Dynas Mokhtar berkumpul bersama insan tersayang


APALAH makna lebaran jika tidak pulang ke kampung halaman dan berkumpul bersama insan tersayang di pagi raya.

Ya, itulah pengertian utama yang dipegang pelakon tinggi lampai, Dynas Mokhtar.

Bagi selebriti berusia 33 tahun ini, hari raya adalah masa terbaik untuk meluangkan masa dengan insan tersayang.

“Insan tercinta itu bukanlah bermakna hanya dalam kalangan ahli keluarga tetapi juga terdiri daripada sahabat handai.

“Lebih-lebih lagi, dengan status saya yang solo, saya punya lebih masa untuk meluangkan masa dengan anak-anak dan kawan-kawan.

“Saya sendiri punya kawan-kawan yang tiada tempat untuk dituju apabila tibanya hari raya, salah satu sebabnya, sama ada ibu bapa berjauhan atau terdiri daripada keluarga yang berpecah-belah.

“Bahkan, ada pula yang habiskan masa raya hanya dengan tidur. Jujurnya, saya kasihan pada mereka,” katanya kepada Zass.

Tidak membenarkan perkara itu terjadi, pelakon filem Haru Biru ini turut mengajak sahabatnya beraya bersama dengannya.

“Walaupun sudah terbiasa dengan kehidupan sebegitu, saya tidak akan biarkan kawan-kawan saya itu.

“Saya akan ajak ke rumah dan masak untuk mereka. Saya mahu mereka merasai semangat hari raya kerana banyak aktiviti yang boleh dibuat,” katanya.

Lebih bermakna, Dynas turut meraikan lebaran kali ini di samping kekasih hatinya, Shazrik Din yang dikenalinya sejak berusia 17 tahun lagi.

“Ya, saya memang sudah kenal lama dengannya. Tetapi, ketika itu, hubungan kami hanya sekadar kawan biasa.

“Namun, selepas mengadakan pertemuan semula dengan kawan-kawan lama, barulah kami menjalinkan hubungan cinta, sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon filem Main-Main Cinta ini menjelaskan, masih terlalu awal untuk mentafsir masa hadapan hubungannya.

“Sukar untuk menduga apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

“Jika diizinkan Tuhan, Insya-ALLAH andai takdirnya dia memang jodoh saya, pasti perkara itu akan tiba juga,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar ini juga mengakui beraya di kampung jauh berbeza berbanding di bandar.

“Sudah lama saya tidak pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah dan Tapah, Perak. Lagipun, sudah tiada sesiapa di sana. Malah, saudara-mara juga lebih ramai berkumpul di Kuala Lumpur.

“Tapi, sebenarnya beraya di kampung sangat meriah apatah lagi dengan semangat kejiranan dan amalan menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah,” katanya.

Berhenti berlakon?

Pada masa sama, Dynas kini sibuk mengembangkan perniagaan dalam bidang fesyen menerusi jenama Dynas Nursing Attire (DNA) sehingga mampu berada setaraf dengan jenama antarabangsa.

“Saya baru menyelesaikan koleksi busana untuk Syawal selain bakal melancarkan dua lagi jenama pakaian ‘ready to wear’.

“Bahkan, saya juga berharap pembinaan bangunan syarikat saya berjaya disiapkan tahun depan," katanya.

Situasi itu menyebabkan selebriti kelahiran Kuala Lumpur ini dilihat semakin memperlahankan kegiatan seninya.

Buktinya, kelibat pelakon filem Kayangan ini sangat jarang kelihatan di kaca televisyen.

“Selepas berlakon dalam drama bersiri Uda & Dara, saya pernah mencuba untuk mengurangkan kemunculan di kaca TV.

“Ia sebagai langkah awal untuk berhenti daripada bidang lakonan, namun nampaknya usaha itu tidak berjaya,” katanya.

Jelasnya, bidang lakonan sudah menjadi sebahagian daripada darah dagingnya, sejak menyertai dunia hiburan lebih sedekad lalu.

“Berlakon adalah keinginan saya sejak di usia remaja dan tidak ada salahnya jika terus berlakon sambil menguruskan perniagaan.

“Lagipun, keputusan itu turut mendapat sokongan daripada keluarga dan kenalan rapat.

“Bahkan, mereka berharap saya akan terus aktif berlakon,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Dalam perkembangan lain, Dynas kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Samudera Rindu.

Post a Comment

Previous Post Next Post