TIDAK mahu masalah lalu membelenggu diri, Tania mahu melangkah ke hadapan dan menyinar dalam bidang lakonan.
Ketika ini, Tania Hudson tegar mengisi kehidupannya dengan kamera dan beberapa naskhah skrip yang menjadi santapan matanya.
Dia menjadi satu-satunya pelakon wanita yang menjadi pilihan syarikat gergasi, Skop Production Sdn. Bhd. untuk membintangi dua filem mereka pada tahun ini.
Bukan calang-calang filem, bahkan Tania disunting untuk membintangi filem sekuel popular arahan Syafiq Yusof iaitu Abang Long Fadil 2 dan KL Special Force.
Ironinya, kanvas seninya sudah bermula sejak tujuh tahun lalu, namun disebabkan beberapa masalah membelenggu diri, adik kepada Tania Hudson itu terpaksa meletakkan benteng pada bidang lakonan. Ini membuatkan aliran seninya tidak selancar yang lain.
Masih belum terlambat, pelakon berdarah campuran Melayu dan Inggeris itu kini berlapang dada untuk lebih fokus pada bidang lakonan pada tahun ini.
“Saya mengaku tidak begitu konsisten dan serius dalam lakonan sebelum ini. Semangat untuk berlakon itu sentiasa ada tapi saya anggap tujuh tahun lalu bukan masa yang sesuai. Banyak sebab dan salah satu daripadanya disebabkan penyakit dialami,” jelasnya yang sejak dari kecil menghidapi penyakit dikenali sebagai arteriovenous malformation dan telah menjalani pembedahan.
Itu cerita lalunya, pinta pelakon berusia 31 tahun itu kini usahlah ia dibangkitkan lagi sementelah dia kini sudah sihat daripada penyakit yang melibatkan kesakitan pada bahagian kepala itu.
Lerai daripada masalah yang memalit diri, tahun ini Tania mahu bangkit dan membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan. Dia bersyukur, tawaran datang tepat pada masa dirinya mahu membuat kemunculan semula.
“Saya terkejut bila dapat panggilan daripada pihak Skop Production Sdn. Bhd. pada Oktober tahun lalu.
“Apabila dibertahu berlakon dalam Abang Long Fadil 2, saya jadi teruja. Selepas Abang Long Fadil 2, mereka memanggil saya sekali lagi untuk filem KL Special Force,” luahnya yang mengaku berterima kasih dengan syarikat milik Datuk Yusof Haslam itu.