Emma Maembong, Kamal Adli umum jika berjodoh


Dunia seni sudah menjadi jalan penyatuan buat dua nama iaitu Emma Maembong dan lelaki paling rapat dalam hidupnya selain ayah, Kamal Adli.

Biar percikan glamor dan kontroversi datang silih berganti terhadap kedua-duanya, di situlah terbinanya keserasian disulami benang kejujuran dan kasih sayang.

Ironinya, pengalaman gagal dalam percintaan banyak mengajar Kamal dan Emma untuk tidak terburu-buru ke alam perkahwinan biarpun mempunyai konotasi untuk dimengerti.

Cukup sekadar masing-masing setia dan sedar ruang yang ada untuk mengenali soal hati, selain perbaiki cela yang ada.

“Saya dan Kamal masing-masing ada sejarah gagal dalam percintaan. Buat masa ini, kami lebih selesa berkawan rapat. Kami juga tidak bertemu keluarga masing-masing dan mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin.

“Mungkin ada yang mengata kami asyik berkepit tetapi itu semua proses perkenalan. Buat masa ini saya mengikut sahaja jalan yang ditentukan,” ujar Emma tatkala ditebak sama ada tahun ini raya terakhirnya sebagai orang bujang.

Perkara yang sama turut disuarakan Kamal tatkala bertemu dengan pasangan ini sempena sesi fotografi raya.

Pemilik nama sebenar Ahmad Kamal Ahmad Adli itu menyifatkan hubungannya bersama Emma sekadar teman rapat, namun pada masa sama tidak menolak andai dijodohkan dengan pelakon berdarah campuran Melayu-Scotland itu.

“Kami berdua tidak declare apa-apa. Insya-Allah, kalau ada jodoh kami tidak akan sorok dan beritahu semua.

“Cuma sekarang kami lebih selesa macam ini. Cukup orang tahu kami rapat. Tidak ada benda nak beritahu lebih,” kongsi Kamal yang enggan mencanangkan perihal cinta seperti ketika dia bersama Intan Ladyana dahulu.


Pasangan ini mengelak untuk acapkali bergandingan di dalam drama sebab memahami ada segelintir yang tidak suka.

Ketika sesi fotografi dijalankan di lokasi drama Assalamualaikum Cinta, Kamal dan Emma lebih senang bergaul dengan kru-kru yang lain berbanding berkepit bersama.

“Kerja dengan dia sekarang berbanding dahulu tidak ada bezanya. Bila berkaitan kerja kami profesional. Tidak mahu berkepit 24 jam. Sebabnya, kami dalam industri yang sama. Takut juga orang muak,” sambung Emma semula dan bersyukur bapanya, Ismail Embong tidak pernah memaksanya segera berkahwin.

Pelakon berusia 24 tahun itu menyifatkan bapanya seorang yang selamba dan tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk berkahwin biarpun usia anak-anaknya semakin bertambah. Perkara yang sama terjadi kepada kakaknya Yaya Maembong yang berkahwin di usia 38 tahun.

“Ayah seorang yang selamba. Dia tidak pernah tanya bila nak kahwin. Dia tidak mahu memberi tekanan pada anak-anak dan pada masa sama tidak mahu anaknya main tangkap muat memilih pasangan. Dia juga menerima ketentuan takdir jika anaknya berjodoh lambat,” jelas Emma sambil turut diakui Kamal bahawa keluarganya juga berfikiran serupa.

Menyentuh mengenai sambutan raya pasangan sama padan ini, menjadi kebiasaan bagi Emma dan semua adik-beradiknya berkumpul di rumah ayah di pagi raya.

“Biasanya, kami berkumpul di rumah ayah pada hari raya pertama. Bersalam-salaman, ambil gambar dan selepas itu yang sudah berkahwin akan balik ke kampung mertua. Setiap dua tahun rutinnya begitu,” ujar anak kesembilan daripada sebelas adik-beradik itu.

Bercuti selama seminggu dan selepas itu menjalani penggambaran drama terbaharu terbitan Orangetree Production, Emma menyifatkan raya adalah hari paling bermakna untuk dirinya.

Pada hari tersebut, dia berpeluang bertemu kesemua adik-beradiknya yang selama ini jarang ditemui atas kesibukan masing-masing.

“Kalau tidak raya, nak kumpul seramai 11 orang adik-beradik memang susah sebab masing-masing sibuk dan ada kehidupan sendiri.

“Jadi rayalah hari untuk berkumpul dan mengeratkan silaturahim. Disebabkan itu setiap kali raya saya lebih suka duduk di rumah bersembang dengan semua adik-beradik. Jika keluar beraya pun sekadar menziarah dua atau tiga buah rumah saudara dan selebihnya kami akan menonton wayang bersama,” jelasnya yang kali terakhir bertemu semua adik-beradiknya ketika menjalani penggambaran program realiti bersiri The House yang memaparkan kehidupan realiti Emma dan keluarga.


Berbanding Emma yang dapat bercuti lama, Kamal hanya sempat beraya selama tiga hari dan selepas itu pelakon berusia 30 tahun itu kena berangkat ke Sepanyol bagi menjalani penggambaran program travelog.

“Saya cuma beraya tiga hari sahaja dan selepas itu akan ke Sepanyol dan Maghribi untuk menjalani penggambaran program travelog terbitan RTM. Saya akan berada di sana sehingga 25 Julai untuk menelusuri sembilan buah bandar termasuk Barcelona, Sepanyol dan Casablanca, Maghribi,” kongsi Kamal yang mengaku tidak sempat beraya bersama Emma kerana tuntuan kerja.

Biarpun dapat bercuti ke sana selama sebulan, namun Kamal lebih rela menjalani penggambaran di Malaysia kerana memiliki rasa rindu bila berjauhan dengan orang tersayang.

“Saya cepat homesick. Memang tak boleh melancong lama-lama. Paling lama dua minggu. Tambahan pula, saya jenis manusia yang suka habiskan masa di rumah dan sangat menyukai masakan mak,” ujarnya sambil ketawa.

Beraya di Pekan, Pahang pada tahun ini, kata Kamal, setiap tahun dia akan beraya di dua negeri berbeza.

“Seronoknya raya sebab saya tidak beraya di satu kampung sahaja. Tahun ini raya di kampung mak di Pekan dan tahun depan pula beraya di kampung ayah di Kedah.

“Walaupun sudah berkahwin rutin beraya di kedua-dua kampung itu akan dipraktikkan,” tegas Kamal lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post