Siti Nurhaliza bukan oportunis


BUKAN niat untuk mengambil kesempatan terhadap kemegahan namanya sebagai penyanyi tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza memperkenalkan koleksi Creación Sesuci Lebaran 2016 bersama rekaan busana raya yang lebih segar untuk digayakan menjelang Syawal nanti.

Creación mula diperkenalkan pada Mac lalu telah menghasilkan dua koleksi istimewa untuk golongan wanita iaitu The Pastel Series dan The Premium Series. Sebanyak 35 rekaan baharu diperkenalkan pada pertunjukan fesyen Creación Sesuci Lebaran 2016 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menariknya, Creación by Siti Nurhaliza turut menjalinkan kerjasama dengan produk kosmetik SimplySiti yang turut diasaskan penyanyi berkenaan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, saya ingin berkongsi minat fesyen dengan peminat terutama untuk hari raya nanti. Apa yang boleh saya janjikan adalah harga busana raya Creación berpatutan iaitu sekitar RM180 dan ke atas.

“Ia juga diharap dapat memenuhi permintaan pelanggan, peminat dan pasaran yang mahukan koleksi busana ready-to-wear yang minimal namun masih mempunyai sentuhan eksklusif,” kata Siti.

Kesemua koleksi tersebut merupakan ilham sepenuhnya oleh wanita berusia 37 tahun itu sebagai pengasas Creación bersama pereka jenama tersebut. Bermula daripada proses rekaan, pemilihan fabrik hingga pengeluaran dan pembuatan, pelantun lagu Cindai itu terlibat secara total dalam perusahaan label fesyen miliknya itu.

Didatangkan dalam warna pastel dan bertenaga, koleksi jenama tersebut direka untuk semua peringkat umur wanita. Menariknya, kesemua nama busana ditampilkan sempena judul lagu-lagu popular Siti sendiri.


REKAAN busana Creación Sesuci Lebaran 2016 by Siti Nurhaliza anggun dan selesa digayakan pada Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, melihat senario ramai selebriti popular tampil dengan jenama produk sendiri, Siti percaya apa yang diusahakan bukan sahaja untuk kepentingan dirinya tetapi turut menyifatkan ia sebagai curahan rezeki kepada orang lain.

“Sejujurnya, fesyen bukanlah sesuatu perkara yang saya mahir tetapi saya sangat suka mengikuti perkembangan fesyen terkini. Tidak perlu rasanya pereka fesyen merasa tergugat apabila ramai selebriti tampil dengan jenama fesyen sendiri.

“Bagi saya sendiri, itu adalah rezeki masing-masing. Saya dibantu oleh ramai yang menjadi tulang belakang merealisasikan impian saya satu realiti,” ujar Siti yang sempat merakamkan lagu raya baharu berjudul Hari Kemenangan sempena hari lebaran.

Bagaimanapun, Siti tidak menafikan bahawa selebriti mempunyai kelebihan dan pengaruh begitu kuat untuk menjual sesuatu jenama fesyen kerana sokongan daripada peminat mereka.

“Saya percaya bahawa saya bukan jenis individu yang melakukan perkara tanpa usaha gigih. Adat berniaga, ada yang setuju dengan apa kita lakukan, ada juga sebaliknya.

“Apabila kita semakin memajukan perniagaan diusahakan, ia juga membuka pintu rezeki kepada orang lain. Insya-Allah, asalkan niat kita baik, semuanya akan dipermudahkan,” ulasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post