KEHADIRAN dua figura jelita, Erra Fazira dan Rita Rudaini di Restoran Rumah Kueh di Sunway Nexis, Damansara, Selangor pada pertengahan Ramadan lalu untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri benar-benar menarik perhatian ramai. Malah, ada peminat yang terlihat kelibat dua aktres itu sanggup menunggu di depan restoran semata-mata mahu melihat mereka beraksi di depan lensa kamera.
Pemandangan tersebut barangkali jarang-jarang ditemui oleh peminat dua aktres berkenaan. Pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang seni menjadikan sesi fotografi berkenaan berlangsung dengan pantas. Hadir tepat pada waktu yang ditetapkan, kedua-dua aktres yang berkongsi status sebagai ibu tunggal itu bijak mencari posisi terbaik secara tidak langsung memudahkan kerja jurugambar bertugas pada hari tersebut.
Sambil gambar dirakamkan, sesekali Rita sengaja mengusik Erra gara-gara kisah percintaannya dengan penyanyi Shahir yang telah didedahkan kepada umum baru-baru ini. Cuba menahan ketawa, Erra hanya mengukir senyuman manis atas usikan sahabatnya itu. Tiada langsung tanda amarah, sebaliknya mendoakan Rita agar cepat bertemu dengan jodoh yang baik.
Bercakap soal jodoh dan sambutan Aidilfitri, kali ini sudah masuk tahun yang ketiga mereka berdua meraikannya sendirian tanpa insan bergelar suami di sisi. Tidak menganggap ia sebagai kekurangan, Erra dan Rita tetap menyambut Syawal meriah seperti orang lain dan cuba mencipta momen bahagia buat anak masing-masing.
Raya bersama Alessya
Berbicara tentang sambutan Aidilfitri, sejak bercerai dengan bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin hampir tiga tahun lalu, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 42, mengikut sistem giliran untuk beraya bersama anak tunggal mereka, Engku Alessya, 7.
Istimewanya, tahun ini tiba giliran Erra meraikan Aidilfitri bersama puterinya itu. Biarpun mempunyai masa terhad bersama anaknya iaitu pada hari raya pertama sahaja, ia sudah memadai buat Erra.
“Alhamdulillah, tahun ini tiba giliran saya bersama Alessya. Walaupun dia bersama saya hanya pada hari raya pertama, manakala raya kedua bersama bapanya, ia sudah mencukupi. Kami beraya di kampung saya di Rawang, Selangor. Walaupun kampung cukup dekat dengan bandar, saya tetap akan membawa Alessya pulang bersama untuk memberinya pengalaman hari raya sebagai kanak-kanak.
“Suasana pembesaran Alessya amat berbeza, dia budak bandar dan saya pula dari kampung. Jadi, saya mahu dia lalui pengalaman beraya seperti yang ibunya pernah rasa dulu. Saya akan pastikan dia bermain bunga api, tengok ayam dan permainan budak kampung. Walaupun sudah berusaha memberi pengalaman terbaik kepadanya, dia tidak berapa sukakan bunga api seperti saya waktu kecil,” tutur Erra sambil ketawa.
Menurut Rita setiap hari raya keempat, dia akan mengadakan majlis rumah terbuka di kampung halamannya di Perlis khas buat peminat bahagian utara.
Saat ditebak tidakkah berasa sunyi atau sukar setiap kali meraikan Aidilfitri sebagai ibu tunggal, dengan pantas Erra menggelengkan kepalanya. Biarpun memegang status ibu tunggal kepada seorang anak perempuan, perkara tersebut tidak pernah membebankannya.
Erra juga mendedahkan dia tidak pernah rasa kesunyian pada pagi raya tanpa suami di sisi kerana telah lali hidup sendirian. Bersuami ataupun tidak, tanggungjawab dan rutin harian kepada puteri kesayangan Alessya tetap tidak berubah.
“Saya tidaklah rasa sunyi atau mencabar sebab ketiadaan suami. Walaupun menjadi ibu tunggal, saya tetap menjalankan tanggungjawab sebagai ibu seperti biasa.
“Mungkin kerana saya mempunyai kerjaya dan sumber pendapatan sendiri, semuanya berada dalam kawalan,” luahnya.
Tambah Erra lagi, melihat pengalaman ibunya membesarkan anak sendirian secara tidak langsung menjadikan dia seorang wanita yang tabah.
“Saya merupakan satu-satunya anak kepada seorang ibu tunggal. Mungkin sudah melalui pengalaman yang sama, saya tidak rasa susah. Cuma selepas bergelar ibu tunggal, jika boleh mahu memberi kesenangan kepada Alessya lebih daripada apa yang saya dapat sewaktu kanak-kanak,” tutur Erra menutup bicara.
Rita selesa raya sendirian
Sama seperti Erra, empunya nama Rita Rudaini Mokhtar, 40, juga tidak berasa sebarang kekurangan meraikan Aidilfitri hanya dengan dua cahaya matanya, Airit Rayyan Rizqin, 7, dan Airit Qaqa Arjuna, 5, sejak sah bercerai dengan bekas suami, seorang pemain bola sepak, Aidil Zafuan pada September 2013.
Akui Rita, biarpun masih turun naik mahkamah dengan pelbagai kes tuntutan berhubung rumah tangganya, dia bersyukur masih mampu berdikari tanpa suami di sisi.
“Saya tidak rasa sukar hidup sendiri, tapi lagi mudah kerana tidak perlu berebut untuk balik raya. Sejak bercerai, setiap tahun saya sambut Aidilfitri di Perlis. Saya juga telah menyiapkan semua kelengkapan raya sebelum Ramadan, jadi tidak kelam-kabut,” katanya yang membeli dua pasang baju Melayu untuk anak-anaknya.
Meskipun begitu, kadang-kala Rita mengakui berasa penat kerana terpaksa menjalankan tugas sebagai ibu dan bapa serentak. Ada kalanya dia juga tewas dan air matanya menitis jika gagal mengawal perasaan disebabkan kelasakan anak-anak.
“Saya membesarkan dua anak lelaki. Kadang-kala mereka lasak, saya pula terlalu penat bekerja, jika tidak tahan sangat menangis juga. Oleh itu, saya bercerita kesukaran yang dihadapi kepada anak sulung, supaya dia faham.
“Alhamdulillah, walaupun masih kecil dia amat memahami. Dalam masa yang sama saya juga berasa lega dapat meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Rasa hendak marah juga hilang apabila anak yang memujuk kita,” ujarnya.
Bagaimanapun tahun ini jadualnya agak padat memandangkan dia baru sahaja membuka Restoran Rumah Kueh serta perniagaan produk wangian di bawah jenama Rita Rudaini. Biarpun semakin ligat dengan perniagaan, Rita tidak melupakan lakonan. Cuma bagi memberi fokus kepada anak-anak, Rita lebih bersikap selektif terharap tawaran yang hadir.
“Sejak berniaga, saya mempunyai lebih masa bersama anak-anak. Jika tiada tawaran lakonan, saya boleh memberi tumpuan kepada perniagaan. Walaupun penat, tetapi saya seronok dan hasilnya berbaloi dengan usaha yang diberikan. Apa yang penting saya mencari rezeki yang halal untuk anak-anak,” kata Rita menutup bicara.