Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat Fahrin apabila Elena berada di sisi dan sedang hamil enam bulan.
SYAWAL tahun ini pasti membawa seribu makna dalam lembaran kisah hidup pelakon serta pengacara, Fahrin Ahmad dan isterinya, Elena Hani Eleas.
Jika diselak kembali kisah pasangan yang memasuki tahun kedua mendirikan rumah tangga ini, tahun lalu Fahrin dan Elena ‘terpisah’ sementara kerana tuntutan kerja isteri yang menggalas tugas di awan biru.
Ketika itu, kedua-duanya hanya sempat berpuasa dan beraya bersama dalam tempoh cukup singkat iaitu hanya selama seminggu.
Harus diakui keputusan Elena meletak jawatan sebagai ketua pramugari di sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sejak 31 Januari lalu kini mengubat kerinduan di hati Fahrin.
Malah, keterujaan sambutan Syawal merpati dua sejoli ini semakin bertambah apabila isterinya kini sedang hamil enam bulan.
“Alhamdulillah, jika ditanya tentang Syawal tahun ini mestilah saya lebih gembira kerana isteri sudah tidak bekerja dan dia pula sedang hamil. Tahun ini juga kami dapat menjalani ibadah puasa serta menyambut raya bersama-sama,” ujar Fahrin membuka bicara dalam sesi fotografi raya yang diaturkan baru-baru ini.
Jelas terpancar kebahagiaan pada wajah suami isteri ini apabila diajak berbicara perihal persiapan hari raya mereka. Mana tidaknya, jika dahulu segala persiapan dilakukan berseorangan tetapi kini ia bagaikan lebih manis dengan kehadiran pasangan di sisi.
Sungguhpun teruja dengan kehadiran Syawal kali ini, seperti persiapan raya pada tahun-tahun lalu, Fahrin memberitahu, mereka masih mengekalkan kesederhanaan dalam berbelanja.
“Seperti biasa, saya akan mengekalkan kesederhanaan. Untuk persiapan baju raya, sebenarnya saya mempunyai koleksi baju Melayu yang banyak. Hampir 10 warna semuanya, jadi saya tidak akan membeli baju raya pada tahun ini.
“Cuma sedikit mencabar apabila kami mencari baju untuk Elena. Dia sedang sarat mengandung dan agak sukar mencari rekaan bersesuaian. Segala persiapan lain seperti kuih raya pula, ia sekadar ada sahaja,” katanya sambil memegang erat tangan Elena.
Makna Syawal
Bercerita soal destinasi raya tahun ini, ujar lelaki berusia 37 tahun itu, dia dan isterinya sepakat beraya di Kuala Lumpur sahaja, sementelah ibu bapa Fahrin datang beraya di rumah mereka.
Fahrin dan Elena bahagia dapat meluangkan lebih banyak masa bersama sepanjang bulan Ramadan serta Syawal pada tahun ini.
Bagaimanapun, pasangan itu tidak menolak perancangan pulang ke kampung halaman di Johor Bahru untuk melawat sanak saudara di sana.
“Tahun ini ayah dan ibu saya beraya di Kuala Lumpur dan kami menyambut Aidilfitri di sini sahaja pada minggu pertama raya. Kebetulan ibu dan bapa Elena juga menetap di Sri Damansara dan ia memudahkan lagi untuk kami berkumpul.
“Pada masa sama, kami berdua juga masih mempunyai ramai saudara di Johor. Justeru, perancangan untuk pulang ke kampung itu tetap ada tetapi mungkin pulang lewat sedikit,” tutur Fahrin mesra.
Berkongsi makna Aidilfitri pula, jelas pelakon yang terlibat dalam alih suara filem Jurassic World tayangan HBO pada hari raya ini, Aidilfitri akan lebih bermakna jika semua ahli keluarganya dapat berkumpul dan meraikan ibu bapa mereka.
“Apabila semakin meningkat usia, pengertian raya pada saya bukanlah tertumpu kepada diri sendiri lagi, sebaliknya ia lebih untuk meraikan ibu bapa dan kanak-kanak. Perasaan sedih akan terasa apabila mengenangkan ibu bapa yang semakin tua.
“Setiap kali raya tiba saya pasti merindukan zaman kecil ketika berkumpul beramai-ramai bersama sanak saudara di rumah nenek. Sehingga kini, rumah nenek masih ada lagi tetapi amalan berkumpul bersama sanak saudara sudah tiada lagi,” katanya yang menggemari laksa Johor sebagai juadah wajib pada hari raya.
Anak lelaki
Dalam pada itu, kesempatan yang ada tidak dilepaskan untuk bertanya perihal kehamilan Elena yang kini memasuki usia enam bulan.
Bersyukur melalui proses kehamilan tanpa sebarang alahan teruk, Elena dan suaminya begitu terbuka memberitahu bakal menimang cahaya mata lelaki yang dijangka lahir awal Oktober nanti.
“Sepanjang kehamilan saya tidak mengalami sebarang alahan teruk. Saya juga tidak mengidam untuk makan pelbagai jenis makanan melainkan teringin makan durian.
“Lucunya, perkara yang sering dilalui wanita mengandung itu sebenarnya terjadi pada suami saya. Ketika tiga bulan usia kandungan, wajah Fahrin dipenuhi jerawat selain dia sering teringin untuk minum minuman bergas. Bagaimanapun, perkara pelik itu hilang apabila kandungan semakin membesar,” cerita Elena tertawa.
Pada akhir bicara, Elena sempat berkongsi aktivitinya selepas berhenti kerja. Malah, wanita itu turut memanjatkan rasa syukur kerana mempunyai suami yang memahami dirinya.
“Sebenarnya, rumah yang kami duduk sekarang ini baru sahaja siap menjalani proses pengubahsuaian pada bulan April lalu. Selepas berhenti kerja, masa saya banyak terisi dengan aktiviti menyusun atur rumah.
“Alhamdulillah, suami juga banyak membantu, malah dia sering mengingatkan saya agar menjaga kesihatan diri dan kandungan serta memperbanyakkan berehat,” simpulnya.