SHERRY IBRAHIM mengambil keputusan berehat sepanjang Ramadan dalam menghayati bulan mulia bagi umat Islam pada tahun ini.
Sudah menjadi rutin biasa bagi kebanyakan selebriti, bulan Ramadan pasti akan menjadi waktu terbaik untuk menghabiskan masa dengan keluarga dan melupakan seketika hal kerja.
Tidak ketinggalan melakukan perkara sama, pelakon Sherry Ibrahim, 34, turut mengambil kesempatan untuk berehat sepanjang bulan puasa dan menikmati ibadah sekali setahun ini dengan tenang.
Pertama kali berpuasa dengan imej baharu, empunya nama Syarizad Ibrahim ini tidak merasakan banyak perubahan ketara kecuali mendapat lebih banyak peluang untuk beramal.
KOSMO!: Adakah Ramadan tahun ini membawa banyak perbezaan memandangkan Sherry sudah berhijab puasa kali ini?
SHERRY: Sebenarnya jika daripada sudut menjalani ibadah puasa itu, tidak banyak beza kerana tahun-tahun sebelum ini pun saya berpuasa juga. Cuma pada tahun ini, saya banyak mendapat jemputan untuk berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan beberapa majlis amal lain. Seronok rasanya apabila meluangkan masa melakukan kebajikan kerana sebelum ini saya tidak tahu bagaimana atau di mana boleh saya dapatkan peluang seperti itu.
Jadi itu bermakna tahun ini anda tidak mengambil sebarang tawaran sepanjang bulan puasa?
Ya, saya memang mengambil keputusan untuk berehat tahun ini kerana tahun-tahun sebelumnya, saya terlampau sibuk bekerja dan tiada masa untuk menghayati Ramadan.
Maaf bertanya, tetapi wajah anda kelihatan sedikit cengkung. Adakah anda tidak sihat atau sedang berdiet?
Tidak, ini adalah hasil selepas saya menyertai pertandingan Gempak Superstar bulan lalu. Saya berdepan dengan banyak situasi yang agak tertekan, jadi ia memberi kesan pada tubuh badan saya. Ramai yang menegur, namun saya sihat sahaja cuma mungkin sekarang sedang puasa jadi berat badan memang tidak naik.
Selain memenuhi undangan, apakah aktiviti lain yang berpeluang lakukan apabila berehat berlakon puasa kali ini?
Saya sempat menunaikan solat tarawih dengan lebih kerap, itu antara perkara yang paling menggembirakan. Selain itu, sekarang saya sudah mempunyai masa untuk memasak bagi juadah bersahur dan berbuka. Walaupun tinggal sendirian, tetapi saya tidak suka beli di bazar Ramadan kerana lebih puas menyediakan sendiri lauk-pauk.
Selepas Gempak Superstar, ke manakah arah tuju karier nyanyian anda?
Insya-Allah, saya akan mula masuk ke studio untuk merakam single sulung saya tidak lama lagi. Saya juga bakal mengikuti kelas vokal sebagai persediaan proses rakaman. Informasi terperinci tentang lagu ini masih belum boleh didedahkan kerana masih dalam proses perbincangan akhir.
Adakah anda sudah bersedia untuk mengimbangi masa antara lakonan dan nyanyian?
Saya akan cuba yang terbaik, kedua-dua bidang ini saya sayang. Rezeki ada di mana-mana, saya yakin Allah akan berikan yang terbaik untuk saya.