Jihan Muse Saya teruja beraya bersama suami


Jihan MUSE

HAMPIR sebulan berpuasa, Ramadan kini sudah berada di penghujungnya.

Bermulalah episod hari lebaran yang dinanti-nantikan seluruh umat Islam dalam menyambut hari kemenangan.

Sudah pasti, hari raya yang dinantikan pengacara popular ini bakal membawa seribu satu kebahagiaan buat dirinya apatah lagi kali pertama menyambutnya bersama suami tercinta.

Jihan Muse yang mendirikan rumah tangga dengan Ungku Hariz awal tahun ini melahirkan rasa teruja untuk menyambutnya bersama insan tersayang.

“Alhamdulillah, raya tahun ini berbeza dan lebih istimewa buat saya kerana sudah bergelar isteri.

“Perasaan saya memang teruja kerana inilah masanya untuk saya mengenali lebih rapat keluarga suami dan pada masa sama saya memperkenalkan suami kepada keluarga sendiri.

“Selepas berkahwin, saya dan suami sibuk dengan kerja masing-masing, jadi hari raya ini kami ambil kesempatan untuk rapatkan lagi silaturahim bersama keluarga.

“Paling seronok, kami ada keluarga yang besar. Saya dan suami akan lebih mengenali saudara mara masing-masing dan ikatan persaudaraan akan menjadi lebih rapat,” katanya kepada Zass.

Tambah Jihan, biarpun sudah berkahwin, dia tidak menghadapi masalah untuk beraya memandangkan keluarga suaminya menetap tidak jauh dari keluarganya.

“Saya bersyukur keluarga mentua juga menetap di Shah Alam, jadi setiap tahun kami tidak perlu berebut untuk balik beraya di rumah keluarga.

“Memandangkan saya dan suami bercuti selama dua minggu, mungkin banyak rumah saudara-mara boleh kami ziarahi nanti,” katanya teruja.

Ditanya mengenai persiapan hari raya, Jihan bagaimanapun akui memilih untuk lebih bersederhana.

“Untuk persiapan raya, tidak ada apa yang berubah kerana sebelum berkahwin pun memang kami sudah biasa menempah baju bersama.

“Dari segi juadah raya setakat ini suami tidak ada sebarang permintaan. Saya ada merancang untuk masak tapi tengoklah macam mana nanti,” katanya tertawa kecil.

Lebih memahami

Hampir tiga bulan mendirikan rumah tangga, Jihan mengakui kehidupan baharu yang ditempuhinya itu tidak seperti apa yang difikirkan.

Malah dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang memahami.

“Sebelum ini saya selalu fikir selepas berkahwin semua perkara akan menjadi lebih rumit.

“Perubahan yang saya lihat pada suami juga dia lebih santai jika dibandingkan dengan sebelum ini. Kalau dulu banyak sangat soalan kalau saya mahu buat sesuatu perkara.

“Tapi sekarang, saya lihat dia lebih percaya saya,” katanya yang bakal tampil dengan program Jejak Jepun Jihan musim kedua tidak lama lagi.

Ditanya mengenai cahaya mata, pelakon berusia 33 tahun ini menyerahkan ketentuan itu kepada Yang Maha Esa.

“Saya tidak anggap soalan itu sebagai satu bebanan kerana boleh dikatakan ia soalan yang biasa ditujukan buat pasangan yang sudah berkahwin.

“Dalam soal zuriat kami memang tidak merancang tapi hanya berserah kepada yang lebih berkuasa. Buat masa ini masih belum ada rezeki,” jawabnya ringkas.

Post a Comment

Previous Post Next Post