Bert menyifatkan Abil sebagai seorang isteri yang sempoi, namun penyayang. Ada suatu ketika, dia merancang makan malam istimewa, namun Abil lebih rela untuk masak sendiri di rumah buat dirinya.
Lebaran kali ini sangat bermakna buat pasangan suami isteri, Mohd. Izwan Johar, 33, dan aktres berbakat besar, Nabila Huda, 32, yang mendirikan rumah tangga pada 25 Disember tahun lalu. Kelibat pasangan romantis tersebut umpama belangkas yang tidak mampu dipisahkan meskipun kemesraan mereka yang dikongsi di laman sosial menjemput pandangan negatif dalam kalangan peminat.
Ironinya, segala cercaan, makian dan sindiran seperti tidak melekat buat mereka untuk kelihatan mesra sebagai suami isteri.
Bagi Izwan atau mesra dipanggil Bert, sebagai ketua keluarga, selagi apa yang dikongsi di laman sosial tidak melampaui batas sebagai seorang Muslim, tidak salah jika permaisuri hatinya yang mesra disapa dengan nama Abil itu ingin berkongsi kebahagiaannya bersama peminat.
“Sebagai suami, saya faham kehendak dan tanggungjawab Abil sebagai seorang selebriti. Segala tindak-tanduk dirinya menjadi perhatian ramai meskipun kini hatinya sudah terisi dengan kasih sayang daripada seorang suami.
“Kalau orang tidak suka melihat kemesraan yang ditunjukkan Abil di laman sosial seperti Instagram, itu tidak menjadi masalah buat dirinya. Sebagai suami, tiada lain yang saya harapkan melainkan dia sentiasa bahagia dengan apa yang dia lakukan dalam hidupnya,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! dalam sesi fotografi istimewa Aidilfitri di kediaman bapa mertuanya, Amy Search sekitar awal Ramadan lalu.
Lebaran terisi, meriah
Pertama kali menyambut Aidilfitri di samping seorang suami selepas perkahwinan pertamanya dengan bekas suami pertama, Zaidi Zailani tidak berkekalan lama apabila bercerai pada tahun 2011, Abil kedengaran cermat dalam melontarkan pendapat terutama apabila berkait tentang perkahwinan baharunya itu.
Sejenak dia melafazkan sebaris ayat yang menyimpulkan rasa bahagia dirinya: “Saya tidak mahu kegagalan kisah lama memberi kesan terhadap apa yang seharusnya berlaku pada waktu sekarang atau pada masa hadapan kerana kisah lalu telah lama saya tinggalkan untuk dijadikan teladan dengan siapa saya bersama hari ini.”
Luahnya, Aidilfitri kali ini sangat bermakna dengan kehadiran sang cinta yang bukan sahaja menyinari hidup dirinya, malah orang sekeliling yang disayangi terutama puteri tunggalnya, Keisha Laila, 6.
Abil dan suami merancang untuk bercuti pada bulan Oktober. Menurutnya, dia dan suami akan bercuti di kawasan Amerika Selatan seperti Chile, Argentina, Paraguay, Panama, Costa Rica dan Peru.
“Memang seronok kerana raya semakin meriah dengan kehadiran Bert dalam hidup saya, Keisha dan juga keluarga papa (Amy Search). Bert memang seorang lelaki yang mudah mesra dan begitu disenangi ramai.
“Aidilfitri tahun ini memang berbeza. Ia terisi dengan pengalaman baharu bersama Bert yang sangat memahami diri saya. Saya pasti Keisha juga gembira dengan kehadiran bapa yang prihatin terhadap dirinya. Pun begitu, saya tidak menghalang Keisha untuk menghabiskan masa raya bersama bapa kandungnya, Zaidi,” ujarnya yang tidak lokek melontarkan senyuman dalam bicara.
Cuti, balik kampung
Sementelah disogok pertanyaan kepada Bert tentang transisi isterinya itu khususnya selepas bergelar suami isteri, dia mendahulukan perbualan dengan senyuman menandakan kebahagiaan yang sedang dikecapi bersama.
“Abil lebih suka menghabiskan masa di rumah memasak untuk saya. Masakan dia yang menjadi kegemaran saya adalah ikan tenggiri masak lemak tetapi kalau sedang memasak di dapur, dia tidak suka diganggu,” kongsinya.
Menyentuh tentang rutin hari raya tahun ini, Abil akan beraya di dua destinasi utama iaitu di kediaman Amy Search di Selangor dan menziarah sanak-saudara Bert di Singapura.
“Saya memang bersemangat untuk beraya tahun ini. Pagi raya kami berkumpul dengan keluarga papa di Denai Alam. Kemudian, kami akan ke Singapura dan beraya beberapa hari di sana bersama keluarga mertua,” kata Abil mementingkan kesederhanaan terutama dalam perihal busana raya.
Ujarnya apabila disogok soalan mengenai busana raya: “Saya bukan jenis yang suka pakai sedondon dengan pasangan. Bagaimanapun, kebiasaannya baju raya disediakan oleh papa. Kalau ikutkan, saya akan sibuk mencari baju raya sehari sebelum raya.”
Selain berkumpul dengan keluarga serta sanak saudara di pagi raya, perkara yang ditunggu-tunggu pelakon filem Munafik itu setiap kali raya adalah makanan.
“Makanan yang saya akan ‘buru’ adalah masak lodeh, rendang dan sambal goreng pengantin. Saya adalah penggemar makan ‘berat’ hari raya. Kalau pergi beraya rumah orang pun, saya akan berasa sikit ralat kalau tidak dijamu dengan makanan berat.
“Saya bukan penggemar kuih raya. Bagaimanapun, kuih tart nenas adalah kegemaran saya. Kalau Bert, dia sangat menggemari kuih lapis Singapura,” ceritanya menutup perbualan.