MENGERTI - Lara Alana bagaikan mengerti tujuan mengerjakan umrah dengan memberi kerjasama, malah menjadi perhatian jemaah Malaysia.
TERPILIH menjadi tetamu Allah dalam bulan Ramadan lalu memberi seribu anugerah tidak ternilai buat keluarga ini.
Berpeluang menjalani ibadah puasa di Tanah Suci Mekah, selama dua minggu berada di sana nyata tidak dipersiakan begitu sahaja buat pasangan pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari bersama isterinya, Scha Al-Yahya.
Benar, sesungguhnya tiada apa yang lebih istimewa selain berkesempatan merebut sebanyak mungkin peluang dikurniakan Allah pada bulan mulia.
Pulang dengan semangat dan keazaman ingin memperbaiki diri dalam perjalanan menjadi hamba Allah yang sentiasa dekat dengan-Nya, Awal berkongsi kemanisan pengalaman dirinya dan keluarga sepanjang berada di sana.
“Alhamdulillah, ini merupakan pengalaman kedua saya berpuasa di Tanah Suci Mekah. Ibadah umrah saya kali ini lebih istimewa kerana ditemani isteri, anak dan juga ibu bapa serta ibu mertua. Saya memang sudah lama memasang niat untuk membawa mereka dan ia merupakan rezeki yang tidak terhingga buat kami sekeluarga.
“Suatu pengalaman cukup berbeza dan mendamaikan buat saya apabila kami dapat bersama-sama melakukan ibadah umrah, berpuasa dan menunaikan solat sunat tarawih. Saya banyak meluangkan masa di masjid dan menggunakan peluang keemasan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah,” cerita Awal tenang.
Ditanya perasaan dirinya sebelum menjejakkan kaki ke Mekah, tanpa berselindung Awal atau nama penuhnya, Ahmad Awaluddin Ashaari memberitahu, pelbagai debaran dirasai dalam diri ketika berada di Malaysia.
Bagaimanapun, segala perasaan gundah- gulana yang mencengkam jiwa lenyap begitu sahaja sebaik berada di sana. Malah, ia digantikan dengan perasaan rendah diri dan penuh kesyukuran terhadap Ilahi.
“Sebagai manusia, sudah pasti banyak kekurangan yang kita lakukan tidak kira sesama manusia mahupun kepada Allah. Apabila terpilih ke Mekah, debaran dan pelbagai persoalan bermain di minda, terutamanya melibatkan kesediaan diri dan adakah kedatangan kami diterima?
“Alhamdulillah kedatangan kami diterima. Semua persoalan hilang, sebaliknya serta-merta timbul rasa tenang dan damai. Saya bersyukur menjadi salah seorang daripada jutaan tetamu Allah yang sedang berkumpul di Tanah Suci ketika itu,” katanya yang memanjatkan doa agar dapat menjadi hamba Allah, anak, suami dan bapa yang soleh.
Bercakap mengenai puterinya, Lara Alana yang turut dibawa, Awal kemudiannya tertawa. Ujarnya, si comel yang genap berusia dua tahun pada bulan hadapan ini adalah yang paling seronok sepanjang berada di sana sehingga naik berat badannya.
“Lara Alana adalah insan yang paling seronok ketika di Mekah. Dia banyak memberi kerjasama dan bagaikan mengerti kedatangan kami ke sana adalah untuk beribadah.
“Ramai jemaah dari Malaysia sayangkan Lara dan saya bersyukur dia merupakan tetamu Allah yang beruntung kerana dapat ke sana pada usia cukup muda. Berat badannya juga bertambah semasa berada di sana!” ujar Awal tertawa.
Meriah Syawal
Beralih bicara mengenai sambutan Aidilfitri keluarganya, pengacara Melodi itu berkata, dia dan Scha sepakat bercuti panjang bagi lebaran tahun ini selama dua minggu.
Kata Awal lagi, sambutan mereka sekeluarga tambah meriah sementelah Lara sudah tahu meraikan kedatangan Syawal yang mulia ini.
“Tahun ini, giliran kami beraya di rumah isteri dan kemudian pada hari raya kedua di rumah keluarga saya pula yang sebenarnya dua-dua di Kuala Lumpur.
“ Berbeza seperti Syawal lalu, tahun ini Lara sudah pandai meraikan hari raya, jadi ia menambahkan kemeriahan dalam keluarga kami.
“Selain itu, rumah keluarga saya dan Scha sering menjadi lokasi utama untuk berkumpul. Memang meriah sambutan Syawal kami apabila dapat bertemu dengan saudara-mara, bermaafan sambil menikmati juadah yang lazat,” jelasnya yang menggemari ketupat palas Kedah bersama rendang dan kuah kacang.
Menyentuh soal persiapan pula, dengan teruja Awal memberitahu, tahun ini dia dan isteri tidak perlu pening kepala memikirkan soal baju raya. Ia berikutan keluarga Awal merupakan duta kepada jenama Jakel.
Terdahulu, Awal telah menjalin kerjasama bersama syarikat pengeluar tekstil itu dan melancarkan koleksi raya Schawalara X Jakel. Terus bergiat aktif dalam bidang perniagaan, Awal turut menjual kuih raya #SchawalaraCookies sempena Syawal ini.
“Bercakap soal persiapan baju raya, tahun ini kami tidak perlu risau kerana mempunyai baju raya sendiri. Seperti sedia maklum, keluarga saya merupakan duta kepada Jakel, jika kami hendak memakai baju baharu setiap hari selama sebulan pun boleh.
“Begitu juga dengan kuih raya kerana tahun ini kami turut berniaga kuih raya. Soal persiapan lain pula, semuanya dilakukan secara sederhana sahaja,” ujarnya mengakhiri bicara.