Amar Baharin & Amyra Rosli Kami tak bercinta seperti orang lain


Kedua-dua artis ini bijak menyembunyikan status mereka sebagai pasangan bercinta.

MINGGU ini, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan pengumuman tergempar yang dibuat pelakon Amar Baharin, 31, dan Amyra Rosli, 25, yang membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Sememangnya, hubungan antara mereka berdua sebenarnya sudah lama dihidu. Cuma, tiada kata pengesahan yang keluar daripada mulut Amar mahu pun Amyra mengenai hubungan mereka itu. Keadaan itu menyebabkan ramai yang berteka-teki.

Bahkan, sebelum ini, setiap kali mereka diusik dengan perihal hubungan istimewa, masing-masing lebih cenderung untuk mengunci mulut. Maka, tindakan itu sekali gus meletakkan umum mengandaikan barangkali usikan mereka sebagai pasangan yang cukup serasi itu juga mungkin tidak lebih sekadar teman di lokasi penggambaran.

Apatah lagi, kerjaya mereka berdua juga diuruskan oleh individu yang sama iaitu ibu Amyra sendiri, Noor Zaridah Ahmad. Ini sudah pasti tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan gosip cinta antara mereka.

Bagaimanapun, segala-galanya sudah terjawab minggu ini. Dalam satu sidang akhbar khas yang di buat di Sunway Montana Clubhouse, Taman Melawati, Kuala Lumpur, pasangan itu membuat pengumuman rasmi kepada media.

“Kami tak bercinta seperti orang lain. Kami tak pernah ada sambutan ulang tahun perkenalan sebagai pasangan bercinta. Bahkan, antara kami sendiri tak pernah umum secara rasmi yang kami ini adalah pasangan kekasih.

“Tetapi ia lebih kepada saya nampak Amar memang serius mahu jadikan saya sebagai isteri. Sebenarnya, saya sendiri tidak tahu Amar betul-betul serius pada mulanya. Saya percaya, dengan tindakan seseorang itu lebih membuktikan segala-galanya berbanding perkataan. Itu yang Amar lakukan,” jelas Amyra.


Bagi Amar pula, dia tidak mempunyai niat untuk menyembunyikan hal ini daripada umum. Ini kerana, dia lebih selesa untuk membuka mulut mengenai satu-satu perkara apatah lagi melibatkan masa depannya sekiranya ia sudah betul-betul sudah pasti.

“Setiap pasangan ada perancangan tersendiri. Jika tidak ada tarikh lagi, saya memang tidak suka untuk menjaja cerita-cerita indah belaka. Atas sebab itu apabila semua sudah tetap bertarikh baru saya sedia kongsi,” tambah Amar.

Berkongsi mengenai bibit percintaan mereka, kata Amyra, mereka mula rapat selepas berlakon dalam drama Suamiku Encik Sotong. Daripada situ, katanya perasaan kasih dan sayang itu mula terbentuk.

“Sejak itu, kami kerap berjumpa memandangkan kami diuruskan oleh orang yang sama. Selain itu, Amar suka berkongsi cerita dengan saya. Apa sahaja dia akan beritahu saya. Sampaikan saya dapat rasa yang dia memang nak ada saya. Saya pun sukakan caranya yang matang dalam uruskan hidupnya,” luah Amyra.

Sungguhpun masing-masing punya sejarah percintaan silam masing-masing, Amar menganggap perhubungan yang bakal disatukan secara sah pada 11 November nanti adalah ketentuan jodoh daripada-Nya.

“Amyra adalah orang paling istimewa yang pernah saya jumpa,” luah Amar yang melangsungkan pertunangan terlebih dulu kelmarin.

Pasangan itu memilih untuk mengadakan majlis resepsi pertama pada 12 November nanti, manakala di sebelah pengantin lelaki pada 19 November. Bagaimanapun, lokasi persandingan mereka itu masih belum ditetapkan lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post