Nassier Wahab Bimbang Penyakit Serius Adik, Isteri


Penyanyi Nassier Wahab terpaksa membatalkan persembahan di Singapura pada minggu hadapan berikutan kebimbangannya terhadap kesihatan isteri dan adiknya.

Nassier, 54, berkata, isterinya Fatimah Abd. Rauf, 53, menghadapi penyakit buah pinggang sejak setahun lalu dan adik perempuannya pula bertarung dengan kanser rahim tahap empat.

"Saya terpaksa tolak persembahan di Singapura munggu depan kerana bimbangkan kesihatan isteri dan adik.

"Penganjur agak marah juga tapi nak buat macam mana keluarga lebih penting, buat masa ini saya hanya mengambil undangan nyanyian yang dekat-dekat sahaja supaya mudah jika berlaku sebarang kecemasan.

"Dia (isteri) perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu, manakala adik bungsu saya juga sedang bertarung dengan penyakit kanser rahim yang sudah berada pada tahap empat," ujarnya kepada mStar Online.


Nassier bersama adik bungsunya yang bertarung dengan penyakit kanser rahim.

Tambah Nassier, dia tidak berasa ralat atau menyesal terhadap pembatalan itu kerana dia mahu memberi keutamaan kepada keluarga terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Nassier berkata pada Hari Raya Aidilfitri lalu, dia bersyukur dapat meluangkan masa panjang bersama adiknya di kampung mereka di Pulau Pinang.

Katanya, saat itu merupakan paling sukar apabila mendengar adiknya mengerang pada malam hari kerana kesakitan.

"Saya sedih dan menangis melihat penderitaan yang dialaminya kerana setiap malam dia akan terjaga akibat sakit yang ditanggung.

"Pada Hari Raya lalu memang saya ambil kesempatan menjaga dia dan kami sekeluarga juga sempat mengadakan majlis kecil nyanyian dan menari bersama-samanya sekadar suka-suka untuk mengembirakannya," ujar Nassier.

Dia juga sedang berusaha untuk membawa adiknya itu untuk mendapatkan rawatan kanser di pusat perubatan swasta.

1 Comments

  1. Adik Nassier 💖 Adik Atiqah
    mereka 😭 Abang Nassier
    Abg Nassier Kubur🤲 Aliff PWN

    ReplyDelete
Previous Post Next Post