Kahwin tahun ini, Nora idam resepsi di Bali


Walaupun memilih bernikah secara sederhana, Nora mahu melangsungkan majlis resepsinya di Bali, Indonesia.

Biarpun masih belum memutuskan tarikh rasmi perkahwinannya dengan kekasih, Nedim Nazri, aktres jelita, Nora Danish sudah memasang angan-angan untuk mengadakan majlis resepsi di Bali, Indonesia. Jika tiada aral melintang, status janda yang dipegang dirinya selama lapan tahun selepas bercerai dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai bakal berakhir tahun ini juga.

Ditemui pada pelancaran klip video Raniaku di Damansara baru-baru ini, pelakon yang cukup dikenali menerusi siri sitkom Puteri itu menegaskan ingin berkahwin pada tahun ini walaupun kesibukan kerjaya seni membuatkan dirinya tidak cukup tangan.

Mengenai perkembangan seni, Nora bergandingan dengan aktor kacak, Remy Ishak menerusi satu klip video istimewa buat jenama kosmetik popular, Safi Rania Gold. Menjalani penggambaran selama enam hari di Bali, klip video tersebut turut menampilkan penyanyi berbakat besar, Aizat Amdan sebagai pelantun lagu yang diberi judul sebagai Raniaku.

KOSMO!: Setiap kali berjumpa dengan Nora, soalan sama akan diajukan. Bila agaknya majlis pernikahan dan persandingan dengan Nedim akan berlangsung?

Nora: Saya sangat sibuk dengan kerjaya buat masa sekarang. Sehingga kini, saya belum boleh beri apa-apa perkembangan terbaharu mengenai hal itu (kahwin). Bagaimanapun, saya memang ingin berkahwin pada tahun ini dan saya rasa tidak mustahil ia berlaku. Seperti yang dikatakan sebelum ini, saya mahukan perkahwinan yang sederhana sahaja.

Walaupun mahu perkahwinan yang sederhana, barangkali anda sudah mempunyai konsep buat hari bahagia anda nanti?

Buat masa sekarang, memang belum ada sebarang perancangan. Cuma saya idam majlis persandingan berkonsepkan pantai di Bali. Saya memilih Bali kerana ia adalah ‘kampung’ saya. Itu memang menjadi impian saya. Insya-Allah, saya mungkin berkahwin pada bila-bila masa sahaja. Apa yang saya harapkan adalah doa daripada semua pihak.

Selepas berkahwin nanti, adakah anda akan memperlahankan langkah seni bagi memberi fokus kepada tugas sebagai seorang isteri?

Saya tidak rasa begitu. Nedim sentiasa memberi sokongan penuh terhadap apa juga jenis perkara yang saya lakukan. Selain itu, dia juga sudah terbiasa hidup di bawah cahaya glamor. Saya akan terus berkecimpung dalam bidang seni selagi industri memerlukan saya. Dalam pada itu, saya tidak akan hanya berpeluk tubuh dan akan terus berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Baiklah, bekerja di samping Remy Ishak bukanlah perkara baharu buat diri anda. Bagaimanapun, menerusi klip video Raniaku, anda kembali bergandingan. Boleh ceritakan sedikit tentang pembikinan klip video Raniaku?

Sebagai duta Safi Rania Gold, saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berlakon di samping Remy. Enam hari berada di Bali, ia sememangnya satu pengalaman mengagumkan buat saya. Klip video Raniaku mengisahkan tentang hubungan suami isteri yang menjadi goyah disebabkan masalah yang serius. Selain itu, saya memang merupakan peminat muzik Aizat Amdan. Apabila dimaklumkan bahawa dia akan menyanyikan lagu klip video ini, saya berasa amat teruja.

Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya lakonan dan bisnes anda?

Saya akan terlibat dalam sebuah telemovie bergandingan dengan pelakon Aiman Hakim Ridza. Judul telemovie masih belum boleh pastikan tetapi penggambaran akan bermula pada 27 Julai ini sama ada di Melbourne, Australia atau Berlin, Jerman. Tentang perniagaan, Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Koleksi tudung Owl By Nora Danish semakin mendapat sambutan menggalakkan. Begitu juga dengan sambutan terhadap kafe XOXO yang baru sahaja bertukar lokasi dari Bangsar ke Bandar Baru Bangi.

Post a Comment

Previous Post Next Post