Kumpulan Kalifah tidak kisah digelar sebagai band kampung.
Kumpulan Kalifah yang popular menerusi lagu Hang Pi Mana tidak terkesan apabila ada segelintir pihak menganggap mereka sebagai band kelas bawahan dan kekampungan.
Vokalisnya, Ag Sulong Oyong atau Yabang berkata, gelaran itu sebenarnya telah meletakkan nama mereka pada tahap sekarang dan mereka bersyukur formula yang digunakan dalam lagu-lagu mereka diterima baik oleh pendengar.
"Kami tidak kisah pun jika ada yang melabel kami sebagai band kampung malah berbangga dengan gelaran itu kerana kami lain daripada kumpulan sedia ada.
"Bukan mudah dengan persaingan mencabar terutamanya daripada artis-artis baharu tetapi muzik dan perjuangan kami diterima baik disebalik label diletakkan kepada kami," katanya kepada mStar Online.
Selain Yabang, Kalifah turut dianggotai oleh Ahmad Sairi Haslan Mohd Redzwan (gitar), Nuriwan Ajis @ Samad (bass) dan Ahmad Sharoni Mohd Redzwan (dram).
Kalifah pernah menghasilkan empat buah album sebelum ini iaitu Kelahiran (2007), Cinta Dewi Kamala (2009), Ni Hao Ma (2010) dan Cinta & Sayang (2013).
Kalifah bakal muncul dengan album kelima mereka dalam masa terdekat ini.
Dalam pada itu, Yabang berkata, sebelum melancarkan Hang Pi Mana, mereka mengambil masa selama setahun untuk menkaji trend muzik yang digemari oleh pendengar selain ingin menampilkan kelainan.
"Kita mahu menghasilkan sebuah lagu yang mampu menarik perhatian pendengar dan sebab itu mengambil masa setahun hanya untuk membuat kajian tentang trend muzik.
"Alhamdulillah percaturan kami membuahkan hasil apabila Hang Pi Mana yang menggabungkan elemen rock dan tradisional mendapat perhatian yang cukup luar biasa," katanya.
Bercakap mengenai album terbaharu Kalifah, Yabang berkata, album kelima mereka sudah pun siap sepenuhnya dan sedang menanti masa sesuai untuk dilancarkan.
Kata Yabang, album yang memuatkan sepuluh buah lagu itu menampilkan lagu-lagu berunsurkan kerakyatan dan menggunakan dialek negeri yang terdapat di Malaysia.
Dalam pada itu klip video lagu Hang Pi Mana nyanyian mereka yang dilancarkan di YouTube sejak 1 Jun lalu sudah mendapat lebih dua juta tontonan.