihadam band berbakat, Drama Band.

Segala-galanya ekoran band yang dianggotai oleh Aepul Roza (vokalis), Ammar Habir (gitaris utama), Faeez Halim (pemain dram), Daus SRK (pemain bass), Ome (pemain keyboard) dan Adib (gitaris kedua) itu dikatakan enggan menerima sentuhan komposer luar dalam setiap repertoire yang dihasilkan oleh mereka selama ini.

Menyedari senario itu dan pernah membangkitkan perdebatan khalayak sebelum ini, Drama Band sebaliknya tidak mudah melatah dengan dakwaan sedemikian.

Buktinya, band bergenre modern pop rock itu membalas kritikan negatif peminat menerusi untaian lagu-lagu malar segar seperti Babak Pertama, Cerita Dia dan Biarkanlah yang diterima baik peminat sebelum ini.

“Ini bukan sebab perasan bagus, namun kami mahu sentiasa jujur dalam berkarya. Kami sedar ada yang mempersoalkan dan cuba mensensasikan isu ini apabila enggan mene­rima sentuhan komposer lain setiap kali menghasilkan lagu, cuma kami memiliki alasan tersendiri berhubung perkara itu,” jelas Aepul mewakili rakan-rakannya kepada Sensasi Bintang.

Bank lagu

Mengulas lanjut, Aepul menjelaskan, Drama Band juga berdepan kesulitan untuk menentukan single terbaik buat tatapan peminat lantaran memiliki puluhan lagu berkualiti dalam simpanan mereka.

“Terlalu banyak material dalam bank lagu kami sehingga pening kepala juga dibuatnya, tambahan pula kami juga aktif sebagai komposer, selain bermain muzik bersama-sama,” ceritanya lagi.

Ammar bagaimanapun memberitahu, mereka tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana komposer selepas ini.

“Mungkin buat masa ini tidak. Tidak mustahil, suatu hari nanti kami akan mempertimbangkan perkara itu dan menerima input luar.

“Bukan apa, kami tidak mahu syok sendiri sehingga tua. Jadi, kami tidak pernah menutup pintu buat komposer lain, mana tahu kami mahu menambah perisa berbeza dalam material kami pada masa depan,” jelasnya.


Dari kiri Faeez, Ome, Adib, Aepul, Ammar dan Daus meraikan Aidilfitri di kampung halaman masingmasing sebelum kembali fokus menyiapkan album sulung Drama Band.

Eksperimen sulung

Dalam pada itu, tatkala menyentuh mengenai single terbaharu Drama Band berjudul Mencinta Kamu, Daus pula menjelaskan bahawa ini merupakan percubaan pertama Drama Band apabila mempertaruhkan sepenuhnya ciptaan Aepul kali ini.

“Ini eksperimen pertama kami tampil dengan single sentuhan Aepul. Sebelum ini, lagu-lagu kami dicipta bersama-sama kesemua ahli band. Cuma, kami percaya ia naskhah yang bagus dan mampu menarik perhatian peminat,” ujarnya.

Faeez pula memberitahu, ia dapat dibuktikan apabila single berkenaan mendapat hits yang memberangsangkan di laman YouTube.

“Terdapat perbezaan ketara menerusi lagu ini berbanding single terdahulu iaitu kami suntik elemen baharu seperti live strings dalam susunan lagu.

“Lagipun, tidak salah sekali-sekala bereksperimen bagi mengetahui selera sebenar peminat tempatan,” ujarnya.

Getus Aepul, lagu itu juga cukup bermakna buatnya apabila ia dicipta semasa majlis resepsi perkahwinannya bersama Leez Rosli pada dua tahun lepas.

“Lagu bergenre balada itu cukup istimewa buat saya dan terharu apabila mendapat sokongan rakan-rakan band untuk menjadikannya sebagai single terbaharu kami.

“Kehadiran dua anggota baharu iaitu Ome dan Adib juga diharap dapat menterjemahkan kematangan kami dalam setiap material yang kami hasilkan selepas ini,” jelasnya.

Ceritera Aidilfitri

Dalam pada itu, tatkala membicarakan mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, Aepul menjelaskan, mereka sekadar menyambut Syawal secara sederhana di kampung halaman masing-masing.

“Saya menyambut Aidilfitri di Kuala Lipis, Pahang. Persiapan lebih kepada anak iaitu Nur Saffiya Alisha yang kini berusia tiga bulan.

“Selain itu, kami juga terlibat dalam program Menang Raya sebelum kembali fokus merakamkan album sulung kami yang sudah 70 peratus siap alhamdulillah.

“Buat masa ini, ada dua tiga lagu yang masih belum siap sepenuhnya dan ia dijangka dilancarkan selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini,” ujarnya.

Ammar pula memberitahu, album itu disifatkan sebagai hadiah buat peminat yang berdiri teguh di belakang Drama Band selama ini.

“Biarpun secara teorinya penjualan album tidak begitu memberangsangkan, sekurang-kurangnya setiap material kami dapat didokumentasikan buat simpanan peminat,” jelasnya.

Sama ada sedar atau tidak, Drama Band kini seolah-olah berada dalam kelas tersendiri berbanding ketika mula-mula disatukan sekitar enam tahun lepas.

Justeru, sengaja ditebak soalan sampai bila mereka akan kekal bermain muzik sebagai sebuah kumpulan, ini jawapan jujur Drama Band.

“Perselisihan faham itu normal terutamanya apabila bab berkaitan kerja. Cuma kalau boleh, kami mahu rock sampai tua,” kata mereka sebelum mengakhiri perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post